web statsweb stats

Berita Terkini

9 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 9 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Salah Percaturan Kepimpinan Negeri Punca PN Gagal Takluk Melaka Pada PRN

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Nov 2022 9:36AM

Mas Ermieyati Samsudin berkata, terpulang kepada pengundi untuk menilai pencapaiannya, termasuk pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah - Gambar oleh Azim Rahman

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

MASJID TANAH - Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak menolak kemungkinan kekalahan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, disebabkan kegagalan percaturan kepimpinan negeri itu di bawah pentadbiran mantan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dalam meletakkan calon.

Beliau berpandangan, strategi digunakan ketika itu kurang sesuai walaupun hakikatnya, gabungan berkenaan mampu mencapai kemenangan lebih banyak kerusi sekiranya calon dipertaruhkan di kawasan lebih strategik.

“Ada banyak perkara, namun disebabkan ketika itu badan kepimpinan negeri orang lain, di mana mereka tidak bersama lagi dengan PN. Saya rasa PN Melaka pada ketika itu mampu melakukan dengan lebih baik menerusi pendekatan lebih inklusif tapi sayang, ia tidak berlaku.

“Bagaimanapun, (percaturan) itu mengajar kita untuk bangun daripada kesilapan. Oleh kerana itu, ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini, kita meletakkan calon pada tempat sesuai,” katanya ketika ditemui Getaran di sini.

Pada PRN Melaka November tahun lalu, Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan selepas memperoleh 21 daripada 28 kerusi dipertandingkan.

Daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu, lima kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), manakala PN memperoleh dua kerusi.

Mas Ermieyati bertanding di kerusi DUN Tanjung Bidara ketika itu, tetapi beliau yang dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika PN berjaya membentuk kerajaan negeri, tewas kepada calon BN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam pada itu, beliau berkata, calon yang bertanding di kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU-15 memiliki peluang sama rata walaupun ia dilabel sebagai kubu kuat BN.

Jelasnya, kuasa bagi menentukan siapakah paling layak menjadi wakil rakyat terletak di tangan pengundi Parlimen berkenaan.

“Masjid Tanah ini kubu kuat BN, saya tahu waima ketika saya keluar (UMNO). Ketika itu, saya tahu tindakan itu, (karier politik) habis dah, namun saya mempunyai niat untuk berkhidmat di kawasan ini.

“Bila PRU ini, saya tidak menjangka akan bertanding lagi sekali, apa yang saya ramal, keluar UMNO saya mati, namun sebab itu saya tahu ia bukan mudah untuk saya kekalkan kerusi Parlimen Masjid Tanah. Apapun, saya yakin dan percaya perancangan Allah adalah sebaik-baiknya di samping gerak kerja saya orang boleh menilai,” katanya.

Mas Ermiyati yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU berkata, terpulang kepada pengundi untuk menilai pencapaiannya, termasuk pengalamannya sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah.

Mas Ermieyati beramah mesra dengan orang ramai semasa berkempen di Pekan Masjid Tanah. - Gambar oleh Azim Rahman
Mas Ermieyati beramah mesra dengan orang ramai semasa berkempen di Pekan Masjid Tanah. - Gambar oleh Azim Rahman

“Saya pulangkan semula mandat kepada rakyat. Kalau mereka perlukan lagi khidmat saya sebagai wakil rakyat, beri saya peluang, namun jika merasakan saya sudah tidak bagus dan mahu tukar, itu terpulanglah kepada pengundi untuk memilih pemimpin dimahukan,” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik janjinya untuk berjuang sehabis baik bagi mempertahankan kerusi itu memandangkan calon parti lawan bukan calang-calang, Mas Ermieyati yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU meraikan persaingan terbabit sebagai sebahagian daripada proses demokrasi berparlimen di negara ini.

“Abdul Hakim (calon BN) rapat dengan beliau dan merupakan seorang pemimpin baik, itu kelebihannya. Bagi Mutalib (calon MUDA) walaupun dia orang luar, namun dia agak rajin turun padang serta Handrawirawan (calon PEJUANG) ini mantan Ahli BERSATU.

“Saya berkempen tidak langsung menggunakan serangan peribadi, tetapi saya akan lakukan dengan cara tengok dahulu apa yang boleh kita lakukan untuk menabur khidmat kepada rakyat di Masjid Tanah. Ini paling penting,” katanya.

Ditanya jangkaan BN akan menang mudah pada PRU-15, termasuk di Melaka, berikutan meraih majoriti pada PRN lalu, beliau berpendapat, keputusan itu tidak boleh digunakan sebagai petunjuk bahawa situasi serupa boleh berlaku pada keputusan pilihan raya kali ini yang bakal diketahui 19 November.

Justeru, beliau meminta jentera PN supaya terus bekerja keras bagi memastikan gabungan itu meraih kepercayaan pengundi.

“Penilaian tidak boleh dibuat berdasarkan keputusan PRN, tetapi boleh dilihat sebagai analisa perbandingan. Memang kita kalah PRN, termasuk empat Dewan Undangan Negeri (DUN), namun ia tak melemahkan semangat (parti).

“Kalau kita kata atau merasakan BN boleh menang besar, tidaklah kita nak masuk bertanding. Ini semua atas semangat PN, kita (parti komponen) masuk PRU-15 dan bersama-sama menyiapkan jentera serta manifesto untuk ditawarkan kepada pengundi. Saya mengharapkan, khususnya pengundi dalam kalangan Undi18 memberi sedikit nilai (keluar mengundi),” katanya.

Mas Ermieyati adalah mantan Ketua Puteri UMNO dan keluar daripada parti berkenaan pada 1 Julai 2018, iaitu dua bulan selepas PRU-14, sebelum mengemukakan borang keahlian BERSATU kepada Pengerusi BERSATU ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan Disember 2018.

Beliau disahkan sebagai ahli BERSATU Cawangan Ramuan Cina Kecil, Masjid Tanah pada 31 Disember 2018.

Pada PRU-14, Mas Ermieyati yang ketika itu mewakili Barisan Nasional (BN), menang dengan majoriti 8,159 undi selepas menewaskan Datuk Dr Sabirin Ja’afar dari PKR dan Nasir Othman (PAS). - Getaran, 8 November 2022.

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Polis Sahkan Tiada Unsur Buli Dalam Kes Pelajar Terjatuh Dari Bangunan Sekolah

oleh Amirah Abu Bakar

Luar Negara 7 jam yang lalu

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

oleh Amirah Abu Bakar

Semasa 1 hari yang lalu

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ

oleh Sophia Ahmad

Semasa 1 hari yang lalu

Gelaran Tan Sri Untuk Isa Samad Ditarik Balik 

oleh Sophia Ahmad