KUALA LUMPUR - Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Januari lalu menyaksikan satu lagi sejarah politik tanah air tercipta, apabila empat pilihan raya negeri diadakan dalam tempoh kurang setahun setengah.
Ia bermula dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September 2020 susulan mantan Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, seterusnya ‘memaksa’ pemimpin utama kerajaan negeri ketika itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon perkenan Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin untuk membubarkan DUN.
Pada 20 November 2021, PRN Melaka menemui pengundi selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri berkenaan mengumumkan hilang kepercayaan dan menarik semula sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.
Kurang sebulan kemudian, PRN Sarawak pula menjengah pada tanggal 18 Disember ekoran tempoh DUN berakhir yang menuntut pilihan raya diadakan.
Bukan punca di sebalik penganjuran pilihan raya itu menjadi perhatian rakyat, khususnya pengundi di kawasan berkenaan, tetapi apa yang menggusarkan mereka adalah penularan jangkitan COVID-19.
Mereka bimbang penularan ‘menggila’ COVID-19 ketika PRN Sabah yang menyaksikan angka jangkitan meningkat mendadak kembali berulang, meskipun sebelum itu negara pernah mencatatkan sifar kes dalam kalangan penduduk tempatan.
Justeru, biarpun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya dijangka akan mengumumkan tarikh dan maklumat terperinci berhubung PRN Johor pada 9 Februari depan, pihak berkenaan dicadang memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin bagi mengekang penularan jangkitan virus itu.
Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, kempen bersemuka tidak digalakkan ketika PRN Johor, sama seperti peraturan ditetapkan pada tiga pilihan raya sebelum itu memandangkan negara belum bebas pandemik berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, perjumpaan bersemuka bersama pengundi boleh diadakan dengan batas dan syarat tertentu, bagi memastikan kempen pilihan raya dijalankan secara lebih berkesan.
“Misalnya kempen menerusi kaedah bersemuka itu tidak boleh melebihi 12 orang dan kumpulan parti berbeza tidak boleh bertembung pada waktu sama.
“Boleh tetapkan jarak ketika berjumpa pengundi secara bersemuka tetapi tidak boleh memasuki rumah dan hanya di luar rumah contohnya, tetapi SOP ini bergantung kepada kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta SPR untuk menentukannya,” katanya ketika dihubungi Getaran.
Awang Azman berkata, ketetapan kempen harus dilakukan melalui konsep keterbukaan, iaitu memperluaskan penggunaan media sosial kepada pengundi, khususnya di kawasan sukar mendapat akses internet.
Jelasnya, selain mengetatkan SOP, seharusnya terdapat usaha tambahan untuk menggalakkan pengundi turun memangkah kertas undi.
Usaha itu, katanya, menjadi tanggungjawab jentera parti, termasuk meyakinkan penyokong masing-masing bahawa setiap undi sangat penting untuk menentukan masa depan politik di Johor.
“Jadi untuk mendapat sokongan sedemikian, parti politik perlu memastikan mereka meletakkan calon terbaik supaya penyokong bersetuju memilih.
“Apa pun, tugas SPR adalah menggalakkan lebih ramai warganegara untuk turun mengundi, bukan menetapkan peraturan atau SOP sehingga menyebabkan orang ramai malas menunaikan tanggungjawab berkenaan,” katanya.
Mengulas isu sama, Penganalisis Politik dan Media Sosial, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berpendapat, strategi kempen pilihan raya itu harus diperbanyakkan agar segala maklumat masih boleh sampai ke peringkat akar umbi meskipun SOP PRN Johor wajar diperketatkan.
Beliau berkata, kempen media sosial sememangnya menjadi alternatif dan harapan untuk parti politik menarik hati pengundi dalam keadaan pandemik ketika ini.
Jelas Sara, bukan semua individu mempunyai keupayaan untuk menggunakan kaedah itu, antaranya warga emas dan penduduk di kawasan pedalaman.

“Jadi di samping platform media sosial, saluran komunikasi lain seperti WhatsApp dengan ketua komuniti setempat dan penyebaran video klip pendek dalam tempoh dua minit mengenai perkara ingin disampaikan misalnya, boleh banyak membantu calon serta parti bertanding.
“Kandungan media ini juga boleh disampaikan dalam pelbagai bahasa bagi memaparkan reputasi baik parti politik,” katanya.
Sara menarik perhatian, pelaksanaan SOP ketat mungkin akan memberi impak daripada segi peratusan keluar mengundi seperti yang berlaku di PRN Melaka namun, ia mampu mengelakkan penularan COVID-19.
“Kita tak tahu sama ada pilihan raya ini akan menyebabkan berlaku penularan COVID-19 atau tidak, jadi pelaksanaan SOP ketat bakal mengelak penularan wabak ini.
“Pada masa sama, kita juga lihat bahawa walaupun SOP ketat dilaksanakan di PRN Melaka, keadaan masih terkawal,” katanya. - Getaran, 28 Januari 2022.