Berita Terkini

2 minit yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Penangan PKP 3.0 : Derita Golongan Pertengahan Yang Tidak Dibincangkan

Apa jadi kepada golongan pertengahan di saat 'lockdown', berapa lama mereka mampu bertahan tanpa bantuan? Suzie Adnan membincangkan isu ini.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Jun 2021 1:00PM

Gambar: Sairien Nafis

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Melihat situasi sekeliling dan mendengar keluh-kesah teman-teman yang terjejas pendapatan akibat pandemik, saya terpanggil untuk membincangkan perihal ini.

Sewaktu Malaysia melalui lockdown buat pertama kalinya pada April tahun lepas, kita semua yakin masuk Jun nanti hidup akan kembali beransur normal.

Telahan kita semua silap belaka. Masuk pusingan kedua, kita ramal ambang tahun baru nanti pandemik pasti berakhir.

Sekarang ini kita sudah pun berada di pertengahan 2021 dan melihatkan keadaan semasa, semuanya tinggal angan-angan belaka. Hakikatnya hari demi hari, rakyat semakin resah gelisah.

Umum kerap kali membincangkan keadaan kelompok B40 yang amat terkesan. Bagus sekali usaha kerajaan dalam menyalurkan sumbangan kecemasan sesuai dengan isi rumah.

Walau bagaimanapun apabila kita memperkatakan mengenai golongan pertengahan pula, kita lupa kepada mereka yang berada di dalam ruang lingkup M40 malah T20.

Ibarat derita dalam diam, situasi golongan pertengahan sedang tegar bertahan. Tetapi persoalannya sampai bila?

Keadaan mereka genting laksana retak menanti belah. Boleh dikatakan hampir kesemua industri terkesan, yang tidak terkesan hanyalah penjawat awam. Untung sungguh kerajaan prihatin. Perform atau tidak, gaji tetap jalan. Itu belum kira wang bantuan.  

Berbeza dengan mereka yang berkerja sendiri atau yang bertugas di syarikat swasta yang kerap kali dibelenggu keresahan kerana ketidaktentuan masa depan itu hampir amat pasti.

Mereka tidak dapat menjangka apa yang akan berlaku kepada nasib perniagaan atau syarikat dalam masa sebulan, setengah tahun mahu pun setahun akan datang.

Hampir kesemua syarikat mengalami kerugian apabila kos overhead melangkaui margin keuntungan. Pandemik ini mengakibatkan produktiviti terbatas dan pihak majikan pula wajib mendahulukan kesihatan pekerja dahulu mengatasi produktiviti.

Apabila keadaan perniagaan semakin mencabar, banyak syarikat mengerahkan para pekerja melakukan lebihan kerja yang bukan berada di dalam bidang ketetapan mereka.

Dari sekadar kerja admin mungkin sudah diarahkan untuk turut ‘menjaja’ jualan. Ada yang terpaksa kerja lebih masa apabila ramai teman-teman sekerja lain sudah diberhentikan.

Politik pejabat pula bertambah rumit. Ya, buat syarikat yang terkesan, jika tidak ‘bungkus’ terus, ia mulai membuang pekerja sedikit demi sedikit.

Retrenchment – perkataan yang paling digeruni oleh mereka yang makan gaji. Prospek pekerjaan juga nampaknya semakin muram lagi kompetitif lebih-lebih lagi buat golongan M40 dan T20 yang bergaji antara lima hingga 10 ribu lebih.

Apabila keadaan mendesak, tawaran gaji kini juga agak rendah berbanding biasa. Keadaan ini membuatkan golongan pertengahan terus-menerus tersepit.

Moratorium, i-Sinar dan lain-lain pelepasan yang dianjurkan kerajaan amat membantu bagi meringankan sedikit beban. Namun kepada golongan pertengahan yang tinggal di bandar-bandar besar, kos perbelanjaan harian mereka lebih tinggi dari biasa.

Bermula dari sekecil-kecil kos seperti minyak petrol serta tol sehinggalah kepada pembayaran semula pinjaman bank bagi rumah, kenderaan, perniagaan dan sebagainya.

Itu belum lagi masuk perbelanjaan harian untuk isi rumah, bayaran bulanan sekolah anak-anak serta pengasuh. Ini semua keperluan asas kehidupan di bandar buat mereka yang berkeluarga dan berkerjaya.

