Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Apabila Wabak Serang Pawagam

Kami rindu menonton filem di pawagam. Membaca naskhah nukilan Roslen Fadzil membuat kami rasa lebih rindu. Anda bagaimana?

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Feb 2021 8:50AM

Tempat duduk di pawagam MBO The Starling September 2020. Gambar: Ili Farhana

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Lebih tiga tahun setengah atau secara tepat lagi, 41 bulan saya ‘berehat’ daripada penulisan bergenre hiburan dan gaya hidup - secara formalnya. Dengan berat hati saya mengambil keputusan meninggalkan Balai Berita, di Bangsar pada Ogos 2017 kerana masalah slipped disc, atas nasihat pakar. 

Saya juga nekad ‘bersara awal’ ketika itu kerana mahu beralih angin dengan membuat perkara lebih bebas dan relaks. Pun begitu alihan angin itu bukannya terlalu berbeza seperti angin tundra bertukar ke tropika kerana ia masih lagi dalam ruang lingkup penulisan. 

Saya meneroka lebih mendalam dunia penulisan kreatif khususnya skrip, penciptaan lagu dan lirik. Sesekali, saya berkongsi pengalaman sebagai speaker bagi bengkel media dan komunikasi termasuk di kampus. Saya turut merebut peluang untuk kembali bermain akrilik dan kanvas kerana itulah karier terawal saya sebelum menjadi  wartawan pada 1990.

Tidak terduga pada zaman wabak dan krisis ekonomi terburuk yang menghimpit dunia sekarang, hati ini terbuka untuk kembali menulis apabila mendapat lamaran daripada Getaran. Berupa portal berita hiburan dan gaya hidup yang ada kekuatan tersendiri, Getaran ditunjangi mereka-mereka yang faham apa itu news value selain informasi sahih dan relevan.

Hakikatnya, kita tidak boleh menolak satu vitamin yang bernama hiburan. Hiburan dilihat semakin penting bagi mengekalkan kesihatan jiwa sambil meredakan tekanan hidup manusia di setiap inci benua yang terus diancam wabak. Hiburan itu banyak definisinya dan ia tampak semakin efisyen melalui pelbagai platform serta aplikasi media sosial. Namun apa yang mencemaskan, industri hiburan mula terjejas kerana pandemik ini.

Kesan itu terlihat pada sektor perfileman secara global dan tempatan. Memang saya ini kaki wayang kerana saya membesar dengan filem-filem di panggung seawal 1970-an. Saya menonton wayang sejak zaman pawagam masih berkipas angin, berselerak kulit kuaci hitam dan sesak dengan hembusan rokok penonton. Saya pernah melihat pawagam ditutup disebabkan musibah banjir  atau pemiliknya mengalami kerugian sehingga bankrap. Namun belum pernah ia ditutup disebabkan wabak penyakit.

Saya sempat bertanya perkembangan pawagam kita kepada Pengurus Perhubungan Awam & Penjenamaan Golden Screen Cinemas (GSC), Sharmine Ishak. Beliau memaklumkan, GSC telah menutup operasi tayangan bagi kesemua 37 buah pawagamnya sejak Mac 2020.

Katanya, sudah dua kali mereka berbuat demikian iaitu antara 18 Mac hingga 30 Jun 2020 dan seterusnya sejak 14 Oktober 2020 hinggalah sekarang. Ia membabitkan 344 dewan tayangan dengan pelbagai kapasiti tempat duduk. Jelas Sharmine lagi, untuk kedua-dua tempoh berkenaan, mereka telah kehilangan kira-kira 90 peratus daripada jumlah penonton yang biasa berkunjung ke rangkaian GSC.

Lalu, adakah kita akan dapat menonton filem-filem blockbuster Hollywood pada tahun ini? Antara yang tersangkut dan menunggu tayangan adalah Black Widow, No Time To Die (Bond 007), Dune, Mission Impossible 7, The Matrix 4, Elvis, Death On the Nile, Top Gun: Maverick dan Samaritan. 

Gambar: IMDB
Gambar: IMDB

Sektor perfileman kita turut cedera parah dek perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Penggambaran filem tertangguh dan karya yang sudah siap terpaksa menunggu dan terus menunggu tarikh tayangan masing-masing. Tentunya yang menanggung risiko adalah produser yang telah melabur jutaan ringgit pada hasil yang belum dapat dituai.

Produser Dato’ Nancie Foo memberitahu saya, filem terbaru beliau yang diterbitkan bersama Datin Wendy Wong, Sumpahan Jerunai arahan Jason Chong, turut menjadi mangsa Covid-19 apabila tersangkut tayangan yang sepatutnya penghujung 2020 lalu.

