Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Kelima Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas

Rencana Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Mar 2022 2:06PM

Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena pembukaan Mesyuarat Pertama Tahun Kelima DUN Perak Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Yang Dipertua Dewan Negeri,  

Alhamdulillah, dengan izin Allah Subhanahu Wata’ala, Mesyuarat Pertama, Tahun Kelima, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Keempat Belas dapat diadakan.

2. Pandemik COVID-19 akan tercatat dalam sejarah sebagai malapetaka yang memberi impak besar kepada dunia.  Pandemik COVID-19, bukan sahaja menjejas prestasi ekonomi dunia, kehidupan insan, pengurusan kesihatan, dan bekalan makanan,  malah meninggalkan trauma yang turut menjentik emosi ramai pihak, dirakamkan oleh para penulis dalam bait-bait puisi sebagai jarum-jarum panik berceracak di mana-mana, pelancong hilang destinasi, perantau hilang tuju, pengembara hilang sempadan, kapal merapat ke pelabuhan, pesawat terdampar di hangar, kereta api tersadai di stesen, bunga terasa kehilangan embun pagi dilonggokan layu, sayuran dipulangkan ke bumi, dan susu dicurahkan ke ladang; lebih menghibakan apabila berjuta warga dunia bergelumang menghadapi kematian.  Lebih 185 negara sesak nafas mengekang jangkitan angka, sedangkan bilangan jangkitan terus memuncak; manusia dikepung pandemik dahsyat dan diasak ke pertempuran rumit menghadapi musuh tidak terlihat.

3. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penguncupan lima perpuluhan enam peratus pada tahun 2020.  Alhamdulillah, ekonomi Malaysia pada tahun 2021, membayangkan pelangi pemulihan, mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar tiga perpuluhan satu peratus. Bagi tahun 2022, Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia, sekitar lima perpuluhan tujuh peratus, dipacu oleh peningkatan signifikan dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan pandemik, serta sentimen pengguna dan perniagaan yang kian meningkat.

4. Namun langit yang diharapkan cerah, kelihatan memunculkan awan mendung.  Risiko rantaian bekalan global yang berada dalam keadaan rapuh, kini beralih daripada menghadapi bencana pandemik kepada konflik Russia-Ukraine, yang akan mengakibatkan ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik, sudah pun menyebabkan harga minyak dan gas asli dunia melonjak lebih tinggi, yang pastinya akan memburukkan keadaan bagi syarikat dalam banyak industri, terutama yang sangat bergantung pada sumber tenaga minyak.  Ekonomi global bakal menghadapi kemelesetan, jika konflik berlarutan; dan Malaysia tidak terlepas daripada berdepan kesan negatif.  Kesan langsung dan tidak langsung daripada konflik yang berterusan, akan menjejaskan bekalan makanan, mempengaruhi persekitaran inflasi dan kadar faedah, juga menyebabkan pertumbuhan ekonomi global yang lebih perlahan.  Dijangka prospek KDNK global akan berkurangan antara sepuluh hingga dua puluh peratus.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

5. Pada tahun 2021, Kerajaan Beta berjaya menutup akaun dengan lebihan dua puluh tiga juta (RM22,985,877.92) ringgit berbanding unjuran defisit seratus sepuluh juta (RM110,078,000.00) ringgit. Kutipan hasil mencapai seratus lapan peratus berbanding sasaran, dengan nilai kutipan melebihi sembilan ratus sembilan puluh lapan juta (RM998,467,193.89) ringgit; ditambah terimaan pembangunan hampir tiga puluh juta (RM29,649,077.14) ringgit; menjadikan jumlah keseluruhan hasil dan terimaan pembangunan, mencecah satu perpuluhan kosong tiga bilion (RM1,028,110,997.03) ringgit.

6. Berbanding kutipan hasil tahun 2020, kutipan tahun 2021 meningkat satu perpuluhan lima peratus; dipengaruhi oleh peningkatan enam (6.2) peratus kutipan hasil tanah, serta peningkatan lima puluh empat (53.8) peratus sumbangan Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Berkaitan Kerajaan.  Selain itu, peralihan secara berperingkat ke Fasa Empat, Pemulihan Negara pada 8 November 2021, turut membantu meningkatkan kutipan hasil.  

