Media sosial mengajar manusia pada zaman ini untuk berkongsi perkembangan dan informasi selain berhibur, berkomunikasi dan bermacam tujuan lagi.
Ia berfungsi menghubungkan kita dengan ramai kenalan baharu, rakan lama, serta membantu untuk aneka kegiatan profesional dan rekreasi
Dewasa ini, hampir setiap hari kita menggunakkan media sosial.

Hukum Mencarut #1
Menjelang bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi, segmen refleksi berkongsi dan membincangkan tentang hukum mencarut di media sosial sewaktu berpuasa.
Secara dasarnya, mengeluarkan kata-kata kesat dan kotor adalah perbuatan yang tidak disukai ramai. Ia boleh menimbukan kebencian terhadap seseorang kerana perkara tersebut adalah perbuatan yang tidak sopan.
Namun, bagaimana pula jika kelakuan tersebut tidak dilontarkan melalui kata-kata tetapi menerusi jari yang menaip dan disebarkan di media sosial?

Hukum Mencarut #2
Hukum mencarut ketika sedang berpuasa boleh mengurangkan pahala. Jangan sesekali sia-siakan amalan puasa gara-gara mencarut kerana kelebihannya ada termaktub dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالعَمَلَ بِهِ، فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji dan amalannya, maka Allah tidak berhajat pada seseorang yang meninggalkan makan dan minumnya”.
Riwayat al-Bukhari (1903), Abu Daud (2362), al-Tarmizi (716), Ibnu Majah (1689)

Hukum Mencarut #3
Sekiranya seseorang itu mempunyai sifat panas baran dan kurang bersabar apabila melihat lontaran kata-kata yang tidak sepatutnya ditulis di media sosial, sentiasalah beristighfar.
Ini kerana berpuasa adalah salah satu kaedah yang baik untuk mengajar diri supaya bersabar dan mengawal kemarahan tersebut.
Rasulullah SAW juga mengingatkan betapa pentingnya seseorang itu menjaga mulut dan tingkah lakunya ketika berpuasa. Ini menerusi riwayat Abu Hurairah R.A:
لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الْأَكْلِ وَالشُّرْبِ فَقَطْ إِنَّمَا الصِّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ
Maksudnya: “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri dari perkataan yang melalaikan dan perkataan keji”.
Riwayat al-Baihaqi (8312)

Hukum Mencarut #4
Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh dengan keberkatan dan pelbagai perkara sunat boleh dilakukan untuk melipat gandakan pahala seseorang itu.
Ia adalah salah satu jalan untuk mendapat ketakwaan dan mengelakkan diri daripada membuang masa.
Namun ramai yang hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja ketika berpuasa disebabkan perbuatan dan perkataan yang dikeluarkan tika berkomunikasi seharian.
Baginda SAW menegaskan hal ini dengan sabdanya,
رُبَّ صَائِمٍ حَظُّهُ مِنْ صِيَامِهِ الْجُوعُ وَالْعَطَشُ
Maksudnya: “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga”.
Riwayat Ahmad (8856)

Hukum Mencarut #5
Kadang-kala tanpa kita sedar setiap kali bulan Ramadan tiba, pasti terdapat sesetengah individu yang sengaja menguji kita dan cuba mencetuskan kemarahan yang ada dalam diri.
Walaupun tidak mengeluarkan suara secara fizikal dan hanya menaip di media sosial janganlah sesekali kita mengganggu orang lain semasa menjalankan ibadah puasa.
Manfaatkan masa tersebut dengan pelbagai perkara berfaedah yang lain.
Sekiranya tetap diganggu lakukan amalan seperti yang diajar menurut hadis riwayat Riwayat Bukhari dan Muslim, iaitu katakan: “Sesungguhnya aku berpuasa”
Maka , sempena kedatangan bulan Ramadan, bersama-samalah kita memperbaiki diri dan menjauhi perbuatan seperti ini.
Mudah-mudahan kita dapat mengurangkan penggunaan perkataan yang tidak baik di dunia nyata dan media sosial.
Semoga seluruh umat Islam pada tahun ini dikurniakan rahmat dan keberkatan pada bulan Ramadan kali ini. - Getaran, 1 April 2022