Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


PH Punya Alasan Tersendiri Mengapa Bertanding Atas Logo Berbeza

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Nov 2021 8:35AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Keputusan Pakatan Harapan (PH) membenarkan komponennya menggunakan logo parti masing-masing di kerusi ditandingi pada Pilihan Raya Sarawak (PRN), Disember ini, menimbulkan tanda tanya mengenai kewajaran atau rasional di sebalik tindakan itu.

Lebih mengundang persoalan, apabila Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, mengatakan setiap parti komponen memiliki hak menentukan calon sendiri, termasuk lambang ketika berkempen yang akan tertera di kertas undi pada hari pengundian.

Perkara itu mencetuskan pertanyaan, adakah hubungan antara parti komponen PH Sarawak yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) berdepan masalah?

Sejarah kekalahan besar PH di PRN Melaka ketika menggunakan logo sama menyebabkan ada suara mendakwa ia adalah punca kepimpinan blok tersebut, terutama DAP enggan bertanding atas lambang serupa.

Jika difikirkan dakwaan itu mungkin ada benarnya, apatah lagi dengan desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen baru-baru ini agar Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang atas kekalahan PH di PRN Melaka.

Malah, Chin Chen menerusi kenyataannya di Facebook itu, turut mengatakan mungkin sudah tiba masa DAP perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada PH sekiranya Ahli Parlimen Port Dickson itu enggan berundur.

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Bagaimanapun, Penganalisis Politik, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi menyifatkan, keputusan untuk ketiga-tiga parti bertanding atas logo masing-masing tidak menggambarkan kemelut dalaman, sebaliknya strategi untuk memastikan dan menilai populariti tersendiri di mata rakyat Sarawak.

Pemilihan menggunakan logo sama di PRN Melaka katanya, sesuai memandangkan PH dan komponennya sudah lama bertapak serta dikenali di Semenanjung.

Namun, dalam konteks membabitkan PRN Sarawak jelasnya, penggunaan logo masing-masing dapat mengukur kekuatan sebenar setiap parti komponen PH itu dalam kalangan rakyat di negeri berkenaan.

“Misalnya memang terbukti DAP masih diminati pengundi Cina, tetapi dalam keadaan ketika ini, sejauh mana kebenaran bahawa pengundi Cina di Sarawak masih mahu memilih parti berkenaan.

“Sama juga dengan PKR yang memfokuskan masyarakat di kawasan multi etnik, manakala AMANAH pula menumpukan kepada orientasi Islam progresif, jadi di situ kita dapat menilai penerimaan rakyat Sarawak walaupun negeri ini adalah kubu sukar ditembusi PH,” katanya ketika dihubungi Getaran.

Ditanya bagaimana pendekatan boleh diambil PH bagi menawan hati pengundi Sarawak, Awang Azman berkata, usaha itu sememangnya sukar, tambahan dalam situasi penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat ketika pandemik COVID-19.

SOP tidak membenarkan kempen fizikal secara bebas itu katanya, pasti memberi kekangan kepada PH untuk mempromosikan parti dan calon.

Bagaimanapun beliau berkata, PH mungkin boleh mengubah sentimen pengundi atau memenangi kerusi, sekiranya mereka mampu menonjolkan kelemahan parti lawan pimpinan kerajaan sedia ada yang mungkin tercetus pada saat akhir.

Jelasnya, perkara seperti isu muka lama tidak dicalonkan semula, perebutan kawasan ditandingi, tidak berpuas hati kerana gagal dipilih atau wujud sabotaj dalam kalangan anggota Gabungan Parti Sarawak (GPS) antara perincian yang mungkin membantu.

Menurut Awang Azman, PH tidak boleh mengharapkan kekuatan sendiri untuk memenangi kerusi memandangkan parti sedia ada yang sudah lama bertapak di Sarawak sememangnya lebih dominan.

“Lebih sukar memenanginya dalam keadaan SOP ketat dan situasi ekonomi kurang menggalakkan yang menyaksikan rakyat memikirkan tentang kehidupan serta kestabilan politik, bagi memastikan ekonomi terus bergerak,” katanya.

Dr Ammar Redza Ahmad Rizal
Dr Ammar Redza Ahmad Rizal

Mengulas isu sama, Penganalisis Politik yang juga Ahli Akademik Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Ammar Redza Ahmad Rizal menyifatkan, keputusan parti komponen PH menggunakan logo masing-masing mungkin menampakkan seolah-olah wujud sedikit rasa tidak pasti berhubung keupayaan untuk ‘membeli’ hati pengundi di Sarawak sekiranya mereka bertanding di bawah satu lambang.

Malah, katanya, dalam keadaan DAP mempunyai kekuatan di beberapa kerusi, seperti Miri, Stampin dan Batu Kitang, semestinya parti itu risau timbul naratif berbeza dalam kalangan pengundi sekiranya mereka tidak menggunakan logo sendiri.

Bagaimanapun, Ammar Redza berpandangan, DAP tidak mampu berdiri sendiri dan masih memerlukan komponen PH untuk memperoleh kerusi majoriti bagi membolehkan parti itu menjadi kerajaan di negeri Bumi Kenyalang berkenaan.

“Dalam konteks Parlimen, kalau DAP memenangi semua kerusi di kawasan ditandingi di kawasan etnik Cina pun, parti ini tidak akan memperoleh 111 kerusi untuk membentuk kerajaan.

“Cuma saya berpandangan mereka rasa lebih baik menggunakan logo parti masing-masing pada PRN Sarawak sebab ini akan memberi kelebihan kompetitif kepada mereka, lagi-lagi apabila mungkin mahu mencetuskan sentimen kepartian atau dirasakan sesuai,” katanya.

Diminta tip berhubung apakah pendekatan boleh dilakukan setiap calon kerajaan dan pembangkang untuk memastikan pengundi di negeri itu memilih mereka sebagai ADUN, Ammar Redza berkata ada beberapa aspek perlu diberikan perhatian.

Paling utama, katanya, memberi tumpuan terhadap politik pemulihan pasca COVID-19 yang menyaksikan negara beralih ke fasa endemik dan masyarakat memerlukan bantuan, program atau jangkaan untuk pembangunan ekonomi, antaranya peluang pekerjaan lebih baik.

Ammar Redza berkata, rakyat di Sarawak juga memerlukan pembangunan dan kemudahan infrastruktur, malah beliau menasihatkan parti politik membangkitkan serta mengutamakan isu kebajikan rakyat ketika berkempen.

“Pada masa sama, saya nak ingatkan pematuhan SOP amat penting untuk dipratikkan. Kita mahu jadi wakil rakyat ini, kenalah memberikan contoh yang baik.

“Jangan lah nanti disebabkan keinginan untuk mendapatkan kerusi itu, mereka (calon) mengabaikan benda lebih mustahak, iaitu kebajikan dan kemaslahatan kesihatan pengundi di kawasan terbabit,” katanya. - Getaran, 27 November 2021

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Disyorkan untuk anda

Luar Negara 1 hari yang lalu

Jamaica Secara Rasmi Iktiraf Palestin Sebagai Sebuah Negara

Semasa 1 hari yang lalu

Hafizul Hawari Hadapi 7 Pertuduhan

oleh Wartawan Getaran

Semasa 1 hari yang lalu

Sultan Selangor Beri Perkenan Pembatalan Sambutan Ulang Tahun TLDM Jumaat Ini

oleh Fida Ruzki

Semasa 1 hari yang lalu

Lelaki Lemas Ketika Bercuti Di Air Terjun Sekayu