7. Dewan ini telah meluluskan belanjawan satu perpuluhan satu bilion (RM1,105,000,000.00) ringgit untuk tahun 2022; lapan ratus tiga juta (RM803,000,000.00) ringgit untuk belanja mengurus, dan tiga ratus dua juta (RM302,000,000.00) ringgit untuk belanja pembangunan; pada nisbah tujuh puluh tiga (72.7) peratus belanja mengurus dan dua puluh tujuh (27.3) peratus belanja pembangunan.

8. Rancangan Malaysia Kedua Belas tertumpu kepada usaha mahu merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil - lebih saksama, serta mengekalkan kelestarian alam sekitar. Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan satu perpuluhan empat bilion (RM1,425,654,271.66) ringgit dalam Rolling Plan pertama Rancangan Malaysia Kedua Belas.  Satu perpuluhan tiga bilion (RM1,366,346,398.77) ringgit telah dibelanjakan, mencapai sembilan puluh enam (95.8) peratus prestasi perbelanjaan. Daripada tiga ratus enam puluh empat projek yang diluluskan dalam Rolling Plan pertama, sembilan puluh projek telah disiapkan dan dua ratus tujuh puluh empat projek masih dalam peringkat pelaksanaan. Bagi Rolling Plan kedua, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan satu perpuluhan lima bilion (RM1,537,616,800.00) ringgit untuk membiayai tiga ratus tujuh puluh dua projek.

9. Pada tahun 2021, dalam usaha menampan impak negatif pandemik, Kerajaan Beta meneruskan Pakej Rangsangan Ekonomi melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif yang melibatkan perbelanjaan seratus lapan juta (RM108,263,393.48) ringgit. Sektor kebajikan awam dan kesihatan mendapat peruntukan terbesar, berjumlah empat puluh satu juta (RM41,117,535.00) ringgit.  Dalam tahun semasa, Kerajaan Beta memperuntukkan dana pembangunan tambahan empat puluh tujuh juta (RM47,000,000.00) ringgit melalui Kumpulan Wang Amanah untuk Pakej Rangsangan Ekonomi secara bersasar.

10. Usaha-usaha pemulihan ekonomi akan dipergiatkan dan kebajikan rakyat akan terus diutamakan.  Untuk mencapai tahap perlindungan optimum daripada jangkitan COVID-19, pengambilan dos penggalak diperkenalkan sejak 13 Oktober 2021.  Sehingga 18 Mac 2022, enam puluh enam peratus daripada penduduk dewasa di Negeri Perak yang layak, telah menerima dos penggalak.  Usaha-usaha akan ditingkatkan untuk menyedarkan rakyat betapa pentingnya meningkatkan sistem imuniti dalam menghadapi ancaman musuh biologi ini.  Selain Jabatan Kesihatan, Beta menyeru masjid, rumah ibadat, sekolah, badan sukarela, pertubuhan belia dan anggota masyarakat untuk membantu usaha menyedarkan rakyat betapa pentingnya mengambil vaksinasi dos penggalak.    Insaflah! akan tugas berat yang sudah lebih dua tahun terpaksa dipikul oleh kakitangan kesihatan.  Rakyat wajib menunjukkan simpati, melaksanakan tanggungjawab membantu meringankan beban tugas kakitangan Jabatan Kesihatan dengan mengambil langkah-langkah preventif agar penularan wabak diminimumkan.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

11. Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah menggariskan lima fokus utama, dijadikan agenda penting tahun 2022; pertama, meningkatkan hasil negeri; kedua, membudayakan perkhidmatan melangkaui kebiasaan; ketiga, meningkatkan kesejahteraan rakyat; keempat, memantapkan perkhidmatan dan infrastruktur digital; dan kelima, kesiapsiagaan menangani kesan perubahan iklim.  Lima fokus utama tersebut hendaklah dijadikan pedoman oleh setiap jabatan, agensi dan badan-badan berkanun kerajaan, juga oleh pihak swasta serta badan bukan kerajaan.  Lima fokus utama tersebut hendaklah diterjemahkan dalam bentuk gerak kerja dan program pelaksanaan.  Untuk itu, langkah aktif, penerokaan inovasi, pendekatan yang keluar daripada kepompong lama, dan budaya kerja baru wajib dirintis. 

