Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Mendalamkan Makna ‘Agenda Bumiputera Sebagai Agenda Nasional’

Dasar yang menyasarkan Bumiputera telah berkembang dengan meluas di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak 1971

Kolum Dikemaskini 2 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 24 Feb 2024 4:40PM

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di bawah naungan Ekonomi Madani berpeluang melakarkan halatuju baharu yang jelas, mantap, dan progresif - gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru mengumumkan pepatah “agenda Bumiputera sebagai agenda nasional” memandangkan persediaan negara menujui Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB). KEB2024, yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Negara bersama Kementerian Ekonomi, akan berlangsung pada 29 Februari – 2 Mac ini.

Pengumuman “agenda Bumiputera sebagai agenda nasional” bertujuan menyatukan sentimen umum sambil menghujahkan bahawa manfaat dasar Bumiputera akan melimpah kepada masyarakat bukan Bumiputera. Di sebalik ungkapan ini adalah hasrat supaya dasar Bumiputera dipersetujui oleh semua golongan masyarakat.

Namun, pendekatan kepada perkara ini wajar difikirkan semula, seiring dengan azam Ekonomi Madani supaya menjalinkan pembangunan insan serta menjaminkan kesaksamaan peluang kepada rakyat jelata.

Hakikatnya, KEB2024 sudah pun mencetuskan polarisasi: kebanyakan warga Bumiputera menyokong agenda di sebalik acara ini, manakala ramai warga bukan Bumiputera mempersoalkan keperluannya.

Reaksi seperti ini amat beremosi dan kerap dihangatkan oleh ahli politik, tetapi ia juga berpuncakan kehidupan seharian orang biasa yang harus diiktiraf. Sebahagian besar masyarakat Bumiputera pernah menerima manfaat atau menyaksikan penerimaan manfaat sistem ini, terutamanya dari segi akses kepada pengajian tinggi, biasiswa dan bantuan kewangan, dan pinjaman perniagaan mikro dan kecil. Sebaliknya, ramai orang bukan Bumiputera merasa mereka tidak diberi layanan yang sama rata, atau dikecualikan daripada peluang yang dinikmati oleh golongan Bumiputera.

Perkara yang rumit dan sensitif ini memerlukan perspektif yang baharu. Saya menyeru supaya tiga aspek difikirkan semula, demi mendalamkan makna “agenda Bumiputera sebagai agenda nasional” dan memupuk persefahaman di kalangan masyarakat Malaysia.

Pertama: mengenalpasti tujuan, kaedah dan bidang “agenda Bumiputera” (dasar berasaskan kumpulan secara am) dengan lebih menyeluruh dan sistematik, dan memupuk kesedaran bahawa dasar sama yang menyasarkan kumpulan etnik lain, wanita serta orang kurang upaya (OKU).

Dalam konteks Malaysia, dasar Bumiputera wujud di bawah naungan dasar tindakan afirmatif yang bertujuan meluaskan penyertaan dan menjanakan keupayaan sesuatu kumpulan yang disasarkan, yang secara amnya kurang bernasib baik. Dalam konteks global, pelbagai negara memberi layanan istimewa kepada ahli kumpulan ini demi menambahkan penyertaan mereka dalam sektor di mana penyertaan mereka masih berkurangan. Kumpulan sasaran dasar tindakan afirmatif berbeza antara negara – ada yang memihak kepada kumpulan etnik, kawasan, kasta, atau jantina – tetapi secara konsisten ia dilaksanakan dalam sektor pendidikan tinggi, keusahawanan, pekerjaan profesional dan pengurusan, dan pemilikan harta.

Di Malaysia, dasar ini kebanyakannya memanfaatkan Bumiputera, tetapi ada juga yang menyasarkan masyarakat Orang Asli dan India, dan juga wanita dan OKU melalui program kemasukan pengajian tinggi, biasiswa, pinjaman perniagaan kecil, jaminan kredit, dan sebagainya. Selagi kita merangkakan dasar ini hanya dari segi program pro-Bumiputera, polarisasi akan berterusan dan perspektif kita juga akan terlalu sempit and serong kerana mengabaikan pelbagai program yang memanfaatkan kaum minoriti, wanita, dan OKU.

Melangkah ke hadapan, usaha kita lebih baik dilaburkan dalam melaksanakan seluruh dasar ini dengan lebih jelas dan bersepadu, dan secara bertolak ansur antara semua kumpulan.

Kedua: mengambil kira kepentingan semua kaum dan pihak, terutamanya golongan bawahan, sambil mempertingkatkan kesaksamaan dan keberkesanan.

Pengkritik agenda Bumiputera kadangkala ditegur supaya tidak mengadu bahawa kepentingan mereka diketepikan sedangkan kemaraan Bumiputera akan juga memanfaatkan mereka. Tambahan pula, peluang-peluang di sektor swasta sentiasa ada. Hujah ini separuh benar. Secara am, institusi pengajian tinggi swasta dan pasaran swasta memberi peluang kepada semua, termasuk bukan Bumiputera. Akan tetapi, kewujudan peluang di sektor swasta tidak mengganti kekurangan peluang di sektor awam disebabkan kuota etnik atau pengecualian daripada program Bumiputera-sahaja. Tambahan, kos pendidikan tinggi swasta jauh lebih tinggi berbanding dengan institusi awam; ramai bukan Bumiputera tidak mampu menanggung beban kewangan ini.

