Berita Terkini

3 minggu yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 minggu yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 bulan yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 bulan yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 bulan yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


PRU-15, Kalau Tak Boleh Menyenangkan, Usah Pula Menyusahkan Rakyat

Politik Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 18 Nov 2022 10:03PM

Petugas SPR bertungkus-lumus membuat persiapan akhir menjelang proses pengundian PRU-15 esok. - Gambar oleh Azim Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Kurang daripada 24 jam, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan melabuhkan tirai, menandakan era baharu pentadbiran negara sudah bermula.

Dalam kehangatan kempen yang disulami keresahan rakyat terhadap kemungkinan banjir, pasti ada individu sudah mula berangan-angan memegang tampuk kuasa, setidak-tidaknya sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Buat golongan ini, PRU-15 perlu diladeni sebaik mungkin, biar harus mengerah setiap titis keringat yang ada.

Pada mereka, PRU-15 adalah antara hidup dan mati, a matter between life and death.

Pada setiap ceramah, ia berlatar belakang janji kepada pengundi. Itu adalah lumrah. Entah tertunai entahkan tidak, yang pasti ia perlu disuarakan secara lisan, biar ada telinga mendengar.

PRU-15 Amat Luar Biasa, Pengakhir Segala Kekalutan

Berbanding pilihan raya terdahulu, PRU-15 disifatkan sebagai amat berlainan.

Tiga kerajaan saling bertukar untuk tempoh lebih kurang sepenggal sememangnya sesuatu yang luar biasa.

PRU-15 menjadi platform penting dalam memilih kerajaan yang stabil serta mampu mengemudi negara.
PRU-15 menjadi platform penting dalam memilih kerajaan yang stabil serta mampu mengemudi negara.

Kejatuhan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih secara demokrasi pada PRU-14 lebih empat tahun lalu dilihat ramai sebagai permulaan untuk satu kekalutan.

Andaian itu ada benarnya kerana tidak sampai 19 bulan, kerajaan kedua mengambil alih yang dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN), menerima nasib sama.

Ada yang menganggap ia sebagai satu kifarah, memandangkan pentadbiran itu dibentuk melalui ‘jalan belakang’, Langkah Sheraton.

What you give, you get back. Cubaan Perdana Menteri PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin melobi sokongan Ahli Parlimen tidak berhasil dan beliau terpaksa berundur, sekali gus menyerahkan portfolio disandang kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tempoh 15 bulan sebenarnya masih terlalu singkat untuk mengukur pencapaian Ismail Sabri, namun apa yang dilihat, tokoh berwatak sederhana itu berjaya memikat hati masyarakat luar bandar, barangkali kerana personalitinya sendiri sebagai seorang anak kampung.

Beliau dilihat ramai jarang sekali bermegah atau mendabik dada, tidak seperti pemimpin BN lain yang kadang kala agak angkuh dan aristokrat bila berbicara.

Nak Undi? Tengok Dululah…

Seramai 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun manakala 4,614,429 pengundi berusia antara 21-29 tahun. - Gambar fail
Seramai 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun manakala 4,614,429 pengundi berusia antara 21-29 tahun. - Gambar fail

Getaran ketika meninjau kehangatan suasana menjelang PRU-15 dalam kalangan akar umbi bagaimanapun disambut dengan kebenaran yang barangkali pahit untuk ditelan oleh semua calon bertanding.

Majoriti ditemui tidak lagi bersemangat untuk membuat pilihan esok, serta lebih memilih untuk ‘tunggu dan lihat’. 

Tunggu jika diri akhirnya berubah fikiran, dan lihat jika ada faktor yang mampu membuatkan mereka keluar mengundi pada saat akhir.

Walaupun sudah dijelaskan bahawa setiap undi dibuat amat bermakna dalam menentukan hala tuju negara, mereka sudah tidak kisah.

Tidak ada apa yang berubah, mereka bilang. Pemimpin kaya bertambah mewah, rakyat miskin terus melarat.

Harga Terus Melonjak, Peniaga Kecil Tanggung Masalah

Rajesh, peniaga rempah di sebuah pasar basah di pinggir ibu negara berkata, meneruskan kelangsungan hidup bersama keluarga lebih mustahak buat masa ini, apatah lagi tiada jaminan pemimpin dipilih tidak akan berpaling tadah.

Katanya, kemelut ekonomi yang melatari negara memberi kesan besar kepada golongan peniaga kecil, memandangkan barang dijual turut tertakluk kepada harga ditetapkan pembekal.

“Seperti contoh rempah ratus yang dijual di kedai saya, ada antaranya dibawa masuk dari India dan negara Asia lain. Harganya sudah tentu bergantung kepada apa ditetapkan oleh pembekal, berdasarkan pasaran semasa.

“Apabila berlaku kenaikan harga global, harga barangan ini turut meningkat,” keluhnya.