12. Salah satu masalah utama yang melanda dunia sejak dahulu lagi ialah kemiskinan.  Kemiskinan berlaku sama ada di negara maju mahupun di negara membangun dan di negara mundur.  Pada tahun 2019, Bank Dunia melaporkan lebih sembilan (9.2) peratus atau enam ratus lapan puluh sembilan juta penduduk dunia tergolong dalam kumpulan miskin tegar.  Dianggarkan pada tahun 2020, pandemik COVID-19,  telah menyebabkan pertambahan hampir seratus lima belas juta penduduk dunia berstatus miskin.

13. Negara masih bergelut untuk mencapai matlamat sifar miskin tegar.  Atas hasrat mahu membasmi kemiskinan, Kerajaan Persekutuan semasa membentangkan bajet 2022, mensasarkan tiga inisiatif; pertama, pembangunan kawasan luar bandar; kedua, pengukuhan dasar perlindungan sosial; dan ketiga, memantapkan jentera kerajaan dalam pengurusan kebajikan masyarakat.

14. Di negeri Perak, sehingga 16 Mac 2022, jumlah data kemiskinan yang didaftarkan dalam pangkalan data eKasih adalah seramai seratus enam puluh dua ribu (162,177) ahli isi rumah; seramai sembilan puluh lapan ribu (97,656) ahli isi rumah berstatus miskin, manakala enam puluh lima ribu (64,521) isi rumah berstatus miskin tegar, merupakan enam peratus daripada keseluruhan penduduk negeri.

15. Dalam hasrat mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang 2025, Kerajaan Persekutuan akan mengabungkan usaha dengan kerajaan negeri, pihak swasta, badan bukan kerajaan berasaskan komuniti dan pihak-pihak lain, dengan memberi fokus kepada pendidikan dan kesihatan. Lima lokaliti, di daerah-daerah Hulu Perak, Kerian, Manjung dan Batang Padang telah dipilih dalam program rintis pembasmian kemiskinan.

16. Rumah ialah keperluan sangat asas, selepas memenuhi keperluan makanan dan pakaian. Program perumahan rakyat berpendapatan rendah merupakan salah satu program yang dapat membantu mengatasi atau mengurangkan kemiskinan rakyat.  Demi kesejahteraan rakyat, menyediakan rumah dan membangunkan projek perumahan yang selesa dan mampu milik merupakan salah satu tanggungjawab utama kerajaan.  Kerajaan Beta mensasarkan pembinaan lima puluh ribu unit rumah mampu milik antara tahun 2018 sehingga tahun 2023.  Alhamdulillah, sasaran ini berjaya dicapai pada tahun 2021.  Lima puluh enam ribu (56,292) unit rumah mampu milik telah berjaya dibina; dua puluh satu ribu (20,820) unit di bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak serta agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan; sementara tiga puluh lima ribu (35,472) unit lagi, dibangunkan oleh pihak swasta.

17. Allah Subhanahu Wata’ala menghamparkan bumi ini, dengan kekayaan rezeki untuk diurus dan diagihkan agar dapat dinikmati oleh setiap insan.  Pembangunan perumahan mampu milik untuk kesejahteraan rakyat wajib ditingkatkan.  Keupayaan rakyat berpendapatan rendah dan miskin memiliki rumah sendiri, hendaklah dijadikan kayu ukur yang membuktikan sumber negara berjaya diagihkan secara bijaksana, adil lagi saksama.  Untuk itu, pendirian tegas Kerajaan Beta tidak akan bertolak ansur dengan pemaju dalam memastikan lebih ramai rakyat berpendapatan rendah mampu memiliki rumah sendiri, merupakan pendirian yang sangat bertepatan.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

