Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Kabinet Antik Berkayu Lama, Apa Nasib Malaysia Tercinta?

Politik Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Aug 2021 12:10PM

Beberapa orang awam melihat siaran langsung pengumuman barisan anggota Jemaah Kabinet baharu oleh Ismail Sabri Yaakob, semalam. - Gambar Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR – Barangan antik sememangnya amat bernilai, apatah lagi jika ia tergolong sebagai khazanah purba yang sarat dengan sejarah tamadun zaman silam.

Nilai estetika artifak seumpama itu begitu tinggi, malah menjadi satu kesalahan jika ia di'songlap' untuk dijual kepada pengumpul bagi melengkapkan koleksi peribadi.

Dek permintaan luas termasuk di pasaran gelap, tidak menghairankan apabila tapak arkeologi yang sedang dalam proses cari gali akan dikawal rapi, bagi mengelakkan ia diceroboh pencuri.

Laporan kehilangan koleksi bersejarah dengan nilai mencecah jutaan ringgit juga sering menghiasi dada media, termasuk berita penangkapan individu tertentu yang berjaya diberkas pihak berkuasa atas cubaan menjual artifak seumpama itu di pasaran gelap.

Begitu tinggi nilai si antik, pantaslah sentiasa menjadi rebutan, walau yang moden tak kurang hebatnya, dan ia terbukti benar menerusi penyenaraian Kabinet baharu.

Kelapa Tua Dan Pemimpin Lama

Ibarat kelapa tua, lebih berusia lebih minyaknya, barangkali itu kriteria diguna pakai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membuat pemilihan terhadap calon yang bakal mengisi kerusi Jemaah Menteri, sebelum ia dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Khamis lalu.

Mulut cuba berkata tidak, akan tetapi hati sukar menafikan apabila menyaksikan pengumuman senarai Jemaah Menteri secara langsung, semalam.

Di kala rakyat menggantung harapan yang cukup tinggi untuk melihat negara kembali diterajui barisan pemimpin berwibawa, hati bagai terhempas ke batu sebaik sahaja barisan menteri dan timbalannya diumumkan.

Bukan sekadar mengitar semula senarai pimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Ismail Sabri turut melakar kejutan yang sukar dipercayai, apabila memutuskan untuk membawa masuk beberapa ‘entiti’ purba yang sudah selayaknya bersara dari arena politik negara.

Di saat negara ketandusan jentera pemikir agresif dalam menangani penularan pandemik COVID -19 dan krisis ekonomi, Naib Presiden UMNO itu nampaknya menggunakan peluang keemasan dimiliki untuk memanggil semula ‘khazanah purba’ UMNO, walaupun mereka sudah ‘tersingkir’ dari barisan kabinet untuk satu tempoh yang panjang.

Melihat nama Datuk Seri Shahidan Kassim dan Tan Sri Noh Omar tersenarai sebagai menteri penuh, hati ngeri memikirkan, apakah nasib Malaysia selepas ini.

Apa relevannya Shahidan dan Noh dalam jentera pentadbiran negara? Apakah kedua-dua individu itu cukup berkredibiliti hingga melayakkan mereka dipanggil semula demi memperkasakan barisan kepimpinan? Apa pencapaian yang boleh dibanggakan, selain membuat kecoh di Dewan Rakyat?

Apakah Perdana Menteri sendiri, selaku teraju utama negara terlalu lemah, lantas memerlukan dukungan dua veteran UMNO ini yang sebenarnya sudah layak menjadi penghuni muzium?

Pemimpin bukan seperti kelapa tua yang dicari kerana khasiat terkandung pada minyak dihasilkan.

Pemimpin, jika tidak lagi relevan dengan senario semasa yang melatari negara hanya akan mengundang padah, malah berpotensi menjadi api di dalam sekam, menghancur secara diam.

Kerajaan Kitar Semula

Kerajaan kitar semula hanya sebahagian daripada jolokan diberi terhadap Jemaah Menteri baharu, apabila senarai yang ada menyaksikan beberapa menteri daripada pimpinan lama kembali diserap masuk.

Logik akal pasti akan bertanya, apakah Malaysia sudah sebegini tandus dengan pemimpin, sehingga mereka yang berada di bawah par masih disenaraikan?

Melihat nama-nama seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Dr Adham Baba, Datuk Seri Rina Harun dan Datuk Seri Dr Mohd Radzi Jidin, hati tersayat pedih.

Apakah benar ini sedang berlaku tuan-tuan? Apakah benar seorang menteri yang tidak tahu membezakan antara Spanish Flu dan Spanish Fly kembali menyandang portfolio penuh?

Apakah benar, menteri yang hanya menjadi sebutan kerana kejayaan menguruskan badan sekali lagi diangkat menerajui kementerian sama, walhal terang lagi bersuluh tiada sebarang pencapaian membanggakan pernah dicatat?

Apakah benar, seorang menteri yang menutup mata terhadap pencetus utama peningkatan kes COVID-19 dilantik lagi, sekali gus terus membuka ruang untuk ketirisan berlaku?

Dan apakah benar, seorang menteri yang dilihat gagal mengepalai sektor pendidikan di kala pandemik dipanggil semula, tanpa sebarang jaminan bahawa semua kebobrokan itu akan pulih akhirnya?

