KUALA LUMPUR - Integriti dibawa Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim nyata menarik perhatian ramai, termasuk personaliti di luar negara.
Meski perjalanannya dalam arena politik dipenuhi kontroversi yang bukan sedikit, ia bukan penghalang untuk sosok tubuh itu dijadikan contoh, lantaran kekentalan semangat dimiliki.
Terbaru, keperibadian Anwar yang juga Presiden PKR dijadikan contoh oleh pemuzik sensasi, Dhani Ahmad Prasetyo atau lebih dikenali sebagai Ahmad Dhani, sewaktu diwawancara David Bayu menerusi rancangan bual bicara, Backchat!.
Pada yang mungkin tidak mengetahui, teraju kumpulan Dewa 19 itu kini aktif berpolitik, malah kelantangannya bersuara berakhir dengan hukuman penjara selama 18 bulan pada Januari 2019, kerana disabitkan dengan kesalahan menyampaikan kata-kata berunsur kebencian.
Hukuman tersebut malah tidak menjadikan serik, apabila pada Jun 2019, Ahmad Dhani sekali lagi dipenjara, kali ini selama 20 bulan atas kesalahan menghina seteru politik.
“Modal integriti spt Anwar Ibrahim”
— Rashid Yusoff (@RashidYusoff11) February 1, 2022
-Ahmad Dhani.
Power! pic.twitter.com/DZHZ3yfrHW
Mengenali Ahmad Dhani, bapa empat anak itu gemar benar mencipta kontroversi, justeru tidak kurang melabel anak kelahiran Surabaya itu sebagai angkuh, malah keras apabila berbicara.
Namun di sebalik semua kisah jelik, sentuhan magisnya dicintai jutaan Baladewa, dan falsafah dibawanya terpateri dalam perjuangan politik yang menjadi dukungannya ketika ini.
Dalam bual bicara tersebut, bekas suami Maia Estianty itu dengan bangga mengakui bahawa dia membayar modal yang cukup ‘mahal’ untuk menyertai politik.
Dipangkas David yang menyifatkan hukuman penjara bukan satu perkara menyeronokkan, Ahmad Dhani malah tersenyum, dan menganggap ia sebagai hadiah dari Tuhan.
“Tuhan tahu, dalam berpolitik perlu ada modal. Semua tokoh politik yang anda kenali ketika ini memerlukan modal. Ada yang bermodalkan wang, ada yang bermodalkan keturunan.
“Ahmad Dhani modalnya apa? Dia tidak ada wang, bukan juga anak orang kenamaan, jadi modalnya apa,” soalnya sambil mendakwa, dia dipenjara kerana tidak memiliki pengaruh sebagai dahan tempat berpaut.
Pertanyaan beliau itu membuatkan David penasaran, sebelum Ahmad Dhani memberitahu, hanya bersandarkan kepada integriti sebagai modal untuk berpolitik.
“Seperti Anwar Ibrahim, saya hanya bermodalkan integriti, dan pada hemat saya, itu yang ‘mahal’,” katanya, tersenyum.
Jawapan bersahaja beliau berhasil membuatkan David mengangkat tangan, entah kerana takjub atau terkejut, dengan prinsipnya yang luar biasa.
Apapun, baik Ahmad Dhani dan Anwar Ibrahim, kedua-duanya individu unik dengan keperibadian tersendiri, pernah dipenjara kerana perjuangan dalam politik dan apabila dibebaskan, nyata semangat mereka tidak pernah mati. - Getaran, 3 Februari 2022