Bapa dua anak itu memberitahu, siri kenaikan harga mutakhir ini menyukarkan beliau memperoleh rempah asli yang lazim menjadi buruan kerana kelazatan rasa dan keharuman aroma ditawarkan.

“Ada beberapa rempah saya yang sudah lama kehabisan stok. Nak restock pun tak mampu sebab harga ditawarkan amat tinggi. Beli tinggi, nak jual pun (harga kena) tinggi. Siapa mau beli,” keluhnya.

Peniaga makanan panas, Helmi pula memberitahu, harga semangkuk bihun sup dijual terpaksa dinaikkan antara 10 hingga 15 peratus kerana lonjakan harga barangan mentah.

Kenaikan harga barang terutama bahan mentah telah menambahkan beban kepada penduduk terutama mereka yang berpendapatan rendah. - Gambar fail
Kenaikan harga barang terutama bahan mentah telah menambahkan beban kepada penduduk terutama mereka yang berpendapatan rendah. - Gambar fail

Harga seekor ayam misalnya jelas beliau, mencecah RM23 seekor sedangkan perniagaan diusahakan memerlukan lebih daripada 10 ekor ayam sehari.

“Kalau saya tak naikkan harga, maknanya kuantiti ayam carik dalam setiap hidangan terpaksa dikurangkan. Ini sedikit sebanyak akan menjejaskan mutu dan kualiti makanan,” katanya.

Helmi yang dibantu adik perempuannya mengakui, dia amat bersyukur kerana pelanggan tidak membantah kenaikan harga dibuat dan memahami kesusahan ditanggung.

“Susah kak. Saya tersepit. Tapi mujurlah pelanggan ramai yang tetap. Diorang faham bila saya bagitau terpaksa naikkan harga,” katanya.

Bakal melangsungkan perkahwinan Mac tahun depan, Helmi bagaimanapun mengambil pendekatan menang-menang apabila menambah kuantiti ayam carik digunakan, agar berbaloi dengan harga baharu itu.

“Saya kesian dengan pelanggan sebab harga memang berbeza. So saya ambik konsep berniaga sambil bersedekah. Ayam carik tu saya tambah banyak sikit dalam setiap mangkuk. Kurang-kurang pelanggan rasa berbaloilah dengan harga,” katanya.  

Kawalan Harga Dari Peringkat Awal

Bagi Ah Sim yang mengusahakan perniagaan runcit bersama isterinya, pelanggan kini lebih memilih untuk membeli barang dalam kuantiti lebih kecil berbanding dahulu.

Katanya, beliau juga mengambil pendekatan untuk tidak menyimpan stok dalam jumlah besar bagi mengelakkan semua barangan itu menjadi rosak.

Mesra disapa sebagai Uncle Sim, beliau yang sudah berniaga di pasar tersebut lebih 20 tahun berkata, gerai diusahakan masih kekal menjadi pilihan kerana kualiti produk yang dijual.

Sepatutnya langkah tertentu diambil dari peringkat awal bagi memastikan kawalan harga dapat dibuat sepenuhnya. - Gambar fail
Sepatutnya langkah tertentu diambil dari peringkat awal bagi memastikan kawalan harga dapat dibuat sepenuhnya. - Gambar fail

Ditemui ketika sedang membersihkan bawang merah kecil, Uncle Sim berkata, kuasa membeli semakin berkurangan ketika ini dek inflasi, walaupun negara sedang menuju ke ambang pemulihan.

“Dulu time PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), kita tau ma orang susah keluar. Sekarang orang sudah boleh keluar tapi harga pulak makin naik.

“Lama-lama macam ini kita pun susah mau jual lagi,” katanya.

Mengakui sedang menimbangkan kemungkinan untuk menutup perniagaan, Uncle Sim memberitahu, sesuatu perlu dilakukan dari peringkat awal bagi memastikan kawalan harga dapat dibuat sepenuhnya.

“Mau kawal harga, you mesti mau tengok dari first tier. Pemborong you mesti tengok. Bila mereka letak harga tinggi, mesti bila sampai penjual, harga akan jadi lagi tinggi. Simple math ma,” katanya.

Calon Muda Jadi Taruhan, Pengundi Gemarkan Muka Baharu

Getaran yang berkesempatan meninjau suasana sekitar Parlimen Tanjung Malim, Perak khususnya DUN Behrang mendapati, sentimen penduduk tempatan lebih cenderung kepada Pakatan Harapan (PH), berbanding dua gabungan lain.

PH yang menampilkan pemuda berusia 30 tahun, Khairol Najib Hashim di DUN Behrang dilihat menggunakan faktor beliau sebagai anak tempatan Tanjung Malim untuk memikat pengundi.

