Ketika pengaruh muzik rock semakin hebat mendominasi industri muzik tanah air sepanjang era 1980-an sehingga membimbangkan segelintir pihak, terutamanya bekas Menteri Penerangan Malaysia, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat (ketika itu hanya berpangkat Datuk), muncul sebuah genre muzik yang dinamakan sebagai balada Nusantara.
Kehadiran balada Nusantara telah dilihat sebagai penyelamat daripada pengaruh muzik rock yang seringkali dikaitkan dengan pelbagai gejala negatif serta dianggap sebagai perosak bangsa apabila mudah membangkitkan jiwa rebel di kalangan anak-anak muda.
Namun, selaku pencetus genre muzik balada Nusantara dengan mengetengahkan Sheqal sebagai penyanyinya pada tahun 1990, komposer Manan Ngah sama sekali tidak melihat kemunculan balada Nusantara dari sudut itu.
Sebaliknya kata Manan Ngah, kelahiran balada Nusantara tidak lebih daripada suatu alternatif kepada genre muzik popular ataupun muzik kontemporari sedia ada. Genre ini tercetus oleh penglibatannya di dalam konsert teleton, World Sport Aid Carnival 88.
“Konsert persembahan yang berpusat di London, United Kingdom ini diadakan secara besar-besaran di seluruh dunia dan disertai banyak negara termasuk Malaysia. Ia disiarkan di kaca televisyen di seluruh dunia selama 24 jam tanpa henti.
“Waktu itu, saya telah dilantik sebagai pengarah muzik dan konduktor persembahan. Konsert persembahan dari Malaysia telah dilakukan di pentas terbuka, Panggung Anniversary, Kuala Lumpur pada 12 September 1988 bermula jam 12.30 pagi.
“Konsert ini telah dihadiri lebih kurang 30,000 penonton dan ia telah menghimpunkan lebih 100 orang penyanyi hebat tanah air termasuk Ramli Sarip, Ella, kumpulan Search, Zaiton Sameon, Rahim Maarof, Sheila Majid, Seha & Freedom, kumpulan Heavy Machine, Gersang dan lain-lain.
“Malah ia turut disertai para pemuzik berkaliber yang mengemudi persembahan iaitu Suhaimi Mohd Zain (kibod), Zahid Ahmad (dram), Mac Chew (kibod) dan Jose Thomas (gitar).
“Terlibat sama adalah kumpulan pemuzik gamelan dari pusat kebudayaan Universiti Malaya, kumpulan ghazal serta kumpulan penari dari Sarawak.
“Muncul secara serentak tetapi menuruti sekuen muzik yang telah digubah, kami semua mempersembahkan rampaian (medley) dua buah lagu tradisional Melayu iaitu ‘Joget Ketipang Ketipung (Rentak 106)’ dan ‘Selayang Pandang.’
“Konsep muzik dan gubahan yang dipersembahkan menjelang subuh hari itu bolehlah disifatkan pada hari ini sebagai world music dan persembahan 12 minit itu disifatkan sebagai sesuatu yang unik dan menarik.
“Malah, pihak penerbit iaitu Global TV di London telah meminta supaya Malaysia muncul sekali menerusi persembahan menutup tirai dengan muncul sekali lagi pada jam 3.30 pagi untuk slot persembahan finale konsert LIVE World Sport Aid Carnival ’88,” katanya.
Rentetan daripada itu, Manan Ngah telah menjelmakan suatu konsep muzik melalui adaptasi budaya dan identiti Melayu Nusantara dengan penerapan nilai-nilai muzik dunia serta dipersembahkan dalam konteks muzik kontemporari Malaysia.
Namun, ia sarat dengan elemen pantun, kiasan, kisah-kisah dan kata-kata perlambangan yang didendangkan dalam irama muzik Melayu.
Akhirnya kemunculan balada Nusantara yang telah dirasmikan menerusi album studio pertama penyanyi Sheqal yang bernaung di bawah label Ciku Records.
Pelancaran album ini telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Kebudayaan Kebangsaan, Tan Sri Dr Awang Had Salleh di Arkib Negara pada 24 Mac 1990.
“Muzik dengan pengaruh budaya Melayu Nusantara ini diberi penekanan menerusi penggunaan instrumentasi, gubahan, lenggok nyanyian dan pengisian teks.
“Pola pemikiran yang berteraskan Melayu Nusantara juga dirungkaikan dan dijelmakan melalui satu gagasan idea oleh sebuah pasukan penerbitan. Pasukan ini terdiri oleh penggubah lagu seperti saya sendiri, Shahril Lembang, J. Nagoya dengan penulis lirik seperti Datuk Habsah Hassan, Datuk M. Nasir, Dr. Wan Zawawi dan lain-lain,” jelas Manan Ngah.
Menerusi album studio pertama Sheqal yang turut menggunakan judul Balada Nusantara, lahirlah lagu-lagu hebat yang berjaya mengangkat jati diri bangsa seperti ‘Cinta Nusantara’, ‘Bangunlah’, ‘Zapin Rindu-Rinduan’, ‘Resam Apa Memukau Bumi’, ‘Pekerja Wanita’, ‘Kasih Tak Terhurai’, ‘Aku Bukannya Lalang’ dan ‘Hanya Dikau’.
Tidak hanya mendapat sokongan daripada cendekiawan dan budayawan, album yang mencapai jualan melebihi 70,000 unit kaset dan CD (tidak termasuk jualan haram secara cetak rompak) ini telah membuka laluan kepada pihak stesen televisyen dan Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM) untuk mengiktiraf muzik ini.
Buktinya, stesen TV3 telah memperkenalkan kategori irama Malaysia dalam pertandingan Muzik-Muzik dan Anugerah Lagu. Kategori ini selepas itu diganti dengan nama Etnik Kreatif.
Manakala AIM pula mewujudkan kategori untuk album Album Pop Etnik Terbaik menggantikan Album Tradisional Terbaik dan Album Pop Tradisional terbaik.
Malah, selepas munculnya balada Nusantara cetusan Manan Ngah menerusi penyanyi Sheqal ini, keluarlah Zainal Abidin dengan lagu-lagu world music Melayu, M. Nasir (muzik pop Nusantara), Noraniza Idris (pop etnik), Datuk Siti Nurhaliza (irama Malaysia) dan ramai lagi.
Album Sheqal yang seterusnya iaitu Pudar Yang Tersirat Pasrah (1991) dan Cahaya (1994) terus dihasilkan Manan Ngah sebelum penyanyi itu mengundurkan diri daripada dunia seni suara menerusi album terakhirnya, Lambaian (1998).
Mengulas tentang sumbangan balada Nusantara kepada industri muzik tanah air, Manan Ngah berkata, dunia luar lebih berminat untuk melihat apa yang kita ada, bukannya bagaimana hebatnya kita meniru atau mengajuk apa yang mereka sudah pun ada.
“Evolusi muzik melalui proses perkembangan dan kemajuan teknologi itu perlu tapi adakalanya ia mampu meminggirkan identiti, nilai dan jati diri bangsa. Soal identiti amatlah penting dalam usaha kewujudan kita dikenali dan disedari dunia.
“Tanpa identiti, rapuh lalu runtuh jati diri dan nilai bangsa. Maka, usaha untuk menghasilkan lagu-lagu sebegini haruslah diteruskan,” katanya. - Getaran, 19 Ogos 2021