18. Pemanasan global dan suhu dunia yang semakin meningkat, menjadi ancaman besar kepada kehidupan alam.  Tanda-tanda menunjukkan, telah ada tempat yang terlalu panas untuk didiami, dan akan ada tempat yang bakal menghadapi ketandusan bekalan air.  Sebagai contoh, di negara kita sendiri, semakin banyak masjid,  rumah ibadat dan bangunan yang perlu dihawadinginkan.  Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, COP 26 di Glasgow, pada penghujung tahun 2021, telah menjadikan isu penyelesaian perubahan iklim dunia sebagai agenda utama. Kerajaan Beta tidak terkecuali mengambil langkah-langkah proaktif menangani kesan perubahan iklim. Seluas sembilan ratus lapan puluh tujuh ribu (986,848.26) hektar atau empat puluh tujuh peratus daripada keluasan tanah negeri telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal yang diuruskan secara Prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan.

19. Menerusi Prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan, Hutan Simpanan Kekal diklasifikasikan kepada dua pengelasan fungsi, iaitu Hutan Pengeluaran dan Hutan Perlindungan.  Sehingga Disember 2021, seluas lebih lima ratus ribu (501,235.70) hektar atau lima puluh satu peratus kawasan, dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran, sementara seluas empat ratus lapan puluh enam ribu (485,612.56) hektar atau empat puluh sembilan peratus kawasan, dikelaskan sebagai Hutan Perlindungan; bermakna Negeri Perak telah mematuhi sepenuhnya amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan yang terbukti melalui pengekalan Pensijilan Pengurusan Hutan semenjak tahun 2010.

20. Kerajaan Beta turut melaksanakan Program Penghijauan Malaysia di peringkat negeri.  Kempen menanam sepuluh juta pokok dalam tempoh lima tahun telah dirintis sejak tahun 2021.  Sehingga Disember 2021, lebih dua juta (2,175,659) pokok telah berjaya ditanam.

21. Amalan kitar semula yang berupaya memberikan impak positif ke arah pemuliharaan alam sekitar, masih belum dihayati sepenuhnya untuk menjadi budaya.  Ke arah menggalakkan rakyat mengamalkan budaya kitar semula, Jabatan Alam Sekitar bersama Pihak Berkuasa Tempatan telah menjalankan Program Pengumpulan Sisa e-Waste.  Negeri Perak merangkul tempat pertama di Malaysia dengan kejayaan mengumpul tiga ratus tiga belas tan metrik berbanding sasaran empat puluh tan metrik yang ditetapkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air.  Sisa e-Waste ini akan dikitar semula bagi mendapatkan bahan-bahan berharga, selain mengelakkan potensi pencemaran bahan-bahan berbahaya yang boleh memudaratkan kesihatan manusia.

22. Sepanjang dekad pertama abad ini, dunia telah saksikan pengeluaran plastik mengatasi jumlah keseluruhan pengeluaran di abad kedua puluh.  Malaysia menduduki tempat kedua di Asia bagi penggunaan plastik dengan berat tujuh puluh (69.54) kilogram per kapita.  Rakyat Malaysia secara purata menggunakan tiga ratus beg plastik setahun.  Dianggarkan rakyat Malaysia membuang lebih tiga puluh ribu tan plastik ke laut setiap tahun.  Malaysia disenaraikan antara negara di dunia yang menyumbang kepada sumber plastik yang besar di lautan.  Plastik yang hanyut ke laut atau yang disepahkan di darat, mengambil masa empat ratus tahun sebelum mereput.  Rakyat Malaysia ketara kurang kesedaran dan tidak menghiraukan bahaya pencemaran plastik sedangkan plastik meracuni makanan dan alam sekitar.    Rakyat hendaklah disedarkan untuk meminimumkan penggunaan plastik.  Jabatan kerajaan, masjid, rumah ibadat, sekolah, pusat tahfiz, badan bukan kerajaan dan belia, hendaklah membantu kempen untuk rakyat meminimumkan penggunaan beg plastik, dan tidak membuang sisa plastik ke dalam parit, tasik, saliran dan sungai atau dibiarkan tertinggal bersepah di bumi.

