Berita Terkini

2 jam yang lalu: Lelaki maut, dua lagi cedera parah dalam letupan bom di Narathiwat 2 jam yang lalu: Dhabitah, Ker Ying mara ke final 3m papan anjal 2 jam yang lalu: Polis nafi berlaku pergaduhan kaum di Sungai Petani 2 jam yang lalu: JBPM, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional tubuh Pasukan Bomba Uniti di KRT 2 jam yang lalu: KPN, MAFI meterai nota kerjasama bagi Projek Kebuniti Keluarga Malaysia

IKUTI KAMI


Kisah Anak Gen-X: Mengapa Aku Bosan Dengan Bola Sepak

Kolum Dikemaskini 11 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 21 Aug 2021 4:09PM

Penulis di Stadium Anfield, Liverpool

oleh

M.Zulkifli

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Melihat tajuk kolum minggu ini, mungkin ada yang kenal akan diri ini akan berkata dengan nada sinis, “Alah, mentang-mentanglah Liverpool tak menang musim lepas, terus rasa bosan ke?” Tapi sabar dulu tuan-tuan. Dengarkan apa yang terbuku dalam hati ini.

Namun sebelum itu, izinkan aku bercerita sedikit tentang minat aku kepada bola sepak yang mula tertanam sejak kecil lagi. Bila aku belek album gambar-gambar lama, begitu banyak sekali gambar aku berposing dengan bola, lengkap dengan memakai tracksuit and but.

Tapi ini tidak menghairankan kerana arwah ayah aku memang terlibat dengan bola sepak lebih kurang sepanjang hayatnya. Bekerja dengan Majlis Perbandaran Johor Bahru (MPJB, kini MBJB) ketika itu, allahyarham sentiasa bersama pasukan bola sepaknya sebagai jurulatih dan juga penolong pengurus.

Kalau yang minat dengan sejarah bola sepak tempatan pra-era profesional tentu akan ingat tentang skuad MPJB yang diiktiraf sebagai yang terbaik di negeri Johor. Ini dibuktikan dengan prestasi yang sangat memberangsangkan saban tahun dalam piala FAM, pertandingan yang dikhaskan buat kelab-kelab sahaja dari seluruh negara.

Pemain-pemain tim MPJB bukan calang-calang. Antaranya, nama-nama besar yang turut menyarung jersi Johor dan Malaysia seperti Dollah Salleh, Wan Jamak Hassan, Ismail Ibrahim dan Khalid Shahdan.

Aku sendiri boleh dianggap seperti sebahagian daripada pasukan kerana selalu bertempek di tepi padang. Kebetulan sekolah menengah aku English College JB berhampiran Padang Seri Gelam, tempat latihan mereka, jadi aku biasa turun ke sana dulu untuk melihat sendiri sesi latihan, sebelum aku pulang ke rumah bersama ayahku.

Kemuncak kejayaan pasukan MPJB adalah memenangi Piala FAM di bawah nama Johor Bahru ‘A’ pada tahun 1984. Masih ingat lagi aku perlawanan final menentang Fajar Hiliran yang dilangsungkan di Stadium Larkin. Percaya atau tidak, aku duduk di bangku pemain ketika itu! Bila piala dijulang, aku turut tumpang sekaki, mengambil aura juara.

Allahyarham ayah penulis (barisan tengah, paling kanan) bersama skuad JB’A’, juara Piala FAM 1984
Allahyarham ayah penulis (barisan tengah, paling kanan) bersama skuad JB’A’, juara Piala FAM 1984

Sejak kecil juga aku mula meminati pasukan Liga Inggeris, Liverpool. Bukan sekadar pasukan terhebat dekad 70an dan 80an, Liverpool juga merupakan graceful champions. Uniknya di rumah kami, hanya aku yang menyokong Liverpool, sedangkan ayah aku minat Everton dan ibuku pula, Manchester United (fakta yang mungkin ramai takkan percaya!).

Dan kalau kita kata minat bola pada masa itu, memang tak sama dengan sekarang. Effortnya kena lebih. Merchandise pasukan, termasuklah jersi, bukan mudah nak cari. Apa lagi pasukan luar negara. Kalau ada saudara yang kaya pergi overseas, barulah dapat kirim.

Bahan bacaan pula terhad kepada ruang sukan suratkhabar dan dua buah majalah, Dunia Sukan dan Arena Bola Sepak. Tapi yang menjadi kegemaran aku adalah majalah dari UK, Shoot!.

Cuma agak jenuh nak tunggu bila keluaran terbaharu akan sampai ke kedai-kedai buku di JB. Setiap kali apabila berkunjung ke Johor Central Store khasnya, dan majalah masih belum sampai, memang terasa kecewa berhari-hari lamanya.

