Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Bakal Dipecat Suarakan Kebenaran, Cikgu Fadli Ikrar Terus Berjuang

Pendidikan Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Oct 2022 7:00AM

Mohd Fadli Salleh - Gambar dari Facebook

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - Hanya kerana menyuarakan dan membantah kepincangan sistem pendidikan negara, seorang guru berdepan kemungkinan dipecat atau diturunkan pangkat.

Mohd Fadli Salleh, guru sekolah rendah di Taman Melawati di sini berkata, beliau menerima surat rasmi daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perkara tersebut.

Lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli, pendidik yang amat disayangi ribuan pelajarnya itu berkata, tindakan terbabit jelas satu ketidakadilan kerana beliau bukan seorang guru yang bermasalah atau berprestasi buruk.

Berkongsi surat berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook, Mohd Fadli mengakui ia adalah kerana tindakan berani beliau menyuarakan kebenaran yang tidak boleh diterima pihak atasan.

“Mereka tak boleh dengar kebenaran. Mereka tak boleh dengan luahan jujur. Mereka hanya nak dengar ampu, bodek, puji puja sahaja.

“Saya berkata jujur tentang apa sampai nak kena buang kerja tu? Saya bercakap tentang :

1. Beg berat bahaya pada anak-anak kita

2. Silibus tinggi dan padat. Silibus syok sendiri

3. Bilangan murid yang ramai dalam kelas

4. Subjek yang banyak murid belajar

5. Masa belajar untuk subjek teras terutamanya Matematik tidak mencukupi

6. Adanya Little Napoleon dalam sistem pendidikan menyebabkan sistem pendidikan kita rosak

“Kerana jujur dan mengatakan kebenaran, Kementerian Pendidikan Malaysia nak buang kerja saya. Oh Malaysiaku...,” katanya.

Jelas Mohd Fadli, beliau pernah ditegur kerana menyuarakan kesemua isu berkenaan di media sosial, dan diarahkan supaya bersuara menggunakan saluran yang betul.

Namun dakwanya, tiada sebarang tindakan diambil meskipun kesemua isu berkenaan dibangkitkan ketika penataran buku silibus baru di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sambil disaksikan lebih 30 guru Matematik daerah Gombak, pegawai PPD dan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

“Sehingga mereka tak mampu berhujah dan menjawab persoalan saya, mereka bawa pegawai Bahagian Pembangunan Kurikulum (BPK) dari Putrajaya.

“Pegawai yang bertanggungjawab membuat silibus baru itu hadir dalam bengkel semata-mata nak menjawab semua persoalan saya.

“Dan sampai ke sudah saluran paling betul itu langsung tak memberi kesan apa-apa, bahkan makin menyusahkan. Beginilah sistem kita.

“Sistem yang hanya nak mendengar puja puji walaupun ianya penipuan. Yang pandai membodek, pandai menipu, naik pangkat cepat. Yang menukarkan saya dulu naik pangkat menjadi Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran di JPN sana,” katanya, kesal.

Pendidik berjiwa kental itu menambah, semua perkara dibangkitkan adalah satu kebenaran yang tidak boleh disangkal atau dinafikan.

“Lihat dan baca sendiri semua pertuduhan ke atas saya. Sesiapa tolong bagi tahu saya, manakah antara tuduhan itu saya menipu?

“Semuanya benar. Semuanya fakta. Semuanya benda umum yang semua orang tahu. Bukan bawah akta kerahsiaan pun.

“Tapi, mereka seboleh mungkin nak kaitkan juga kesalahan dengan akta lapuk yang sepatutnya lama dah dimansuhkan. Akta yang menyekat sesiapa menyatakan kebenaran jika kebenaran itu pahit dan menunjukkan salah dan lemah mereka.

“Habis tu sampai bila? Sampai bila benda salah nak sorok? Sampai bila nak sapu sampah bawah karpet? Sampai bila nak sorok kudis kecil? Tunggu jadi barah hingga tak boleh dirawat lagi? Begitukah?”, soalnya.