Ramai juga golongan pertengahan yang membuka bisnes kecil-kecilan seperti berjinak-jinak dengan berniaga di dalam talian sebagai side income.

Daripada menjual beraneka makanan hingga pakaian, alat solek dan sebagainya, gelanggang media sosial penuh dengan pelbagai macam ragam gaya promosi, iklan dan siaran langsung menjual produk.

Masing-masing mencuba nasib memancing minat pelanggan baru sehingga berlaku lambakan apabila penawaran lebih banyak berbanding permintaan.

Bisnes tampak meriah pada PKP yang pertama dan kedua, namun pada PKP yang ketiga ini kerancakan itu beransur suram.

Masyarakat awam semakin berhati-hati untuk berbelanja pada sesuatu yang bukan lagi dilihat sebagai kepentingan. Dengan kenaikan harga barangan runcit masa kini, harga-harga makanan atas talian juga turut menjadi bertambah mahal dan dengan caj penghantaran apatah lagi.

Ingin beria-ia beli alat solek, mahu keluar rumah wajib bertopeng mukalah pula. Dan apa gunanya beli baju baru jikalau pergerakan pun terbatas.

Seperti perayaan Aidilfitri baru-baru ini, berapa ratus ringgit kita laburkan untuk baju-baju Raya hanya untuk memakainya di rumah? Berapa banyak hidangan sudah kita tempah untuk menjamu tetamu yang tidak kunjung tiba? Semua ini sekadar untuk hebahan media sosial? Berbaloikah?

Pembelian kini berkurangan secara perlahan-lahan kerana masyarakat sudah mulai bijak untuk mengambil langkah berjaga-jaga. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Setahun sudah cukup untuk mengajar kita semua mengenai apa itu keperluan dan apa itu pembaziran.

Bagi golongan asnaf dan fakir miskin, Lembaga Zakat, Baitumal dan ribuan NGO sememangnya sudah bersiap siaga memberi bantuan secukup-cukupnya dan mereka ini akan terus dipantau secara berterusan dari masa ke semasa.

Namun golongan pertengahan pula jikalau terputus gaji dan bisnes tidak menjadi, bank mengejar sepanjang hari, kemudian yang kelaparannya anak bini, ke mana lagi mereka mahu pergi?

Apabila perasan risau melampau sehingga kemurungan menguasai, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila saban hari ada sahaja laporan berita kes bunuh diri.

Di saat genting ini, sokongan moral daripada orang tersayang amat penting. Kita pun ambillah inisiatif sendiri dan perhatikan orang di sekeliling.

Tanya khabar kawan-kawan, saudara-mara, jiran tetangga atau sesiapa sahaja yang kita rasa sedang berada di dalam kesempitan. Tolong mana yang mampu. Kerana sudah dijanjikan Allah SWT yang sedekah itu tidak akan membuatkan seseorang itu miskin malah lebih afdal lagi jikalau dilakukan di saat kita sendiri susah.

Ya, lumrah manusia… kita selalu risau jikalau apa-apa perkara buruk berlaku kepada syarikat atau perniagaan kerana tanpa sedar kita berasakan itulah sumber rezeki kita untuk meneruskan kehidupan.

Tetapi selalulah juga ingatkan diri sendiri yang rezeki itu bukan majikan atau perniagaan yang tentukan tetapi rezeki adalah milik Allah SWT semata-mata.

Hidup ini sememangnya pentas ujian. Oleh itu teruskanlah berdoa, belajar untuk reda dan jangan kita sesekali putus asa.

Kepada sahabat-sahabat yang terkesan akibat musibah pandemik, yakinlah bahawasanya Tuhan itu senantiasa bersama hamba-hamba-Nya yang sabar dan berusaha. Ketahuilah yang pertolongan-Nya amat dekat. - Getaran, 6 Jun 2021.

Semua gambar hiasan: Gambar Fail

Isu Pada

Jagoan Litar : Lewis Hamilton Dan Valtteri Bottas

05 Jun 2021

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 hari yang lalu

Anwar Terima Kunjungan Menteri Luar India

2

Sukan 1 hari yang lalu

Beraksi Di Laman Sendiri Gagal Bantu Harimau Malaya Saingi Kehebatan Oman

3

Semasa 5 hari yang lalu

Malaysia Hantar 100 Kontena Bantuan Ke Gaza

4

Sukan 6 hari yang lalu

Oman Beri Harimau Malaya Kekalahan Pertama

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok