KUALA LUMPUR - Susulan pelanjutan penyerahan calon perdana menteri oleh Istana Negara kepada jam 2 petang hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa pertemuan dengan pemimpin gabungan di kediamannya.
Setakat ini, Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainudin, Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dilihat memasuki rumah itu di sini.
Sekurang-kurangnya 24 petugas media telah berkumpul di kawasan perumahan itu.
Pengerusi PN Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dilihat meninggalkan kediaman itu. - The Vibes, 22 November 2022
2.55 petang - Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dilihat meninggalkan kediaman itu tanpa memberhentikan kenderaannya.
Beliau hanya menunjukkan tanda bagus (thumbs up) kepada media yang berkumpul di situ.
12.57 petang- Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dilihat meninggalkan kediaman Muhyiddin. Menurutnya, pertemuan itu adalah perjumpaan biasa bagi menunjukkan sokongan kepada Muhyiddin.
Katanya, beliau tidak mengetahui sebarang keputusan atau penarikan balik sokongan Ahli Parlimen terhadap Muhyiddin, manakala sebarang kemas kini akan diumumkan di Istana Negara, petang ini.
1.10 petang - Mantan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan memasuki kediaman itu.