Mohd Fadli mendakwa, beliau bukan guru pertama membangkitkan isu tersebut, namun ramai akhirnya terpaksa mengangkat bendera putih apabila berdepan ugutan pihak atasan.

“Selama ini sesiapa jua ingin berkata, didiamkan dengan ugutan tindakan tatatertib. Saya bukan guru pertama timbulkan isu ini. Berpuluh guru, bahkan beratus guru lain yang pernah persoalkan tentang silibus tinggi, yang jujur bagi tahu ada penipuan dalam data KPM, mereka semua disenyapkan dengan ugutan seperti ini.

“Maka pakat mendiam semua. Mereka ada anak isteri. Mereka ada komitmen hutang yang perlu dilunaskan setiap bulan.

“Jika terlucut kerja macam mana agaknya kehidupan mereka. Semua orang fikir tentang periuk nasi.

“Takut kena sekat pangkat. Takut kena buang kerja. Maka pakat akur walau dalam hati tidak pernah rela,” katanya.

Teguh memegang kebenaran, beliau akhirnya memutuskan untuk bangkit menentang semua birokrasi yang disifatkan sebagai satu kezaliman dan kerosakan.

Bersedia menghadapi segala risiko, Mohd Fadli menambah, segala kebejatan akan terus berlaku jika tiada sesiapa yang mahu bangkit memulakan langkah.

“Hari ini, biarlah saya bangkit hadap semua kezaliman dan kerosakan ini. Biar saya seorang hadap apa jua risiko.

“Dibuang kerja. Disekat kenaikan pangkat. Dipancung anugerah dan sebagainya.

“Biar saya hadap semua itu kerana jika tiada siapa berani berdiri seperti saya pada hari ini, maka kerosakan ini akan terus berlaku sampai bila-bila.

“Apa yang saya perjuangkan ini, tidak ada setitis pun untuk kebaikan diri saya. Semuanya untuk kebaikan generasi dan anak-anak kita. Semuanya demi Malaysia yang lebih baik. Saya ambil risiko dibuang kerja, saya korek tabung simpanan hire lawyer nak fight kes ini sampai akhir,” katanya.

Beliau menarik perhatian, perjuangan berkenaan akan diteruskan walaupun berdepan kekalahan di mahkamah.

“Jika ditakdirkan kes saya ini kalah di mahkamah, saya akan buat rayuan di Mahkamah Tinggi untuk fight lagi.

“Kalah lagi, lawan lagi. Kalah lagi, lawan lagi. Biar pun jika ditakdirkan Tuhan saya takkan menang seumur hidup saya, namun anak-anak murid saya boleh berkata dengan bangga, ‘aku ada seorang cikgu. Cikgu aku yang sanggup berjuang untuk pendidikan kami sampai dibuang kerja. Sampai ke akhir hayat’.

“Buat Little Napoleon dan dinosaur kat atas sana, satu pesanku, penjinak singa hanya mampu membuatkan singa patuh dengan kayu tas dan rotannya.

“Namun sebaik singa tidak lagi takut akan rotan dan kayu tas itu, penjinaklah harus takut akan singa,” tegasnya.

Sehingga jam 7 pagi ini, hantaran Mohd Fadli sudah menerima lebih 52,000 perkongsian.

Menjengah ke ruangan komen, Getaran mendapati nama Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin turut disebut netizen, yang antara lain mendesak beliau segera turun padang dan menyelesaikan isu tersebut.

Barangkali ‘pening’ kerana namanya disebut berulang kali, Mohd Radzi menerusi hantaran ringkas di Facebook meluahkan kesediaan untuk bertemu guru berkenaan bagi berbincang mengenai perkara itu.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan cikgu Mohd Fadli Salleh. Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa,” katanya, ringkas.

