Kuala Lumpur bakal bergegar April ini apabila Metalverse, festival muzik metal dan punk bertaraf antarabangsa, diumumkan bakal menguasai Megastar Arena Kuala Lumpur selama dua hari berturut-turut pada 30 April dan 1 Mei.
Bermula seawal jam 3 petang hingga tengah malam, festival ini menjanjikan letupan tenaga tanpa henti buat peminat muzik berat tanah air.
Enam nama antarabangsa telah disahkan, dipilih berdasarkan pengaruh sebenar dalam dunia metalcore, post-hardcore dan punk moden, serta reputasi persembahan pentas yang bertenaga.

Antara yang paling dinanti ialah Of Mice & Men dan Blessthefall, dua nama besar yang cukup sinonim dengan persembahan live penuh emosi dan intensiti.
Barisan artis tempatan akan diumumkan apabila tarikh festival semakin menghampiri, satu langkah strategik untuk memberi tumpuan sebenar kepada arena tempatan yang sedang berkembang pesat.
Metalverse juga akan menampilkan dua kumpulan indie, Midnight Fusic dan Spooky Wet Dreams, sebagai sentuhan unik dalam festival yang berteras genre ini.
Dianjurkan oleh Vox Nation Live, Metalverse bukan sekadar festival biasa. Ia lahir daripada denyut nadi komuniti metal dan punk sendiri, satu budaya yang dibina atas kejujuran, solidariti dan semangat yang tidak pernah pudar.
Dalam landskap muzik tempatan yang jarang menawarkan festival besar berfokus khusus kepada genre ini, Metalverse hadir mengisi kekosongan itu dengan penuh keyakinan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Vox Nation Live, Shawn Chang, ‘Metalverse’ tercetus daripada satu kekosongan yang jelas dalam landskap muzik live serantau.
“Walaupun Malaysia mempunyai komuniti metal dan punk yang sangat bersemangat serta berpengetahuan, festival berskala besar yang benar-benar memberi fokus kepada genreini jarang dianjurkan.
“Metal dan punk bukan sekadar muzik, ia adalah budaya. ‘Metalverse’ diwujudkan untuk memberi platform dan penghormatan yang sewajarnya kepada komuniti ini, sambil menghubungkan peminat tempatan dengan ekosistem metal dan punk global,” jelasnya.
Mengulas tentang pemilihan Megastar Arena KL, beliau menjelaskan bahawa ia bukan dibuat secara sembarangan. Dengan sistem bunyi mantap, kapasiti ideal dan lokasi strategik, arena ini membolehkan penonton merasai setiap riff, breakdown dan jeritan vokal dari jarak dekat, sambil mengekalkan skala produksi bertaraf antarabangsa. Intim, tetapi tetap ganas.

Apa yang membezakan Metalverse ialah falsafahnya: kualiti mengatasi kuantiti, pengalaman mengatasi sekadar tontonan. Daripada susunan jadual yang kemas, pencahayaan profesional hingga suasana mesra peminat, semuanya dirancang untuk mencipta pengalaman kolektif yang tulen.
Metalverse bukan sekadar acara tetapi ia adalah permulaan kepada sebuah gerakan. Dan jika ini langkah pertama, dunia metal dan punk tempatan wajar bersedia untuk sesuatu yang lebih besar.
Untuk tempahan tiket, sila layari https://www.ticketmelon.com/voxnationlive/MetalverseRockFestival - Getaran, 15 Januari 2026