KUALA LUMPUR - Semua peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak berjaya meraih keputusan kelas pertama akan diberikan diskaun sebanyak 25 peratus, jika Perikatan Nasional (PN) berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Mantan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin berkata, agenda itu adalah antara perincian manifesto disediakan gabungan berkenaan.
Menurut beliau, ia adalah sebahagian daripada usaha PN mengiktiraf penat lelah pelajar yang bertungkus lumus berusaha, tetapi gagal mencapai keputusan diharapkan.
“Terdapat pelajar yang meminjam PTPTN sudah berusaha kuat semasa belajar, namun tidak berjaya mendapat keputusan kelas pertama.
“Kita bagi diskaun 25 peratus bagi membantu mereka yang tak dapat first class, untuk (membolehkan) mereka bayar balik (pinjaman). Itu antara janji kami,” katanya ketika berucap pada Himpunan Rakyat PN Best di Padang AU2 Keramat, di sini malam tadi.
Radzi yang berucap dalam keadaan hujan berkata, PN akan mengubah landskap politik negara, sekali gus menghancurkan kebongkakan Barisan Nasional (BN) yang masih merasakan diri mereka kebal.
“Mereka rasa UMNO, BN kebal sampai hari ini tapi mereka lupa, Allah Maha Besar.
“Penyelewengan perlu ditentang. Rakyat Malaysia bukan rakyat yang boleh ditipu,” tegasnya.
Radzi yang bertanding bagi merebut kerusi Parlimen Putrajaya berkata, PN juga akan memperbaiki kepincangan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sewaktu mentadbir negara, sejurus selepas memenangi PRU-14.
“Kerja pertama (PH) yang paling mengecewakan saya adalah apabila mereka berperang dengan kakitangan awam.
“Datuk Seri (Mohamed) Azmin Ali kata 12 KSU (Ketua Setiausaha) dibuang. Masuk-masuk fikir nak tukar orang, dia sendiri tak percaya dengan kakitangan awam”, jelasnya, merujuk kepemimpinan PH yang pada ketika itu diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.
Radzi memberi jaminan, kerajaan pimpinan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak memerlukan sebarang manifesto, tetapi rakyat tetap menerima bantuan diperlukan.
“Kerajaan Muhyiddin ditubuhkan tanpa sebarang manifesto, tanpa sebarang janji. Tetapi semasa pentadbiranbeliau, lebih RM500 bilion dikeluarkan untuk bantu rakyat. Kita tak janji tapi kita buat,” tegasnya.
Program Himpunan Rakyat PN Best dilihat mencatat kehadiran memberangsangkan, walaupun berlangsung dalam hujan lebat.
Ia turut dimeriahkan dengan persembahan kugiran veteran, Blues Gang yang mendendangkan lagu popular mereka, 'Apo Nak Dikato'.
Selain Radzi dan Muhyiddin, turut dilihat hadir ialah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan barisan calon PN di sekitar Lembah Klang. - Getaran, 15 November 2022