Mohd Fadli bagaimanapun menerusi hantaran kedua mempersoalkan tindakan Mohd Radzi, yang katanya hanya memberi maklum balas apabila isu itu menjadi panas.

“Baru malam ni beliau respon sedangkan saya berkali-kali tag beliau sebelum ini, saya komen di post beliau, saya komen di page KPM merujuk pada beliau sejak bertahun lamanya. Tak pernah beliau respon walau sekali. Baru malam ini ada respon.

“Kenapa agaknya baru malam ini? Bukan masa saya dipanggil unit integriti tahun lepas? Bukan masa saya tag dan komen pada post beliau dan post KPM berkali-kali sejak bertahun lama?

“Rasanya sebab kebangkitan rakyat. Rakyat marah sebab isu ini melibatkan anak-anak mereka juga. Orang ramai marah sebab KPM nak buang kerja kerana kejujuran saya,” katanya.

Beliau memberi ingatan, kemarahan dan kebangkitan rakyat tidak seharusnya dipandang remeh oleh pemerintah, kerana mereka mampu menumbangkan negara.

“Kemarahan rakyat jangan dibuat main. Boleh tumbang satu negara. Boleh tumbang kerajaan kerana kebangkitan rakyat.

“Rakyat dah bangkit dan bagi signal merah malam ni. Agaknya setelah melihat kebangkitan rakyat yang terlalu kuat, baru YB (Yang Berhormat) terus respon nak jumpa saya.

“Apa pun alasannya, tak apalah. Saya bersangka baik YB cuba memahami denyut nadi dan luahan akar umbi. Insya Allah one fine day kita akan jumpa,” katanya.

Pada satu hantaran lain, beliau memberitahu telah meminta khidmat guaman peguam terkemuka, Nor Zabetha Muhamad Nor untuk mewakilinya dalam kes itu.

Mohd Fadli turut memberi amaran kepada ahli politik agar tidak menggunakan isu tersebut sebagai objek atau modal untuk berkempen.

Beliau katanya, tidak pernah mendaftar sebagai ahli untuk mana-mana parti.

“Dan kepada ahli-ahli politik tak kira dari parti mana, jangan gunakan isu ini sebagai modal politik kalian.

“Umum tahu saya tak pernah berpolitik dan tak pernah mendaftar sebagai ahli mana-mana parti politik. Nak bantu sama-sama perjuangkan, silakan.

“Namun nak jadikan sebagai senjata dan modal politik, saya takkan bersama kalian,” tegasnya. - Getaran, 16 Oktober 2022

 
 
 

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 tahun yang lalu

Charles Santiago Kembali Terajui SPAN Selepas Dipecat Pada 2020

2

Politik 1 tahun yang lalu

Tun Faisal Bakal Sertai PN? ‘Ada Yang Mengajak, Tapi...’

3

Politik 1 tahun yang lalu

‘UMNO Hari Ini Tidak Ikut Perlembagaan, Mereka Buat Sesuka Hati’ – Noh

4

Politik 1 tahun yang lalu

Zahid Tidak Ikut Proses Sewajarnya, Tiada Surat Tunjuk Sebab – Khairy

Sorotan

1

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

2

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

3

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

4

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

5

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

6

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

Disyorkan untuk anda

Semasa 8 jam yang lalu

Мahkamah Tetapkan 27 Jun Keputusan Badan Peguam Berhubung Kes DNAA Ahmad Zahid

Semasa 1 hari yang lalu

Rayuan Pendakwaan Terhadap Keputusan Kes Kematian Zulfarhan Didengar 14 Mei

Semasa 1 hari yang lalu

Stoking Tertera Kalimah Allah: Mahkamah Tinggi Batal Hukuman, Sabitan Terhadap Juruteknik 

Semasa 8 jam yang lalu

Peserta Gaza Freedom Flotilla Dari Malaysia Tiba Di Istanbul