Peningkatan dalam kesaksamaan bermula dengan mengamalkan sikap yang lebih bersimpati terhadap cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh warga bukan Bumiputera. Pengakuan ini seharusnya mendorong dialog dasar yang lebih telus dan objektif. Keutamaan harus juga diberi kepada golongan bawahan Bumiputera – terutamanya dalam pengajian tinggi – sambil menerokai ruang untuk menghulurkan layanan istimewa kepada isi rumah yang kurang berkemampuan tanpa mengira kaum, misalnya dalam program biasiswa atau kemasukan institusi pengajian tinggi awam.

Usaha mempertingkatkan kesaksamaan dan keberkesanan berbeza dari sektor ke sektor; aplikasinya perlu disesuaikan dengan konteks. Dalam kemasukan ke program pengajian tinggi, meritokrasi boleh diamalkan seiring dengan menyasarkan kumpulan etnik dan juga pertimbangan berasaskan keadaan sosioekonomi. Dalam program keusahawanan, peruntukan peluang istimewa mesti menekankan kebolehan, disusuli oleh bantuan dan pemantauan yang menekankan produktiviti, inovasi, dan daya saing.

Ketiga: elakkan jalan buntu di mana pihak yang ingin memansuhkan “agenda Bumiputera” berlawan dengan mereka yang menegaskan penerusannya. Gubalkan agenda nasional yang merangkumi Bumiputera dan semua kumpulan yang disasarkan.

Dasar yang menyasarkan Bumiputera telah berkembang dengan meluas di bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak 1971. Perbahasan agenda Bumiputera sudah terlalu lama terperangkap dalam suatu putaran ganas yang menghakis kepercayaan antara kaum, yang seringnya bermula dengan penegasan bahawa DEB, yang secara rasmi berlangsung dari 1971 hingga 1990, sepatutnya ditamatkan sepenuhnya pada 1990. Sebenarnya, DEB pada asalnya bermatlamat menjadikan masyarakat Bumiputera “rakan kongsi penuh dalam kehidupan ekonomi negara”, tetapi tidak menetapkan tahun 1990 sebagai tarikh tamat yang kukuh; tahun 1990 dirangkakan sebagai suatu masa untuk mempertimbangkan penerusan dasar ini. Sememangnya, jurang besar antara Bumiputera – bukan Bumiputera yang wujud di permulaan DEB tidak mampu dirapatkan dalam tempoh 20 tahun sahaja. Tambahan pula, DEB tidak menjelma sepenuhnya pada 1971 tetapi berkembang secara beransur-ansur, dan sepanjang perjalanan ada pelbagai program baru yang diperkenalkan, ada program yang diubahsuai, dan ada juga yang dihentikan.

Sistem ini meluas dan dinamik, dan dikelolakan oleh sasaran dan tempoh masa yang berlainan menurut sektor dan bidang. Pada dekad yang lepas, program menyasarkan India, Orang Asli, wanita dan OKU telah diperkenalkan dan walaupun masih kecil, sudah diarus perdanakan dan diterima secara umum. Dengan mempertimbangkan realiti ini, lebih berguna dan bernas jikalau kita menggemblengkan usaha demi membentuk sebuah agenda nasional yang memelihara kepentingan semua kumpulan.

Mampukah Malaysia melaksanakan agenda Bumiputera sebagai agenda nasional? Rencana ini mencadangkan sebuah pemikiran semula yang: (1) merangkakan dasar berasaskan kumpulan yang bertujuan meluaskan penyertaan dan menjanakan keupayaan, (2) mengambil kira kepentingan semua pihak sambil mengutamakan kesaksamaan dan keberkesanan, (3) menggubal secara sistematik dasar yang memperkasakan Bumiputera serta kumpulan lain.

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di bawah naungan Ekonomi Madani berpeluang melakarkan halatuju baharu yang jelas, mantap, dan progresif. - Getaran, 24 Februari 2024

Penulis ialah Felo Penyelidik Kanan ISEAS-Yusof Ishak Institute (Pengajian Asia Tenggara

Berita Berkaitan

1

Kolum 1 bulan yang lalu

Apabila AI Menjadi Peguam, Akauntan Dan Pemandu

2

Ekonomi 1 bulan yang lalu

KEB 2024 Perlihat Agenda Perkasakan Ekonomi Bumiputera Tanpa Pinggirkan Kaum Lain

3

Kolum 1 bulan yang lalu

Ruang Kecil, Impian Besar: Bagaimana Ruang Simpan Sendiri Buka Peluang, Potensi Untuk PKS

4

Kolum 1 bulan yang lalu

5G: Keperluan Atau Sekadar Gimik Pemasaran?

Sorotan

1

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

2

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

3

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

4

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

5

Kemenangan Ke Atas Hong Kong Lonjak Keyakinan Kem Perseorangan - Jun Hao

6

Misi Gaza Freedom Flotilla Ditangguhkan, Peserta Dinasihat Pulang - Ann Wright

7

Kerajaan Tidak Bercadang Gantung Sementara Perkhidmatan Helikopter Jenis Fennec, HOM