Berita Terkini

1 jam yang lalu: Final Piala Malaysia: JDT dahului kedudukan 2-1 menerusi penyerang import Fernando Forestieri pada minit ke-59 5 jam yang lalu: PH Pahang sokong untuk bersama BN bentuk kerajaan negeri 5 jam yang lalu: Alumni PTD cadang kerajaan baharu gubal Akta Perkhidmatan Awam 5 jam yang lalu: Gerakan minta ahlinya fokus PRN tahun depan - Dominic Lau 8 jam yang lalu: Peringatan, tiada penjualan tiket di Stadium Nasional Bukit Jalil

IKUTI KAMI


Ebit Bantu Gaza, Netizen Perang Saraf

Orang Malaysia memang masyhur dengan sikap pemurah, suka menderma dan bersedekah. Tetapi adakalanya mungkin kita terlalu taksub untuk membantu, kita terlupa niat sebenar kenapa kita mahu beramal.

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 24 Jul 2021 11:26AM

Ebit Lew, Caprice dan Nadir Al-Nuri. Gambar: Alif Omar, Facebook Caprice Official Group, Instagram @nadiralnuri

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Orang Malaysia memang termasyhur dengan sikap pemurah, suka menderma dan bersedekah. Mereka mudah lembut hati walaupun cepat naik darah apabila menyarung jersi netizen.

Biarpun boleh sampai ke peringkat mencadangkan mangsa buli supaya bunuh diri, saya yakin jauh di sudut hati, mereka tetap suka menyalurkan bantuan walau sekupang dua.  

Masih ingat lagi saya akan satu sejarah lampau, Almarhum Tunku Abdul Rahman tidak cukup dana untuk berlepas ke London bagi melunaskan misi menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada British pada era R. Azmi dan Nona Asiah.

"Budaya menderma dan bersedekah masih terserlah dalam komuniti kita"

Ketika itu dalam satu majlis, Tunku berucap sambil sebak menangis dengan memaklumkan tentang masalah kewangannya.

Sepantas kilat, rakan-rakan seperjuangan dan penyokong Tunku terus membuat derma kecemasan dengan menyerahkan segala barang kemas mereka seperti subang, cincin, gelang, jam tangan emas, kalung, tongkat berkepala emas, kerongsang kebaya dan macam-macam lagi untuk membantu niat Tunku itu.

Dan hasil pengorbanan datuk nenek kita itu, kini kita menjadi rakyat yang maju serta bebas sehingga anda boleh membaca tulisan saya ini di telefon pintar dan membuat posting di media sosial 24/7.   

Hingga hari ini, budaya menderma dan bersedekah masih terserlah dalam komuniti kita. Pada bulan puasa, kita melihat umat Islam begitu ramai membuat amal kebajikan seperti memberi makan golongan asnaf, ibu tunggal, anak-anak yatim, warga gharib serta kelompok gelandangan.

Moreh sentiasa berlaku saban malam di masjid dan surau sepanjang Ramadan. Saban tahun juga orang akan beratur panjang mengambil Bubur Lambuk Kampung Baru secara percuma. Rasanya, peti atau tabung derma di masjid mahupun surau-surau kita tak pernah kontang dengan sumbangan orang. 

Malah tidak pernah kita mendengar cerita rakyat Malaysia mati kebuluran kerana negara ini buminya subur, ekonominya berkembang dan rakyatnya prihatin terhadap kesempitan orang lain.

Bukan sahaja pada saat bencana menimpa seperti musibah banjir musim tengkujuh, orang kita juga lekas menderma kalau mendengar atau ternampak laporan ada manusia kurang bernasib baik yang memerlukan bantuan kewangan bagi kos perubatan, pengajian dan sara hidup.

Ketika ini, kita terus melihat bermacam kempen bantuan kecemasan dilancarkan kerana ekonomi dunia terjejas.

Malaysia tidak terlepas mendapat tempias sehingga ada yang terpaksa meleburkan ego dengan mengibarkan bendera putih. Ada pula lebih nekad meminta bantuan secara langsung melalui direct message (DM) kepada usahawan dan selebriti.

