Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban manakala tujuh lagi cedera susulan gempa bumi berukuran 4.8 magnitud yang melanda pulau peranginan Indonesia, Bali, hari ini.
Gempa bumi itu berpusat di timur laut Singaraja, yang merupakan bandar pelabuhan di Bali.
Menurut Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Bali, Gede Darmada, agensi berkenaan masih mengumpul maklumat mengenai kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.
Gempa bumi berkenaan turut menyebabkan tanah runtuh, hingga mengorbankan dua orang serta memutuskan hubungan ke sekurang-kurangnya tiga kampung.
Ia merobohkan rumah dan kuil di Karangasem, daerah yang paling dekat dengan pusat gempa.
Sementara di kampung Trunyan serta Kintamani pula, rumah dan kemudahan kerajaan mengalami kerosakan.
Bali mempunyai penduduk seramai 4 juta orang dengan kebanyakannya beragama Hindu.
Indonesia, kepulauan yang luas dengan jumlah 270 juta penduduk sering dilanda gempa bumi, letusan gunung berapi dan tsunami kerana lokasinya di dalam 'lingkaran api Pasifik'. - CNN