Katanya, Sumpahan Jerunai yang menelan bajet RM5 juta, dihasilkan khas untuk tayangan pawagam dengan memanfaatkan pelbagai teknologi canggih agar memberi kesan bersifat ‘cinematic’. Ia bergenre ‘adventure horror’ yang berlandaskan budaya primitif masyarakat pribumi Sarawak dan sudah tentu lebih berbaloi kalau ditonton di pawagam.

Gambar: Finas.gov.my
Gambar: Finas.gov.my

Produser prolifik, Dato’ Yusof Haslam juga akui, dua filem terbitan beliau bersama Astro Shaw iaitu Abang Long Fadil 3 dan Polis Evo 3, menerima nasib serupa. Kata Dato’ Yusof, dengan kos mencecah RM12 juta bagi kedua-dua filem terbabit, pihaknya perlu menunggu tarikh yang sesuai untuk tayangan agar pulangan setimpal diperoleh. Ujar beliau lagi, penggambaran bagi semua produksi terbarunya, kini terpaksa digantung.

Gambar: Astro Shaw
Gambar: Astro Shaw

Saya faham, andai pawagam kita dibuka semula pun, kutipan tiket tidak mustahil akan terjejas kerana bilangan pawagam makin berkurang. Ini ditambah cara tontonan sekarang yang perlu ada social distancing.

Meneliti kenyataan media yang diterbitkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), ia melaporkan bahawa tindakan segera telah diambil tahun lalu selepas melihat impak pandemik yang teruk terhadap penggiat seni tempatan khususnya produser dan pekerja filem. Kerajaan melalui FINAS melancarkan Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (PELAKSANA) bagi menyalurkan Dana Kandungan Digital kepada 39 buah syarikat produksi, melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM14 juta.

Ketika banyak negeri diletakkan di bawah PKPB, FINAS turut memohon kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan kerja-kerja penggambaran dijalankan demi kelangsungan hidup mereka yang berjuang di dalam bidang produksi filem, drama dan dokumentari.

Saya difahamkan, program lain yang dilaksanakan FINAS sewaktu PKP pertama tahun lalu termasuklah bantuan kewangan berjumlah RM102,000 kepada 102 pejuang seni veteran, golongan yang uzur serta hilang pendapatan akibat penularan wabak ini. Bantuan sebanyak RM5,000 pula diagihkan kepada setiap syarikat produksi bagi membiayai ujian saringan calitan (swab) ke atas pelakon dan krew penerbitan dalam tempoh PKPB.

Bagi saya, pandemik ini adalah ujian terbesar yang perlu dihadapi setiap manusia dengan tabah. Bersimpati saya dengan produksi filem dan drama yang perlu menghentikan penggambaran mereka dengan short notice apabila PKP kembali dilaksanakan. Mungkin atas pertimbangan pihak berkenaan, penggambaran boleh diteruskan dengan SOP yang cukup ketat kerana ada beberapa produksi perlu mengejar tarikh tayangan mereka kerana siaran drama mereka telah pun ke udara separuh jalan. 

Gambar: Astro
Gambar: Astro

Inilah yang berlaku kepada produksi Juita Viden yang kini menerbitkan drama rantaian popular Angkara Cinta bagi Astro Prima. Sepanjang PKPB lalu, mereka menjalani penggambaran di Lembah Klang tetapi apabila PKP diumumkan, mereka terpaksa berpindah lokasi ke Ipoh, Perak yang masih di bawah PKPB. Malangnya Perak pula kemudiannya diisytihar sebagai wilayah PKP lalu menyebabkan mereka terpaksa menghentikan segala tugas penggambaran. 

Memang berat mata memandang namun berat lagi beban di bahu Produser Eksekutifnya, Michael Ang. Michael sebenarnya lebih sedih memikirkan periuk nasib krewnya yang mungkin tidak berasap - tanpa diketahui selama mana. - Getaran, 5 Februari 2021

Roslen Fadzil adalah bekas Pengarang Hiburan Harian Metro, BiPop Berita Minggu, Murai.com.my dan majalah digital ZIP. Beliau kini penulis skrip dan lirik lagu untuk ramai artis terkenal Malaysia.

Isu Pada

Dayang Nurfaizah

06 Feb 2021

Berita Berkaitan

1

Filem & TV 1 minggu yang lalu

Reviu Filem: 'Sheriff' Filem Syafiq Yusof Paling Berani, Papar Sisi Gelap PDRM

2

Filem & TV 1 minggu yang lalu

'Sheriff' Karya Paling Jujur, Janjikan Kelainan Sisi Polis

3

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

4

Luar Negara 4 minggu yang lalu

Singapura Rampas 1.5 Tan Produk Segar, Makanan Proses Dari Malaysia

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi