KUALA LUMPUR - Tindakan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggesa kerajaan menyelamatkan Sapura Energy Berhad (SAPURA) dianggap seolah-olah ‘cakap tidak serupa bikin’, kata Rafizi Ramli.
Menurut mantan Naib Presiden PKR itu, tindakan Najib menggesa syarikat itu diselamatkan juga hanyalah ‘auta’ yang dibangkitkan mengikut perasaan admin laman Facebook miliknya.
“Dia mengkritik tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ‘bail out’ (menyelamatkan) SAPURA dalam tahun 2018, kini dia pula perasan cerdik dan berlakon prihatin apabila menggesa perkara sama pada tahun 2022.
“Tindakan Najib ini umpama ‘orang lain mencuri tidak boleh, dia mencuri boleh pula’,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.
6 April 2022 AUTA NAJIB: PH ‘BAILOUT’ 2019 SALAH, DIA ‘BAILOUT’ OK Selepas saya membantah gesaan Dato’ Seri Najib Tun...
Posted by Rafizi Ramli on Tuesday, April 5, 2022
Rafizi yang menawarkan diri untuk bertanding kerusi Timbalan Presiden PKR berkata, beliau konsisten dengan pendirian bahawa semua bail out, termasuk ketika pemerintahan PH di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tidak bagus.
“Saya tidak ada pengaruh, jawatan atau kedudukan di dalam kerajaan PH ketika itu, saya lantang mengkritik beberapa keputusan Dr Mahathir waktu itu.
“Langkah menyuntik dana PNB (Permodalan Nasional Berhad) untuk menyelamatkan SAPURA ketika itu adalah satu lagi keputusan pentadbiran Dr Mahathir yang saya tidak bersetuju,” katanya.
Beliau berkata demikian berhubung langkah menyelamatkan SAPURA melalui PNB yang menyuntik dana RM4 bilion untuk memperbaiki aliran tunai syarikat terbabit.
Mantan Ahli Parlimen Pandan itu berkata, semua bentuk bail out yang membabitkan suntikan dana awam untuk menyelamatkan syarikat korporat adalah wajar ditolak, malah prinsip tersebut terpakai kepada semua syarikat termasuk milik kerajaan atau berkaitan kerajaan (GLC).
Rafizi turut menggariskan empat sebab mengapa bail out tidak wajar, antaranya menggalakkan usahawan korporat untuk mencari jalan singkat mengaut keuntungan mendadak tanpa mengambil kira langkah membina syarikat berdaya saing dan kental.
“Bail out ini juga sama dengan menswastakan keuntungan dan memiliknegarakan kerugian dalam erti kata lain ketika perniagaan untung, keuntungan diambil oleh pemilik tetapi apabila perniagaan rugi, kerugian dialihkan kepada orang ramai.
“Selain itu, dana awam digunakan secara terpilih hanya menguntungkan segelintir golongan masyarakat sahaja, sedangkan jumlah besar terbabit boleh dimanfaatkan kepada golongan lebih besar.
“Syarikat diambil alih selepas bail out juga selalunya mewarisi pelbagai masalah kewangan kronik (akibat dari keborosan pengurusan sebelumnya) yang tidak dapat diselamatkan walaupun ada suntikan dana awam,” katanya.
Justeru, Rafizi mencadangkan supaya Ahli Parlimen PKR untuk menggubal satu rang undang-undang (RUU) secara persendirian yang mengawal selia sebarang suntikan dana awam berbentuk bail out untuk dibentangkan di Parlimen.
“Sebarang bentuk bail out perlulah dibuat menggunakan akta diluluskan di Parlimen dan ia perlu menetapkan syarat jelas mengenai peranan, hukuman serta imbuhan kepada pemilik asal dan eksekutif kanan syarikat.
“Selain itu, sebarang bail out seboleh-bolehnya melibatkan industri (yang perlu diselamatkan atau dipertahankan) bukannya syarikat tertentu,” katanya. – Getaran, 6 April 2022
