Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Adakah PAS Dalam PN Contoh Terbaik Pimpinan Islam?

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Jul 2021 12:48PM

Gambar fail AFP

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Coretan seorang pemerhati bukan Islam dari Kelantan

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat hanya sebuah kerajaan Islam yang boleh memimpin negara ini dengan baik dan telus, terutama sekali pada waktu negara dilanda musibah COVID-19 dan ekonomi yang kian melarat.

Kenyataan itu memang tepat untuk negara kita yang bermasyarakat majmuk. Perkongsian kuasa dipimpin parti dan individu Melayu Islam dilihat sebagai formula yang paling berkesan di mana pimpinan majoriti diterima oleh segenap lapisan masyarakat. Selagi kuasa yang diberi tidak disalah guna, rakyat tiada masalah dengan fahaman ini.

Pada hakikatnya, golongan bukan Islam dengan rela hati  diletakkan di bawah naungan sebuah kerajaan Islam selagi hak mereka dijamin dan mereka dihormati sebagai rakyat Malaysia.

Malah kalau pemimpin-pemimpin kita tidak mengira agama, mengikut teladan pemimpin-pemimpin dan Khalifah Islam yang silam di mana golongan minoriti dibela, penulis pasti keutuhan Kerajaan Islam yang berpanjangan. Sebab Islam itu merupakan agama yang universal dari segi nilai dan falsafah - penyayang, bertimbang rasa, bertoleransi, adil dan mengutamakan pengikutnya untuk beramal dan bertaqwa.

Ia juga menyabdakan penerapan ilmu dan menggunakan akal budi.

Abdul Hadi menekankan prinsip-prinsip ini dalam coretan beliau di Facebook pada hari Ahad lalu.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata yang mereka yang diberikan amanah memimpin, syaratnya ialah hubungan dengan Allah SWT mestilah erat.

“Pemimpin mesti daripada kalangan yang erat hubungannya dengan Allah SWT, menegakkan ekonomi yang adil, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar, serta berwawasan Hari Akhirat.

“Kita sedang menyaksikan kelemahan dan kegagalan ideologi, teori dan semua ajaran lain daripada Islam.

“Maka, wajib bagi umat Islam kembali semula memimpin umatnya bersama ajaran Islam yang sempurna,” katanya.

Namun sebagai seorang pemerhati yang bukan Islam, saya ingin bertanyakan kepada Ustaz Tok Guru Abdul Hadi adakah PAS merupakan contoh terbaik pimpinan Islam pada masa ini?

Sejak PAS diberi peluang untuk mentadbir negara dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) apabila Langkah Sheraton mengakhiri kerajaan Pakatan Harapan (PH), kemampuan, ketulusan dan keikhlasan PAS mentadbir telah menjadi tanda tanya.

Ada beberapa contoh pemimpin PAS yang bertopengkan agama terpesong dari menjalankan amanah masing-masing. Malah intipati keperibadian pemimpin-pemimpin ini terserlah apabila memperolehi kuasa.

Umpamanya Menteri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali yang melanggar SOP setelah pulang dari lawatan ke Turki.

Apabila rakyat lain berhadapan dengan kompaun dan penjara Ahli Parlimen Kuala Nerus ini pula dibebaskan dengan denda RM1,000 kerana melanggar kuarantin wajib 14 hari.

Beliau juga mengundang kontroversi apabila kenderaan yang dinaiki dengan seorang janda berprofil tinggi ditahan di sekatan jalan raya di Perasing, kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP).

Kononya ingin membela institusi Raja-Raja Melayu, Abdul Hadi kata baginda sepatutnya tidak diheret ke kancah politik.

Ini merupakan maklum balas pemimpin PAS tersebut kepada tuntutan rakyat dan ramai Ahli Parlimen, termasuk Timbalan Speaker Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mengembalikan sistem demokrasi Parlimen.

Yang di-Pertuan Agong sendiri telah bertitah untuk Parlimen dibuka semula.

Namun yang mengingkari titah Tuanku ialah Menteri PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang kerap memberi alasan mengapa titah baginda tidak boleh dituruti termasuk sebab-sebab perlembagaan, penularan wabak COVID-19 serta hakikatnya Tuanku tidak sebut waktu dan tarikh pembukaan semula Parlimen.

Apabila rakyat yang kebuluran mengibarkan bendera putih, ada pula segelintir pemimpin PAS yang tidak senang hati dan menganggapnya sebagai gimik politik - bukan laungan manusia yang terdesak sebab tidak dapat menanggung anak-bini yang kelaparan.

Terguris hati ahli jawatankuasa kerja parti itu, Mokhtar Senik, ahli Parlimen Bachok Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar apabila rakyat yang dalam kesusahan ekstrem mencari bantuan dengan menebal muka dan mengibar bendera.

Di Kedah pula Menteri Besar dari PAS Muhammad Sanusi Md memberi amaran mereka yang mengibarkan bendera putih tidak akan dibantu.

Kalau ada yang meminta bantuan, bantulah sekadar yang mampu. Tidak perlu tanya agenda mereka atau tatacara masing-masing. Agenda mereka ialah untuk mengalas perut yang diikat sekian lama.