23. Dunia kini semakin menghadapi pelbagai bencana mengakibatkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.  Pelbagai bencana alam yang semakin kerap berlaku kebelakangan ini hendaklah ditafsirkan sebagai peringatan Ilahi kepada manusia yang bersifat zalim, sehingga alam semakin membenci dan enggan bersahabat dengan manusia.  Ketaksuban untuk memajukan prasarana, dan ketaksuban untuk meraih keuntungan perniagaan, jangan dijadikan lesen menghalalkan manusia bersifat rakus memusnahkan alam sekitar.  Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam ayat 41, Surah Ar-Rum bermaksud:

“Telah jelas kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, Allah menghendaki agar mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”

24. Kecanggihan teknologi semata-mata, tidak mampu membendung bencana akibat kerosakan alam sekitar yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia.  Pembangunan negara harus mengambil kira elemen pemantapan sahsiah dan rasa cinta kepada alam sekitar.  Rohani dan sahsiah hendaklah dimantapkan untuk menyemai kesedaran agar manusia berbaik-baik dengan alam sekitar, dan agar berlaku keseimbangan antara pembangunan prasarana dan pemuliharaan alam.

25. Kerajaan Beta memandang serius isu kelangsungan populasi Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni). Berdasarkan kajian,  kawasan hutan simpan di Negeri Perak merupakan habitat penting Harimau Malaya.  Hasil kajian mendapati, kini hanya berbaki tiga puluh tujuh ekor Harimau Malaya, (tiga puluh ekor harimau dewasa dan tujuh ekor anak harimau) yang masih berkeliaran di hutan simpan negeri.  Angka ini sangat rendah berbanding keluasan kawasan habitat yang boleh menampung sekitar dua ratus ekor harimau.  Dalam usaha menyokong pengukuhan habitat Harimau Malaya, Kerajaan Beta telah mewartakan kawasan seluas hampir sembilan belas ribu (18,866) hektar sebagai Hutan Simpan Kekal Amanjaya.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

26. Pada November 2021, fenomena air pasang besar serta taburan hujan yang tinggi telah menyebabkan beberapa buah daerah mengalami bencana banjir, mengakibatkan empat ratus buah rumah terjejas.  Jabatan Pengairan dan Saliran telah mengambil inisiatif, memasang tolok lurus (river stick gauge) dan tiga puluh tiga siren amaran di kawasan hotspot banjir di seluruh negeri, untuk memantau paras air sungai, serta pemasangan tolok hujan (rainfall gauge) bagi memantau jumlah hujan. Peralatan yang dipasang akan dapat mengeluarkan amaran, membolehkan operasi bantuan dan menyelamat digerakkan segera sekiranya berlaku bencana banjir.

27. Dasar dan mekanisme pengurusan bencana negara yang tertera dalam Arahan Majlis Keselamatan Negara, menyatakan, sekiranya berlaku sesuatu kejadian bencana seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan sebagainya, Pusat Kawalan Operasi Bencana dan Pos Kawalan Tempat Kejadian hendaklah digerakkan secara tersusun dan bersistematik.  Dalam menghadapi bencana, Negeri Perak ketika ini mempunyai jumlah kekuatan hampir lima ribu lima ratus (5,494) orang terdiri daripada anggota-anggota Polis DiRaja, Angkatan Tentera, Jabatan Bomba dan Penyelamat, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, beserta tiga ratus lapan puluh enam unit aset darat, dan seratus empat puluh unit aset air, bersiapsiaga untuk digerakkan. 

28. Pandemik COVID-19, bencana alam, inflasi dan terkini peperangan, telah mengancam jaminan bekalan makanan dunia.  Laporan Global 2020 mengenai krisis makanan menyatakan, pandemik mampu mengakibatkan kemerosotan mencecah tahap kritikal jaminan bekalan makanan.  Harga makanan yang meningkat, telah menjejaskan kehidupan dan mencetuskan keresahan rakyat.  Kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan bersepadu bagi meningkatkan jaminan keselamatan makanan melalui usaha memacu pemodenan subsektor makanan melalui Revolusi Perindustrian 4.0, mencari akses pasaran baharu dan menarik minat generasi muda menyertai sektor-sektor pertanian, perikanan dan penternakan.