Khairol Najib Hashim (tengah) pada hari penamaan calon, 5 November lalu. - Gambar dari Facebook
Khairol Najib Hashim (tengah) pada hari penamaan calon, 5 November lalu. - Gambar dari Facebook

Siak di sebuah masjid di Behrang Ulu memberitahu, beliau gembira melihat kehadiran muka baharu kerana ia menandakan tidak lagi wujud golongan dinosaur dalam parti.

Hanya mahu dikenali sebagai Ghafur, dia memaklumkan, walaupun pemimpin lama sudah banyak berjasa, namun ada kalanya ideologi dibawa tidak lagi relevan dengan situasi semasa.

“Pakcik bagi contoh diri pakcik sendirilah. Masa muda lain mahunya. Dah senja macam sekarang, hidup mahu tenang aja nak. Sama juga macam politik, bila yang lama nak terus berkuasa, mereka tak akan mampu lagi kejar (peredaran zaman). Rehatlah, beri peluang orang muda (naik),” katanya, ikhlas.

Rakannya, Abu Seman turut melahirkan pendapat senada dan berkata, pemimpin lama wajar mencontohi tertib dibawa Rasulullah SAW.

“Rasulullah kalau makan, baginda akan berhenti sebelum kenyang. Baginda tak pernah makan sampai ‘tersengkak’ perut. Pemimpin pun patut macam itu juga.

“Turunlah dari kuasa bila nama masih baik. Ate takkan nak tunggu diguling baru sedor orang tak sior ke mike,” katanya, disulami dengan loghat Perak.

Kalah Jadi Abu, Menang Jadi Arang

Apapun yang berlaku, esok segala tanda tanya akan terjawab.

Parti mana yang diberi mandat, siapa bakal mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, pihak mana bergelar pembangkang, dan kem mana akan menangis tidak berlagu, tirai kebenaran akan disingkap esok sebaik pusat mengundi ditutup pada jam 6 petang.

Biar seperit mana keputusan bakal diberi, sebaik kaki melangkah masuk ke gelanggang, ia wajar diterima dengan hati terbuka kerana adat bertanding, kalah dan menang adalah pemutus segala.

Parti mana yang menang esok, terimalah dengan hati terbuka kerana rakyat telah membuat keputusan.
Parti mana yang menang esok, terimalah dengan hati terbuka kerana rakyat telah membuat keputusan.

Yang pasti, biarlah penutup segala kemelut ini sesuatu yang murni. Usah dibiar si kalah menjadi abu dan sang pemenang terbakar hangus menjadi arang.

Realitinya, semua keputusan dilakar pengundi esok adalah demi Malaysia, negara tercinta, justeru pilihan bakal dizahirkan adalah simbol kepada apa yang mereka mahukan; kestabilan, keharmonian dan tidak membebankan.

Siapa pun yang bakal memerintah itu, jika tidak boleh menyenangkan, jangan pula menyusahkan rakyat.  – Getaran, 18 November 2022

Berita Berkaitan

1

Semasa 11 bulan yang lalu

‘Saya Tak Kata Siasatan Dihentikan, Digugur, SPRM Berhak… ‘ - Azalina

2

Politik 11 bulan yang lalu

Maklumat Terlalu Umum, SPRM Dapati Tiada Bukti PN Terima Dana Syarikat Judi

3

Politik 1 tahun yang lalu

Cukup Bermain Politik, Utamakan Hal Rakyat Berbanding Kepentingan Peribadi

4

Politik 1 tahun yang lalu

Saya Amat Yakin Kerajaan Perpaduan Akan Kekal Hingga Penggal Berakhir – PM

Sorotan

1

Selangor Tewaskan KDA FC 1-0, Bergema 'Siu' Di MBPJ

2

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: Jenazah 2 Anggota Polis Dibawa Keluar Dari HSI

3

Gagal Jelaskan Hutang RM4.96 Juta, Jovian Apparel Disaman

4

Kelantan Gagal Sekat Sabah FC Bawa Pulang 3 Mata Dari Kota Bharu

5

Perbuatan 6 Bekas Penuntut UPNM Dera, Buli,  Melampau - Pendakwaan

6

Meta Diminta Beri Penjelasan Selepas Turunkan Posting 'Anwar-Hamas'

Disyorkan untuk anda

Sukan 12 jam yang lalu

Selangor Tewaskan KDA FC 1-0, Bergema 'Siu' Di MBPJ

Semasa 1 hari yang lalu

Konstabel Muhamad Syafiq Kebanggaan Keluarga - Abang

Politik 8 jam yang lalu

Permohonan Maaf Sanusi Buka Jalan Kerjasama Lebih Baik Dengan Kerajaan Pusat

oleh Wartawan The Malaysian Insight

Sukan 1 jam yang lalu

Zii Jia Rangkul Gelaran Kedua Terbuka Thailand