Dan tak lengkap menjadi penyokong bola sepak, dan sukan secara amnya, kalau tak ke stadium untuk menyumbangkan suara dan sorakan demi pasukan yang disanjungi. Stadium Larkin sememangnya port aku hampir setiap minggu sehinggalah aku berhijrah ke KL untuk melanjutkan pelajaran. Selepas itu, aku mula tumpang menjerit di Stadium Merdeka bersama rakan-rakanku yang die hard pasukan Merah Kuning.

Dan sudah tentu aku turut tak terlepas menonton dan memberikan sokongan kepada skuad Harimau Malaya sehinggalah ke hari ini.

Penulis bersama rakan-rakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil
Penulis bersama rakan-rakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil

Jadi, walaupun sudah sebati bola sepak dengan jiwaku ini, kenapa kini aku mula merasa bosan?

Sebab pertama, aku pasti ramai yang setuju. Dengan menularnya virus COVID-19 awal tahun 2020 lepas, wajah sukan bola sepak juga terpaksa berubah. Selepas stadium-stadium di seluruh dunia ditutup, liga-liga bola sepak kemudian bermain semula tanpa kehadiran penonton.

Ah, memang tak boleh pergi. Mana mungkin bunyian sorakan tiruan dapat memberikan pengalaman menonton yang sama? Jadi mujurlah sekurang-kurangnya di Eropah, ribuan penonton telah dibenarkan untuk kembali membanjiri stadium, walaupun di negara ini, stadium-stadium masih lagi kesunyian.

Jadi, apa lagi yang membuatkan aku ingin berputus cinta dengan bola? Ironinya, penyokong sukan ini sendiri yang mengakibatkan aku merasa jelak, muak dan bosan.

Sepanjang hidup aku minat bola, dah biasa sangat dengan rollercoaster emosi menang kalah, dan gelagat penyokong yang dibakar nyalarasa yang kadang-kadang agak ekstrem, tapi kebiasaannya secukup rasa.

Tapi kini, bersenjatakan media sosial khasnya, yang lebih penting buat sekumpulan (besar) peminat bola sepak, tak kira di mana saja, bukanlah untuk menikmati the beautiful game dan menyalurkan sokongan positif kepada pasukan masing-masing, tetapi lebih kepada menunjuk pandai dengan ilmu taktikal dari permainan Football Manager dan menjadi obsesif dalam mengejek penyokong lain.  

Banter antara penyokong itu biasa. Tiada masalah. Tapi kalau itu saja erti “menyokong”, peminat bola sepak kini tak banyaklah bezanya dengan netizen di grup “Kisah Rumah Tangga”. Semuanya “pakar” dan betul dalam segala segi.

Lebih jelik lagi, pertelingkahan maya lebih berlaku di kalangan penyokong kelab yang sama. Antara fans Liverpool sendiri contohnya, timbul puak-puak yang menyokong pemain-pemain tertentu dan gemar bertelagah sesama sendiri. Ada yang menyambut baik jika pemain yang tidak disukainya itu menunjukkan prestasi buruk. Bayangkan, inikah yang dipanggil “penyokong”?

Tambahan lagi, blog, vlog dan 1001 media bola sepak profesional dan separa-profesional selalu merasa terpanggil untuk memaparkan secara bertubi-tubi “berita-berita” remeh, andaian murahan dan rencana yang ditulis berdasarkan komen entah siapa-siapa. Semuanya demi engagement.

Gosip perpindahan pemain pula boleh timbul hanya kerana sepupu tukang kebun seorang agen terdengar perbualan di belakang lalang di depan rumah dan membuat hantaran di Twitter. Hari-hari spekulasi sebegini dijaja, dan malangnya, diperdebatkan netizen bola dari Nigeria ke Faroe Islands.

Pada game day pula, setiap saat perlawanan perlu dianalisis. Kenapa tak main si polan? Kenapa letak pemain midfield di posisi pertahanan? Kenapa stiker itu try dan tidak pass? Jika pasukan yang disokong ketinggalan di separuh masa, habis dimaki pemain dan dikeluarkan tanda pagar supaya pengurus dipecat serta merta.

Aduh, mungkin pergerakan jari mereka ini lebih membakar kalori berbanding pemain di atas padang!

Kembalikanlah bola sepak yang lebih menggembirakan hati. Aku jamin kita tidak akan kerugian tanpa gif Jose Mourinho dan ungkapan “bila nak masuk gua?”

M.Zulkifli merupakan teraju utama getaran.my. Dua tahun lalu, beliau kembara lebih 11,000 km dari Kuala Lumpur ke kota Liverpool untuk menyambut kepulangan trofi Piala Eropah bersama 750,000 penyokong setia The Reds yang lain.  

Sorotan

1

Elak Sorok, Catut Minyak Masak - Annuar Musa

2

Saya Akan Dedah LCS Tak Ubah Seperti 1MDB, ‘Masaklah Najib’… - Rafizi

3

Mengaku Potong Usus Untuk Kurus, Aishah Sudah Boleh Pakai Baju Lama Zaman The Fan Club