29. Untuk memastikan kelestarian dan kesinambungan keselamatan makanan, Jawatankuasa Dasar Sekuriti Makanan peringkat Negeri Perak telah ditubuhkan, bertujuan memperkukuhkan daya tahan sistem makanan dengan memberi tumpuan kepada isu-isu sekuriti makanan terutama aspek-aspek bekalan, pengeluaran, harga, kuasa beli pengguna, tabiat pemakanan serta kemampanan alam sekitar. 

30. Setiap hari banyak bahan makanan dibazirkan.  Data di peringkat global, menunjukkan nilai makanan yang dibazirkan, mencecah dua perpuluhan empat peratus Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.  Di negara kita, dilaporkan setiap hari, tujuh belas ribu tan sisa makanan yang boleh mengisi perut tiga juta rakyat dilupuskan.  Empat ribu lapan puluh tan daripada jumlah tersebut merupakan makanan yang dibazirkan. Jumlah tersebut meningkat sepuluh peratus pada bulan Ramadan.  Angka-angka tersebut membayangkan betapa seriusnya perbuatan pembaziran makanan yang sedang berlaku.  Manusia perlu dididik dengan nilai menghargai makanan dan disemai dengan budaya tidak membazirkan makanan.  Kerajaan Beta hendaklah mengambil langkah-langkah bermakna menghentikan pembaziran ini.  Jabatan-jabatan kerajaan wajib menunjukkan contoh teladan, bermula daripada menempah kuantiti makanan dalam majlis dan acara yang diadakan, dan semasa berlangsungnya perjumpaan atau mesyuarat.  Setiap isi rumah, sekolah, maktab dan universiti, masjid dan rumah ibadat, serta operator makanan, restoran dan hotel wajib mengamalkan budaya tidak menyediakan makanan secara berlebihan yang hanya berakhir di dalam tong sampah.

31. Sungguh menggalakkan kegiatan yang sedang diusahakan oleh empat puluh buah masjid dan beberapa buah pusat tahfiz di Negeri Perak, memajukan kawasan di sekitar masjid dan institusi untuk menghasilkan makanan.  Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak dan beberapa GLC negeri sedang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat membiayai projek-projek pertanian dalam kalangan belia dan pelajar dengan bantuan menubuhkan kelab pertanian untuk menyemai minat bertani dalam kalangan remaja.  Usaha terpuji ini perlu diperluas dan diperbanyakkan dengan penglibatan lebih banyak masjid, rumah ibadat, sekolah, pusat tahfiz, pertubuhan belia, pihak swasta dan turut diperkenalkan di kuarters kerajaan, merangkumi kem tentera dan berek polis.

Yang Dipertua Dewan Negeri,

32. Beberapa Pihak Berkuasa Tempatan telah melakar pencapaian membanggakan.  Majlis Perbandaran Manjung berjaya mewujudkan aplikasi myMANJUNG yang memudahkan masyarakat mendapatkan pelbagai perkhidmatan dalam talian.  Para peniaga kini boleh memohon Lesen Premis Perniagaan Digital (myPATIL) secara dalam talian yang dipantau terus melalui aplikasi mudah alih.  Penguatkuasaan semakan sah perniagaan kini boleh dipantau di hujung jari, dan peringatan pembaharuan lesen, boleh dibuat melalui pesanan mesej telefon pintar.

33. Majlis Bandaraya Ipoh yang mengetengahkan projek Inovasi Sistem MyNoRisk@MBI, telah memenangi Anugerah Emas dalam Regional Innovation Showcase on Team Excellence (RISTEx) 2021 Wilayah Utara. Majlis Perbandaran Taiping telah menerima anugerah Malaysia Tourism Council Gold Awards 2021 bagi kategori Best Sustainable Tourism Program; manakala, Majlis Daerah Kampar telah memenangi GOLD CLASS 1 AWARD (Kategori Sektor Awam dan Badan Berkanun) dan Workplace Health Promotion (WHP) Award, yang dianugerahkan oleh Malaysian Society for Occupational Safety and Health(MSOSH), di samping pemenang Anugerah Kejiranan Hijau 2021 bagi kategori Majlis Daerah seluruh Malaysia, anjuran PLANMalaysia.  Kejayaan-kejayaan yang dicapai hendaklah dijadikan sumber inspirasi oleh pelbagai jabatan dan agensi lain.