"Usah kita persoalkan ke mana barang-barang itu pergi kerana tangan yang memberi pasti lebih baik daripada yang menerima"

Saya sendiri terharu melihat di lobi pangsapuri saya, adanya food bank. Letaklah apa saja yang termampu di situ dengan seikhlas hati - beras, telur, minyak masak, tepung, bihun, gula, kopi, sardin, bawang, ikan bilis dan mi segera yang dapat meringankan tekanan hidup orang lain.

Syukurlah setiap hari ia akan kosong. Usah kita persoalkan ke mana barang-barang itu pergi kerana tangan yang memberi pasti lebih baik daripada yang menerima.

Sekalipun rata-rata rakyat perlu duduk di rumah, usaha menghantar bantuan tetap dilaksanakan oleh individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), menteri, wakil rakyat serta frontliners. Lalu di sinilah bermulanya episod perang saraf Caprice – Ebit Lew – Nadir Al Nuri yang sedang kita saksikan. 

Malaysia sudah lama melihat segala usaha murni pendakwah bebas, Ebit Lew.

Saya sendiri kagum dengan kegigihan Ebit mengembara di seluruh Malaysia untuk menyalurkan bantuannya secara peribadi hingga saya merasakan beliau telah mengambil alih tugas wakil rakyat kita yang dilihat asyik berebut kuasa.

Ia membuatkan ramai berasa kesal dan fenomena ini dengan sendirinya menaikkan lagi aura Ebit.

Siri bantuan yang beliau berikan sejak menjadi penceramah dan pengusaha restoran itu akhirnya menjadi program amal terbitan Astro Oasis bernama ‘Door To Door Ebit Lew’ dan seterusnya, ‘Jejak Ebit Lew’ di Astro Prima.

Jadi kita perlu faham bahawa ‘Jejak Ebit Lew’ adalah program realiti yang menonjolkan kembara amal bersama dakwahnya kepada masyarakat tanpa mengira kaum. Ia berkaitan kandungan atau content.

Sebelum ini kita juga pernah melihat program ‘Bersamamu’ di TV3. Bezanya, Ebit terus sampaikan terus sumbangannya sementara ‘Bersamamu’ lebih kepada paparan hidup golongan sudah dan cara membantu mereka. 

Lalu dengan sendirinya semua ini menjawab kenapa perlunya rakaman visual atau foto apabila Ebit turun padang kerana harus memenuhi tuntutan program Astro itu termasuk memuat naik postings ke akaun media sosial beliau sendiri.  

Bagi saya, tiada salahnya pun untuk penderma mengambil gambar bersama mangsa perang atau bencana sekiranya team NGO atau pun penderma itu meminta izin terlebih dulu daripada empunya diri.

Apa yang penting sekali, fahami dulu adab dan budaya masyarakat yang kita temui supaya tiada masalah timbul dan ketidakselesaan.

Bukannya kita pernah melihat Mendiang Puteri Diana bergambar dengan mangsa kebuluran di Afrika. Angelina Jolie pun pernah berselendang melawat kem pelarian perang di Syria.

Angelina Jolie di Kem Pelarian Goudoubo, Burkina Faso, Jun lalu. Gambar: UNCHR.org
Angelina Jolie di Kem Pelarian Goudoubo, Burkina Faso, Jun lalu. Gambar: UNCHR.org

Visual-visual sebegini mampu memberikan satu harapan kepada kita yang melihatnya bukan? 

Demikian juga saya rasakan dengan tindakan Ebit yang sedang melakukan kebaikan. Saya bukanlah pengikut taksub, fanatik atau fan club member kepada Ebit namun saya menyokong sebarang usaha oleh sesiapa pun ke arah kebaikan tidak kira Caprice atau Nadir sekalipun.

Masing-masing ada misi serta niat untuk dilunaskan dan tugas itu menjadi lebih rumit kalau kita berhajat masuk ke sebuah negara yang baru dilanda perang serta bergolak. 

Daripada video penjelasan Ebit berhubung kemelut yang tercetus sekarang sehingga terseret menjadi kes polis, Ebit mendakwa beliau dan pasukannya menjadi mangsa fitnah bukan sahaja daripada Nadir dan Caprice malah juga netizen yang memaki hamun bertubi-tubi sehingga emosi diri dan anak isteri teruk terjejas.

Simpati rasanya kepada beliau kerana baru kehilangan ayah.

