JOHOR BAHRU - Dalam tempoh hanya tinggal sehari sebelum rakyat Johor keluar melaksanakan hak sebagai pengundi bagi pilihan raya di negeri itu pada Sabtu ini, sudah agak terlambat buat semua parti untuk bergabung menentang Barisan Nasional (BN).
Presiden Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, jika Pakatan Harapan (PH) bersama Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) serius untuk menggabungkan semua parti pembangkang bagi menjatuhkan BN, ia seharusnya dibincangkan lebih awal.
Menurut beliau, adalah tidak adil kepada parti lain yang sudah meletakkan calon masing-masing dan menggerakkan jentera bagi mendekati pengundi di negeri berkenaan sekiranya parti pembangkang bergabung.
“Saya faham mungkin tujuannya nak menyatukan pengundi yang tidak menyokong BN, sebelum ini ada berkata undi pembangkang harus disatukan.
“Saya kira agak terlambat untuk kita nak gabungkan ini dan kenapa pulak nak sokong calon dia sahaja. Tak aci la macam itu, kami pun bertanding juga,” jawabnya secara berseloroh pada sidang media di Pusat Media PRN Johor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bersama Pengarah Komunikasi PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP dan MUDA yang menyeru pengundi hanya mengundi calon PH dan MUDA sahaja.
Menurut satu kenyataan bersama parti gabungan pembangkang itu, seruan berkenaan bertujuan mencapai hasrat menumbangkan BN pada Sabtu ini.
Kenyataan itu turut memaklumkan, timbul kegusaran berlaku perpecahan undi antara parti yang menentang BN dan situasi terbabit hanya akan menguntungkan parti pimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terbabit.
Mengulas lanjut, Mukhriz memberitahu, konsep ‘khemah besar’ dicadangkan PH tidak menjadi apabila hanya MUDA menyertai gabungan berkenaan.
Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, konsep terbabit juga mengelirukan pengundi apabila gabungan berkenaan menggunakan tiga logo, iaitu logo PH, manakala PKR dan MUDA menampilkan logo parti masing-masing.
“Keadaannya tidak sama seperti Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila kami bertanding di bawah satu lambang sahaja, iaitu logo PKR yang mewakili PH.
“Ke mana-mana sahaja kami menggunakan logo yang satu, jadi tak ada beza. Saya kira sudah terlambat untuk kita berbuat demikian,” ujarnya. – Getaran, 10 Mac 2022

