Sebut nama Lany, semestinya ramai mengenali mereka. Terkenal dengan aura dan pesona luar biasa, kumpulan ini berjaya melonjakkan nama mereka hingga dikenali di seluruh dunia. Malah, Lany antara band generasi masa kini yang mengagumkan.
Dalam masa lima tahun, Lany sudah pun menghasilkan empat album dan telah membuktikan bahawa mereka tidak takut bereksperimen dalam berkarya. Dalam tempoh itu, Lany berjaya mempelbagaikan jenis muzik bagi menghasilkan bunyi yang lebih menarik dan ‘luar kotak’.

Enggan mengalah dengan keadaan pandemik, Lany kini mempertaruhkan buah tangan terbaharu berjudul gg bb xx bagi meriangkan hari para peminat daripada terus bersedih.
Dalam sidang media baru-baru ini, Paul Jason Klien selaku vokalis mengakui tidak terlepas dirundung rasa sedih ketika terpaksa berkurung di rumah.
“Walaupun turut terkesan dengan pandemik, kami tidak mahu mencurahkan kesedihan dalam penulisan lagu-lagu album ini.
“Kami tak mahu peminat kami berfikiran negatif atau terus bersedih. Sebaliknya, kami mahu muzik dalam album ini buat mereka tersenyum," jelas Paul.
Album berdurasi 39 minit ini bertujuan mengajak peminat mengenali Lany dengan lebih mendalam dan genre muzik mereka yang dipengaruhi scene Los Angeles dan New York. Album gg bb xx memuatkan 12 buah lagu termasuk single ‘Ex I Never Had’ dan ‘Dancing n the Kitchen’.
Lebih menarik, single berjudul ‘Up To Me’ diilhamkan daripada mesej yang diterima Paul ketika mendapat tahu lagu mereka dimainkan di lokasi yang tidak pernah mengetahui kewujudan kumpulan itu.

Menurut Paul, mereka enggan terikat dengan genre sama selamanya sebaliknya ingin meneroka peredaran muzik terkini sambil menggabungkan bunyi khas mereka.
“Kami telah sampai ke tahap tidak peduli akan penerimaan orang lain untuk berasa bangga dan sayangkan diri sendiri.
“Kami sangat bertuah kerana dikelilingi kasih sayang ramai orang. Mereka menghargai setiap perkara meskipun ia hal yang kecil. Kami percaya bahawa setiap orang mempunyai tujuan hidup tersendiri dan mampu jadi yang terbaik.
“Jadi, kita tak perlu menunggu untuk diterima orang bagi mendapatkan kebahagian. Banyak perkara indah lain yang menanti kita di hadapan.
“Diharapkan album ini ada dalam senarai wajib dengar peminat setiap hari. Semoga ia menjadi teman mereka ketika memandu di lebuh raya," ujarnya.
Bandini juga tidak ketinggalan berkongsi tentang konsert jelajah mereka yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Sekian lama menunggu akhirnya kami dapat kembali beraksi di atas pentas. Perasaan gembira itu sukar digambarkan dengan kata-kata kerana sudah lama kami tidak bersemuka dengan peminat.
“Kami sudah tidak sabar untuk kembali menghiburkan peminat serta mengubat kerinduan mereka.
"Selain United Kingdom dan Ireland, kami juga bakal mengadakan persembahan secara langsung di Amerika Syarikat dan Mexico.
"Walaupun tidak dapat menjayakan siri jelajah di Asia, kami janji akan kembali ketika keadaan sudah mengizinkan," tambahnya lagi.
Album terbaharu Lany, gg bb xx boleh didengari di semua pelantar penstriman seperti Spotify dan Apple Music. - Getaran, 15 September 2021
Semua gambar: Universal Music