Gambar Fail
Gambar Fail

Ebit sedih dan kecewa kerana dituduh melarikan dokumen berkaitan misi ke Semenanjung Gaza, bersikap bongkak dengan Nadir ketika sampai di Mesir, menyembah seorang menteri Mesir dan mendapat keistimewaan SOP untuk menziarahi arwah ayahnya yang ketika itu sedang nazak.

Sebagai kenyataan balas, Ebit mempersoalkan pula di mana wang berjuta-juta yang dilaporkan telah dipungut oleh pihak Nadir bagi membangunkan Gaza selama ini. Ketelusan Nadir itu kini pula menjadi buah mulut.

“Saya pergi ke sana dengan duit saya sendiri dan beberapa sahabat yang rapat dengan saya. Saya tak pernah buka satu tabung pun untuk pergi Gaza. Saya tak bawa satu sen pun duit (orang) Malaysia. Saya pakai duit saya sendiri.

“Tiket penerbangan pun saya dapat daripada Turkish Airlines (ditaja) dan penginapan pun duit saya sendiri dan sahabat yang rapat dengan saya.” Begitulah antara luahan Ebit dalam videonya.

Mungkin kalau Caprice tidak mencucuk peniti, perang saraf antara mereka bertiga, sesama penyokong serta netizen itu tidak akan tercetus. Walaupun Caprice sudah meminta maaf kepada semua pihak namun kes ini nampaknya meleret ke arah yang lain pula dan menjadi fitnah yang berpanjangan. 

Tangkapan layar dari Instagram Caprice. Poster ini sudah dihapuskan dari linimasa akaun tersebut. Gambar Fail
Tangkapan layar dari Instagram Caprice. Poster ini sudah dihapuskan dari linimasa akaun tersebut. Gambar Fail

Saya berpendapat, andai ada kepincangan ketika di Mesir dan Gaza sepatutnya perkara itu dibincangkan secara tertutup antara team Ebit, Caprice dan Nadir tanpa perlu taksub menghebahkan kepada peminat atau tease the public. 

Ini soal imej Malaysia. Di sana orang hanya akan melihat lambang bendera Malaysia sahaja.  Bagi saya, team Ebit boleh membuat post-mortem sekiranya ada sebarang kelemahan seperti yang didakwa oleh Nadir dengan menonjolkan lebih kemesraan.

Membidas tentang hal politik negara sendiri di negara orang adalah perkara busuk yang tidak sepatutnya berlaku kerana negara yang kita pergi itu sendiri mungkin lebih bermasalah – jika tidak, kenapa kita pergi memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka, bukan sebaliknya? Tidak perlu kita menyelak kain sendiri di rumah orang.

Jangan jadi rakyat yang non-patriotic, tidak bersyukur dan terlalu taksub untuk berjihad kerana jihad itu sendiri perlu dilunaskan dengan hati yang tulus ikhlas dan berbalik kepada soal rezeki.

Jika tidak dapat sekarang suatu hari, mereka yang lain pasti akan dapat mengikut jejak Ebit itu. Bersabar, berusaha, berdoa dan tawakal.

Jangan kerana terlalu taksub hendak beramal jihad, kita sesama sendiri pula yang berperang saraf. - Getaran, 23 Julai 2021

Isu Pada

Sweet Qismina Melakar Laluan Seni

24 Jul 2021

Berita Berkaitan

1

Selebriti 1 minggu yang lalu

Carprice Dedah  Ditawarkan Duit Untuk Pakai Baju Parti Barisan Nasional – Minta RM1 Juta

2

Selebriti 1 bulan yang lalu

Caprice Nak Saman MYDIN RM30 Juta

3

Selebriti 1 bulan yang lalu

Caprice Ni Anti Ustaz Ke?, Guna Media Sosial Buka Aib Orang, Netizen Tempelak Kenapa Tak Guna Saluran Betul! 

4

Selebriti 1 bulan yang lalu

PU Syed Mohon Maaf Pada Caprice Kerana Mengaitkan Aurat Isteri Dalam Hantarannya Di Media Sosial

Sorotan

1

Piala Malaysia: Stadium Nasional Bertukar Lautan Merah-Biru, Merah-Kuning

2

Warkah Sebak Muhyiddin, ‘Saya Insan Biasa, Punya Rasa Kecewa Tapi Redha’

3

SME Corp Perkasa PKS Menerusi Anugerah E50