Minggu lalu penyanyi popular dari Indonesia iaitu Bunga Citra Lestari telah melangsungkan konsert solo pertamanya di Malaysia yang diberi nama BCL Blossom Intimate Concert bertempat di Dewan Plenary Kuala Lumpur Convention Centre.
Menyifatkan Malaysia sebagai rumah kedua baginya, kehadiran Bunga di Kuala Lumpur pastinya akan mengimbau kenangan manis bersama arwah suaminya iaitu Ashraf Sinclair.
Sewaktu dalam ucapannya, Bunga memberitahu bahawa dia masih terbayang sosok arwah duduk di bangku paling hadapan dalam dewan yang sama sewaktu dia membuat persembahan di situ beberapa tahun yang lalu bersama Anuar Zain dan Yuka Kharisma.

“Saya telah melalui detik paling terendah dalam hidup saya sewaktu kehilangan Ashraf. Bukan perkara yang mudah untuk saya cuba berbicara di sini. Tetapi saya hanya ingin berkongsi, memori-memori yang ada.
“Kisah percintaan saya bersama Ashraf bermula di Kuala Lumpur. Kali pertama saya bertemu dengan dia sewaktu majlis pelancaran album pertama saya di sini di mana dia menjadi pengacara untuk majlis itu menggantikan Sazzy Falak. Ketika itu saya berkata tampan sekali lelaki ini, siapa dia. Akhirnya saya berkenalan dengan dia.
“Sewaktu awal perkenalan saya bersama Ashraf, saya sempat menulis sebuah lagu tentang perasaan saya terhadap Ashraff yang dimuatkan di dalam album kedua saya. Lagu tersebut berjudul ‘Tentang Kamu’,” ucapnya sebelum meneruskan persembahan dengan lagu tersebut.

Beberapa lagu yang dinyanyikan pada malam itu juga ditujukan khas buat arwah Ashraf seperti ‘12 Tahun Terindah’, ‘Cinta Sejati’ dan ‘Wanita Terbahagia’ yang menggambarkan perasaan cinta sejatinya terhadap arwah suaminya itu.
“Mungkin saya kedengaran agak sombong ketika itu kerana merasakan saya adalah wanita terbahagia. Siapa sangka daripada menjadi wanita terbahagia saya menjadi wanita paling menderita saat saya kehilangan Ashraf. Setiap hari saya bangun tidur saya hanya mampu menangis.

“Perlahan-lahan saya berusaha sedikit demi sedikit untuk bangkit. Pada mulanya saya masih bingung adakah semua yang terjadi ini adalah benar. Selepas beberapa bulan baru saya sedar bahawa apa yang telah terjadi ini adalah nyata.
“Antara perkara yang paling banyak saya lakukan pada ketika itu ialah saya sering menulis. Saya tulis tentang perasaan saya dan apa yang berada di dalam fikiran saya. Dan dari itu terhasillah lagu ‘12 Tahun Terindah’ yang merupakan curahan hati saya,” ceritanya.

Konsert pada malam itu juga dihadiri oleh ahli keluarga Ashraf termasuklah ibu dan bapanya serta adiknya Aishah Sinclair. Ahli keluarga Bunga turut terbang dari Indonesia demi memberikan sokongan kepadanya untuk momen berharga ini.
Tipu andai anda tidak tersentuh setiap kali mendengar Bunga bercerita tentang kisah cinta agungnya sambil disulami lagu-lagu popular yang membuai rasa. Ramai juga yang mengalirkan air mata pada malam itu terutamanya saat Bunga membuat persembahan sambil ditemani foto-fotonya bersama Ashraf di skrin LED.

Sudah cukup terbuai emosi sedih, Bunga ubah ‘mood’ dalam dewan itu dengan rangkaian lagu-lagu rancaknya seperti ‘Ingkar’, ‘Jangan Gila’ dan ‘Aku Wanita’.
Bunga turut mendendangkan lagu terbarunya yang berjudul ‘Badai Pasti Berlalu’ yang menurutnya ini adalah kali pertama dia menyanyikan lagu ini secara ‘live’. Dan rakyat Malaysia menjadi saksi pertama melihat dia menyanyikan lagu ini.

Antara kejutan yang dilakukan pada malam itu ialah Bunga telah berduet bersama Ariel Noah namun hanya muncul di skrin LED. Biarpun, jasadnya tidak berada bersama di dalam dewan, namun persembahan itu tetap menghiburkan menerusi lagu ‘Menghapus Jejakmu’ dan ‘Mencari Cinta’.

Bunga turut mendedikasi sebuah lagu khas dari penyanyi kegemarannya yang berasal dari Malaysia iaitu Datuk Sheila Majid menerusi lagu ‘Legenda’. Menurut Bunga dia pernah merakamkan lagu ‘Legenda’ satu ketika dahulu, dan ibu mertuanya pernah memintanya untuk menyanyikan lagu ini di majlis pernikahan adik Ashraf bersama Yuna.
Antara lagu-lagu lain yang turut dipersembahkan dalam konsert iaitu adalah ‘Sunny’, ‘Aku Tak Mau Sendiri’, ‘Saat Kau Pergi’, ‘Dulu’, ‘Pernah Muda’, ‘Aku Dan Dirimu’ dan ‘Kerana Ku Cinta Kau’.
Di penghujung konsert, Bunga sekali lagi membuat kejutan dengan menampilkan anaknya iaitu Noah untuk membuat persembahan bersamanya menerusi lagu ‘Dance Tonight’ yang menggamatkan suasana saat Noah muncul di atas pentas.

Turut hadir di konsert yang dibawakan oleh Icon Entertainment ini adalah Tengku Permaisuri Selangor, Anuar Zain, Mimi Lana, Syafiq Kyle, Ella, Hanis Zalikha dan Puteri Aishah. – Getaran, 3 Februari 2023