34. Kerajaan Beta telah memulakan inisiatif baru, menyediakan perkhidmatan kutipan sampah di kawasan luar bandar melalui khidmat Pihak Berkuasa Tempatan. Dua perpuluhan dua juta ringgit telah diperuntukkan pada tahun 2021, bagi menampung kos penyediaan tapak kutipan, kos pembelian tong sampah dan kos perkhidmatan operasi untuk seratus sepuluh buah kampung.  Program ini mendapat reaksi dan kerjasama positif daripada penduduk yang terlibat, dan secara langsung membantu mengurangkan aktiviti pembuangan sampah secara haram dan pembakaran tidak terkawal secara terbuka.

35. Bermula Julai 2021, Negeri Perak telah menerimapakai dasar berhubung perkhidmatan komunikasi sebagai utiliti awam ketiga (selepas air dan elektrik).  Pelbagai agensi berkaitan, khususnya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang giat berusaha dan bekerjasama dengan Kerajaan Beta untuk merealisasikan semua inisiatif dan sasaran Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).  Kerja-kerja menaiktaraf rangkaian internet berasaskan tembaga (copper) kepada gentian optik (fibre), menaiktaraf stesen pemancar daripada rangkaian 2G dan 3G kepada 4G, di samping menambah bilangan menara liputan perkhidmatan jalur mudah alih 4G, serta meningkatkan purata kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25 Mbps kepada 35 Mbps mula dilaksanakan, untuk memastikan penyampaian perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dapat disediakan di seluruh negeri.

36. Belia ialah aset negara yang berharga.  Dua puluh lapan peratus penduduk Malaysia berada dalam usia belia.  Tujuh perpuluhan lapan juta orang belia, bertaraf pengundi dalam Pilihan Raya Umum Kelima Belas.  Para belia wajar diasuh, dididik, dibimbing dan diberikan kepercayaan untuk mengambil tanggungjawab lebih besar dalam agenda membina negara-bangsa yang bersatu dan berpadu, maju lagi makmur.  Langkah yang dirintis oleh Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak melibatkan belia berperanan langsung menganggotai Majlis, Jawatankuasa Baitulmal di pelbagai peringkat dan Jawatankuasa Masjid, hendaklah dilebarkan dalam pelbagai jawatankuasa peringkat negeri, kerajaan tempatan, badan berkanun, institusi dan yayasan.  Penglibatan para belia secara aktif akan dapat membantu untuk meremajakan dasar yang telah tua, meniup pembaharuan kepada struktur yang telah lama, dan menyuntik darah muda kepada tubuh yang telah berusia.  Pendekatan Kerajaan Beta melibatkan belia dan menyediakan saluran untuk belia dapat menyalurkan idea dan menyuarakan pandangan merupakan langkah bijak lagi membina.  Isu-isu bersifat objektif dan idea-idea konstruktif yang disuarakan dalam Persidangan Dewan Belia, wajar diberikan perhatian. 

Yang Dipertua Dewan Negeri,

37. Pencapaian segala wawasan, idea, hasrat dan rancangan bergantung pada jentera pentadbiran yang amanah, ikhlas, jujur dan tulus; jentera pentadbiran yang mengamalkan integriti yang tinggi, jentera pentadbiran yang telus, bebas daripada rasuah dan tidak menyalahgunakan kuasa, dan jentera pentadbiran yang menyedari tanggungjawab kepada rakyat dan tanggungjawab lebih besar kepada Allah Subhanahu Wata’ala.  Semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan Negeri Perak Darul Ridzuan dengan barisan ulama dan umara, dengan barisan para pemimpin, pentadbir dan pengurus yang amanah, ikhlas, jujur dan tulus.  Semoga Negeri Perak Darul Ridzuan dilimpahi keamanan dan kemakmuran, serta rakyatnya terus diberkati dan dianugerahi oleh Allah Subhanahu Wata’ala dengan taufik dan hidayah.

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok

Disyorkan untuk anda

Rencana 1 hari yang lalu

Dapatkan Nasihat Optometris Bertauliah Untuk Masalah Mata