Tutup Pintu Luar, Buka Pintu Belakang

Rakyat masih ingat dengan jelas bagaimana Azmin ‘membuka pintu belakang’ ketika negara bakal melaksanakan sekatan penuh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0) pada 12 Mei.

Apabila sebahagian besar pihak, khususnya petugas kesihatan menarik nafas lega kerana buat pertama kali, sektor perkilangan akan ditutup, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu pula ‘berpaling tadah’, membuka kesempatan untuk pengusaha perniagaan memohon kebenaran beroperasi.

Hasilnya, lebih 100,000 syarikat dibenarkan dibuka, sekali gus menjadikan PKP 3.0 seakan tiada ertinya.

Atas dasar ini, bagaimana Perdana Menteri boleh terfikir untuk kembali bekerjasama dengan individu yang sebenarnya, ‘pencetus’ kepada peningkatan jangkitan COVID-19?

Aneh lagi menjanggalkan sebenarnya, apabila individu yang terbukti jelas ‘menggagalkan’ PKP 3.0 itu kembali diserap masuk, malah sekali lagi diberi amanah menggalas tanggungjawab ke atas portfolio sama.

Mengundang tikus masuk ke gudang beras, sudah terang lagi bersuluh bukan percaturan bijak.

Justifikasi Ismail Sabri dalam hal ini, walau apa juga faktor diberikan sememangnya sukar diterima.

Peluang kedua ini bukan sekadar membolehkan ‘pintu belakang’ kembali dibuka, bahkan seluruh ‘rumah’ akan tersedia luas, hanya menanti untuk melangkahkan kaki.

Politik Negara, Lawak Tidak Berkesudahan

Barangkali memang sudah ditakdirkan, senario politik negara mutakhir ini adalah pentas komedi yang menjadi sendaan ramai.

Belum pun panas punggung di kerusi, jenaka mengenai barisan Kabinet negara tersebar luas di media sosial, malah turut menerima perhatian negara luar.

Seorang sumber yang kini berada di benua Eropah kerana melanjutkan pelajaran berbisik, rakan sekuliahnya meluahkan kehairanan apabila Malaysia memilih seorang persona non grata untuk menjadi teraju negara.

Rakan sumber itu bilang, bagaimana individu berkenaan mahu membawa Malaysia dengan lebih hebat, jika namanya sendiri tidak dikenali masyarakat dunia.

Maka terkulat-kulatlah sumber berkenaan, merah telinga mendengar pandangan ikhlas seorang rakyat luar, yang kebetulan tidak asing lagi dengan Malaysia kerana jatuh cinta dengan keindahan alam semula jadi negara bertuah ini.

Jangan salahkan pihak yang memberi pendapat, kerana mereka tidak berkepentingan apa-apa bahkan, suara sama turut berkumandang di media sosial.

#kerajaangagal2 ?

Pemerhatian di Twitter mendapati, penyenaraian nama Azmin, Zuraida, Rina, Mohd Radzi, Dr Adham cukup membuatkan netizen meluat.

Belum lagi disebut nama Shahidan dan Noh, oh bagaikan peluru Israel mereka menyerang, meluahkan kemarahan atas keputusan yang disifatkan amat tidak masuk akal.

Dek amarah itu, tanda pagar #kerajaangagal2 mula trending, apabila ia diguna pakai netizen bagi mengungkapkan kekecewaan masing-masing.

Inilah kegagalan pertama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan harapnya, ia terhenti di sini.

Mengundang ‘perosak’ yang sama menyertai barisan Kabinet dengan harapan mereka mampu memulihkan negara, hanyalah mimpi di siang hari.

Bagai tikus membaiki labu, yang rosak pasti akan bertambah rompong, lantas menunggu masa rebah ke bumi.

Apakah Malaysia ini nasibnya juga bagaikan labu di tangan tikus? Atau adakah Jemaah Menteri ini satu eksperimen buat Ismail Sabri menguji nasib di gelanggang?

Yang nyata, kabinet baharu dengan binaan berasaskan kayu-kayan lama tidak akan mampu bertahan daripada serangan anai-anai.

Cukup masa, rebahlah ia menyembah bumi. – Getaran, 28 Ogos 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Jangan Jadikan Kelemahan Ringgit Senjata Politik - Anwar

2

Politik 6 bulan yang lalu

BN Masih Berpeluang Di Pelangai Walau Berdepan Tentangan Sengit - Penganalisis

3

Semasa 7 bulan yang lalu

Sorotan Kes Ahli Politik Digugurkan Mahkamah: Daripada Lim Guan Eng Hingga Muhyiddin Yassin 

4

Semasa 7 bulan yang lalu

Lafaz Taklik Kerana Taksub Politik Amat Tidak Bertanggungjawab, Sila Dapatkan Pengesahan Segera Hakim Syarie

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

Disyorkan untuk anda

Sukan 1 hari yang lalu

Piala Asia B-23: Kesilapan Hukum Harimau Muda Berdepan Uzbekistan

Semasa 1 hari yang lalu

Nahas Babitkan 7 Kenderaan: 3 Penunggang Motosikal Dilaporkan Stabil

Semasa 10 jam yang lalu

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

Politik 1 hari yang lalu

Kerajaan Setuju Salur Peruntukan Kepada Pembangkang - Fadillah