Adakah pemimpin-pemimpin ini merupakan duta yang baik kepada agama yang agung dan sempurna ini atau mereka menunggang agama untuk kepentingan politik diri sendiri. Atau adakah mereka ini dengan fahaman mereka sendiri, permainan politik mereka sendiri atau keperibadian mereka tersendiri yang mengutamakan pangkat dan darjat walaupun kelakuan mereka memburukkan wajah Islam?

Adakah wajar kita melabelkan sebuah kerajaan yang merangkumi individu-individu seperti ini - yang tidak peka kepada keperluan rakyat dan tidak prihatin kepada sengsara rakyat sebagai sebuah Kerajaan Islam?

Walaupun bukan beragama Islam, setahu penulis, nilai-nilai murni Islam tidak terserlah dalam pentadbiran kini.

Membesar di Kelantan di bawah pimpinan Allahyarham Tok Guru Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat, penulis menyaksikan pengamalan nilai-nilai Islam dalam Kerajaan PAS negeri tersebut.

Walaupun serba kekurangan idea untuk membangun negeri itu, sekurang-kurangnya ia merupakan sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat dengan banyak program kebajikan.

Penulis ini sendiri, walaupun seorang Kristian, pernah alami dasar Islam universal yang tidak kenal kaum mahupun agama daripada arwah Tok Guru Nik Aziz.

Walaupun arwah merupakan seorang tokoh PAS, Tok Guru tidak pernah mendiskriminasikan rakyat bukan Islam di Kelantan sewaktu beliau memimpinnya sebagai seorang Menteri Besar.

Sebaliknya, tidak seperti anak beliau Nik Abduh yang telah hentam orang susah, Allahyarham Nik Aziz menganggap semua di bawah takluk pimpinannya sebagai rakyat yang harus dilindungi.

Ada satu ketika di mana sebuah gereja yang berada diantara rumah Nik Aziz dan pejabat Menteri Besar mengalami satu kecelakaan.

Sewaktu arwah dalam perjalanan ke pejabat, beliau sedar bahawa palang salib di gereja tersebut telah hilang.

Setibanya Tok Guru ke pejabat, beliau terus suruh salah seorang dari pegawainya untuk menghubungi ketua paderi di gereja tersebut.

“Tok Guru nak tahu, ada orang rosakkan palang salib di gereja kamu?”

Namun, pegawai tersebut telah terima balasan yang sangat melucukan - ketua paderi sendiri tidak sedar bahawa salib yang berada di atas gerejanya sendiri telah hilang.

Setelah disiasat, ketua paderi itu telah menghubungi pejabat Menteri Besar Kelantan dan memaklumkan bahawa salibnya telah jatuh akibat ribut yang berlaku pada malam sebelumnya.

Arwah Tok Guru Nik Aziz dengan segera meminta paderi itu untuk hantar bil kontraktor untuk membaiki salib tersebut.

Ketua Paderi: “Tok Guru, kami tak perlukan bantuan kerajaan. Kami ada belanjawan nak baiki salib kami.”

Nik Aziz: “Jangan risau, bawah PAS kerajaan Kelantan ada dana untuk membantu semua agama, termasuk agama bukan Islam.”

Bawah naungan Tok Guru Nik Aziz juga telah membantu membaiki semula gereja kami di Kuala Krai. Selepas beberapa tahun permohonan ditolak, Ayah penulis berjumpa dengan Tok Guru di rumah beliau untuk minta bantuan.

Tok Guru minta maaf dan memberi jaminan kelulusan akan diberi dalam masa terdekat. Tambah Tok Guru, agama Islam tidak menghalang pengikut ajaran lain daripada menunaikan tanggungjawab masing-masing. Dakwah dilakukan secara lembut bukan secara paksaan. Tok Guru turut menawarkan sumbangan untuk perbelanjaan baik-pulih gereja kami.

Inilah antara nilai-nilai Parti Islam SeMalaysia yang wujud sewaktu Nik Aziz menjadi nakhodanya.

Menteri Besar dan exco pula hidup secara sederhana. Nik Aziz tinggal di rumah kampungnya yang usang, bukan di kediaman rasmi yang serba mewah. Sikap angkuh yang dipaparkan oleh ramai pemimpin PAS sekarang memang jarang dilihat dalam pemimpin dulu.

Islam yang diamalkan merupakan Islam yang ada daya tarikan kepada mereka yang ingin lebih dekat lagi dengan Tuhan.

Kini, nampaknya ada pemimpin PAS yang lebih rela menyembah kuasa dan kekayaan.

Segala prinsip murni parti ini telah ditinggalkan diganti agenda yang menitik-beratkan kesenangan dunia dengan menyalah-gunakan nama Islam untuk kuasa semata-mata. - Getaran, 7 Julai 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

5 Ditahan Seludup Beras, Pelbagai Jenis Dadah

2

Kolum 1 bulan yang lalu

Apabila AI Menjadi Peguam, Akauntan Dan Pemandu

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Ubah Suai Meja Jadi Tempat Simpan Pistol, Lelaki Direman 6 Hari

4

Politik 1 bulan yang lalu

DUN Kelantan Lulus Usul Gubal Semula Kesalahan Syariah Diisytihar Batal, Tidak Sah

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah