web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Pindaan Perlembagaan Bakal Jadikan UMNO Lebih Komprehensif, Moden, Peka - Penganalisis

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Dec 2022 7:00AM

Peraturan baharu tersebut memastikan parti berkenaan mensasarkan dengan tepat golongan yang strategik untuk hadir pada PAU. - Gambar oleh Sairien Nafis

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Langkah UMNO melakukan pindaan perlembagaan melibatkan pertambahan perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Januari depan dilihat bakal menjadikan parti Melayu itu lebih komprehensif, moden dan peka dengan situasi semasa.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, peraturan baharu tersebut dapat memastikan parti berkenaan mensasarkan dengan tepat golongan yang strategik untuk hadir pada PAU.

Menurutnya, golongan itu terdiri daripada mereka yang  boleh membawa mandat apabila kembali ke bahagian masing-masing dan memberi penerangan terperinci kepada ahli akar umbi. 

Dr Awang Azman Awang Pawi - Gambar fail
Dr Awang Azman Awang Pawi - Gambar fail

"Misalnya sebelum ini, pemimpin penerangan di peringkat cawangan atau bahagian tidak termasuk orang yang automatik layak untuk pergi ke perhimpunan agung tetapi dengan pindaan ini, mereka layak secara automatik.

"Pihak penerangan ini bertanggungjawab dalam (hal ehwal) penerangan parti tetapi sebelum ini, mereka belum tentu terpilih mewakili bahagian. Ia berdasarkan undian. 

"Dengan adanya peraturan baharu tersebut maka ia memastikan parti tersebut betul-betul mensasarkan golongan yang strategik untuk hadir," katanya ketika dihubungi Getaran.

Awang Azman turut menolak dakwaan pindaan tersebut kononnya membelakangi demokrasi dan menegaskan, ia sebaliknya menjadikan UMNO lebih komprehensif, moden serta peka kepada situasi semasa.

Beliau turut mempersoalkan, mengapa pihak penerangan parti sebelum ini tidak dibenarkan ke PAU secara automatik sedangkan peranannya begitu penting dalam memberi pencerahan kepada akar umbi.

"Maknanya, langkah yang dilakukan oleh presiden parti itu tidak pernah dibuat oleh presiden parti sebelum ini.

"Sebenarnya, ia melangkau kepentingan individu atau presiden. Ini demi kepentingan parti," katanya. 

Beliau juga bersetuju UMNO memerlukan satu pendekatan yang lebih efisien atau 'hands on' dalam memberi penerangan kepada akar umbi, lebih-lebih lagi berkaitan kedudukan parti dalam kerajaan perpaduan.

Kelmarin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, parti itu akan membuat pindaan perlembagaan membabitkan pengguguran keahlian serta pertambahan perwakilan ke atas PAU yang diadakan pada 11 hingga 14 Januari depan.

Pindaan itu katanya, adalah ke atas Fasal 20.11 iaitu seseorang ahli parti yang menang bertanding tetapi meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon bebas atau parti lawan, sama ada pada pilihan raya negeri atau Parlimen, akan tergugur keahlian secara automatik untuk disesuaikan dengan Akta Anti Lompat Parti yang sudah diluluskan Dewan Rakyat sebelum ini.

Selain itu, tambahnya, UMNO turut meminda Fasal 8.4 supaya ketua penerangan bahagian, Wanita, Pemuda dan Puteri secara automatik menjadi perwakilan dalam PAU setiap tahun.

Dr Ismail Sualman - Gambar fail
Dr Ismail Sualman - Gambar fail

Bagaimanapun, pandangan berbeza diketengahkan Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Madya Datuk Dr Ismail Sualman yang berkata, parti terbabit tidak perlu membuat 'perkara pelik' dalam mesyuaratnya untuk menyelamatkan UMNO.

Jelasnya, ini kerana kuasa parti berkenaan dilihat semakin merudum, apabila hanya memiliki 30 Ahli Parlimen, melambangkan sokongan rakyat yang kian berkurangan.

"Yang boleh diharap ialah ahli-ahli UMNO sendiri jadi, kalau buat perkara-perkara yang tidak mendatangkan keuntungan atau menyebabkan orang bertambah kurang minat dengan parti, saya rasa ia akan menyebabkan ketirisan sokongan dalam kalangan ahlinya sendiri," katanya.

Berdasarkan pemerhatian, tambahnya, kebanyakan perwakilan bahagian yang menyertai PAU sememangnya merangkumi ketua penerangan setiap bahagian memandangkan mereka merupakan seorang daripada 'lima sekawan' dalam  kalangan perwakilan.

Sehubungan itu, tambah Ismail, pemimpin-pemimpin penerangan tidak terkecuali kerana mereka lazimnya menjadi jurucakap kepada perwakilan di setiap bahagian.

"Pemimpin penerangan akan dilantik sebagai jurucakap pada perbahasan dan sebagainya. Jadi kalau dia hendak buat begitu (pindaan perlembagaan) sebenarnya boleh dibuat, tetapi sebenarnya ia sudah ada, memang sudah dibuat. 

"Ia menjadi amalan dan tidak perlu dibuat akta (pindaan). Kalau benda itu sudah sekian lama, kenapa perlu dibuat sekarang? Tiada keperluan," katanya. - Getaran, 28 Disember 2022

Berita Berkaitan

1

Politik 2 bulan yang lalu

Selepas KJ, Hishammuddin Juga Mahu Kembali Bersama UMNO - Asyraf Wajdi

2

Politik 5 bulan yang lalu

‘Nantikan Keputusan Mahkamah Projek Terowong Dasar Laut’, Mat Hasan Sindir DAP 

3

Politik 1 tahun yang lalu

UMNO Muktamad Calon PRK Nenggiri Minggu Depan – Ahmad Zahid

4

Politik 2 tahun yang lalu

Zahid harap MCA Berubah Hati, Bantu Kempen PRK Kuala Kubu Bharu

Sorotan

1

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

2

PRN Johor: Kerajaan Negeri Johor Terus Jalankan Tugas Pentadbiran 

3

Penganggur Dituduh Bunuh Kenalan, Mayat Ditemukan Dalam Gulungan Tilam  

4

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

5

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

6

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Lelaki Maut Ditikam Di Perak Tengah, Polis Buru Suspek

Semasa 8 jam yang lalu

Pemandu Rentung Kenderaan Terbakar Selepas Kemalangan

Semasa 1 hari yang lalu

Ops Bersepadu Khazanah Bongkar Aktiviti Pemburuan Haram, 8 Warga Myanmar Ditahan

Semasa 1 hari yang lalu

AGC Klasifikasi Aduan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA

oleh Sophia Ahmad