web statsweb stats

Berita Terkini

5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini 7 bulan yang lalu: PRN Sabah: Penamaan calon ialah pada 15 November manakala mengundi awal pada 25 November - SPR 8 bulan yang lalu: Semua kapal yang menyertai misi FFCxTMTGM telah dipintas tentera Israel dalam lingkungan 120 batu nautika dari Gaza - MyCARE

IKUTI KAMI


Muhyiddin Dakwa Tun M Mulakan Gerakan BERSATU Keluar PH

Politik Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 30 Oct 2022 3:20PM

Dr Mahathir Mohamad - Gambar fail

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mendedahkan bahawa mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebenarnya adalah individu bertanggungjawab memulakan gerakan untuk parti itu keluar dari Pakatan Harapan (PH). 

Muhyiddin memberitahu, Dr Mahathir bagaimanapun membuat 'pusingan u' di saat akhir apabila Majlis Presiden PH dalam mesyuaratnya pada 21 Februari 2020, membuat keputusan untuk terus menyokong Ahli Parlimen Langkawi tersebut sebagai Perdana Menteri.

"Sebelum itu, kalau kita masih ingat, beliau telah didesak oleh beberapa pihak dalam PH supaya berundur untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-8.

"Setelah Majlis Presiden PH membuat keputusan untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri, beliau cuba meyakinkan MPT BERSATU supaya kekal berada di dalam PH. Tetapi Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU hampir sebulat suara membuat keputusan sebaliknya," katanya hari ini.

Muhyiddin Yassin - Gambar fail
Muhyiddin Yassin - Gambar fail

Muhyiddin menambah, keputusan berkenaan dibuat kerana memikirkan BERSATU semakin kehilangan sokongan orang Melayu akibat tindak-tanduk beberapa pihak dalam PH, terutamanya parti DAP yang dilihat gagal menjaga sensitiviti orang Islam dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini. 

Dalam dua pilihan raya kecil di Semenyih dan Tanjung Piai, jelasnya, calon BERSATU yang bertanding atas tiket PH kalah. 

Beliau berkata, sokongan pengundi Melayu kepada BERSATU ketika itu merosot walaupun kedua-kedua kerusi ini dimenangi oleh BERSATU pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Walaupun kecewa dengan keputusan MPT BERSATU, kata Muhyiddin, Dr Mahathir tidak sepatutnya meletak jawatan kerana pada masa itu telah ada 138 akuan bersumpah (SD) ahli-ahli Parlimen dari BERSATU, PKR, PAS, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan WARISAN yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri. 

"Saya adalah antara Ahli Parlimen yang telah menandatangani akuan bersumpah untuk terus menyokong beliau sebagai Perdana Menteri.

"Maksudnya, walaupun BERSATU keluar PH, kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri tidak terjejas. Malangnya, Tun Mahathir meletak jawatan juga atas kerelaannya sendiri," katanya.

Apabila seorang Perdana Menteri meletak jawatan, ujarnya, menurut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri baharu mesti dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dengan peletakan jawatan Tun Mahathir sebagai Pengerusi BERSATU, Muhyiddin berkata, beliau sebagai presiden parti telah mempengerusikan mesyuarat khas MPT Bersatu. 

Menurut beliau, mesyuarat tersebut telah sebulat suara membuat keputusan untuk mencalonkan semula Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan semua ahli Parlimen BERSATU telah diarahkan supaya menyokong Ahli Parlimen Langkawi berkenaan.

"Pada ketika itu, Presiden PAS dan Presiden UMNO mencadangkan supaya saya menerima pencalonan sebagai Perdana Menteri. Saya tolak pencalonan itu kerana keputusan parti ialah untuk menyokong Tun Mahathir.

"Ketika semua Ahli Parlimen dipanggil menghadap oleh  Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan siapa yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri, saya telah menyatakan sokongan saya kepada Tun Mahathir," katanya lagi.

Malangnya, tambah beliau, Dr Mahathir gagal mendapat sokongan majoriti memandangkan sebahagian besar Ahli Parlimen yang menandatangani SD menyokongnya sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah menarik balik sokongan.

Oleh sebab itu, Muhyiddin berkata, menurut Perlembagaan Persekutuan, Dr Mahathir tidak boleh dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

"Seorang lagi calon Perdana Menteri iaitu Anwar pun gagal mendapat sokongan majoriti untuk dilantik sebagai perdana menteri," katanya.

Muhyiddin memaklumkan, negara pada masa itu terumbang-ambing kerana tidak ada seorang pun dalam kalangan Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen lain untuk dilantik sebagai perdana menteri. 

"Pada ketika itulah saya sekali lagi didatangi oleh rakan-rakan dalam parti PAS dan UMNO yang menyatakan sokongan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

"Menurut mereka, inilah satu-satunya cara untuk menyelamatkan negara daripada keadaan yang terumbang-ambing," katanya.

Sebagai tanda hormatnya kepada Dr Mahathir, Muhyiddin memberitahu, beliau telah menemui mantan Perdana Menteri berkenaan untuk meminta sokongannya. 

Muhyiddin berkata, Dr Mahathir telah memberitahunya bahawa beliau sedia memberi sokongan kepadanya sebagai Perdana Menteri jika berjaya mendapatkan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

"Saya beritahu Tun Mahathir, Insya-Allah saya akan mendapat sokongan majoriti.

"Namun, Tun Mahathir membuat pusingan u sekali lagi apabila beliau mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri untuk berlawan dengan saya. Allahuakbar," katanya. - Getaran, 30 Oktober 2022

Sorotan

1

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

2

Pemandu 4WD Positif Dadah Ditahan, Dikesan Pandu Secara Mengundur Di Lebuh Raya

3

Gempa Bumi Selatan Filipina: Angka Korban Meningkat 37, Ribuan Gempa Susulan Menanti Penyelamat

4

Kerjasama Dengan BERSATU Tamat Demi Perpaduan Dan Kestabilan Politik - PAS

5

Lelaki Guna Pembesar Suara Cetus Kebimbangan, Dakwa Kononnya COVID-19 Kembali Menular

6

Kanak-Kanak Perempuan Maut, Abang Kritikal Jatuh Dari Pangsapuri

Disyorkan untuk anda

Semasa 1 hari yang lalu

Warga SPRM Wajib Isytihar Harta Dalam Tempoh Sebulan - KP SPRM

Politik 9 jam yang lalu

PRN Negeri Sembilan: BN Bertanding Secara Solo - Ahmad Zahid

oleh Sophia Ahmad

Politik 16 jam yang lalu

PRN Johor: 2.7 Juta Layak Mengundi, Lebih 40,000 Petugas Pilihan Raya Dilantik

Semasa 1 hari yang lalu

Kerajaan Tolak Desakan Beremosi, Tangani Isu Pelarian Dengan Berhemah - Saifuddin

oleh Sophia Ahmad