Berita Terkini

6 jam yang lalu: Tokoh Wartawan Negara 2014 Datuk Ahmad Rejal Arbee meninggal dunia awal pagi hari ini - isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff. 3 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 6 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke

IKUTI KAMI


Di Antara Ayahandaku Dan Baha Zain

Ad Samad merungkai penemuan terbaharunya iaitu hasil penulisan Baha Zain dan membandingkan karyanya dengan keperibadian arwah ayahnya sendiri.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 May 2021 9:00AM

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Beberapa tahun sudah, aku telah menjumpai beberapa pucuk surat tulisan almarhum ayahandaku kepada para kekandaku.

Suratnya ditulis di dalam bahasa Inggeris dengan format surat karangan yang formal. Ia mewakili gaya penulisan seseorang dari generasi terdahulu. Cara pengarangan beliau adalah jelas dan sedap dibaca. Seolah-olah dikarang penulis professional. Walhal, beliau hanyalah seorang anggota polis yang digeruni para samseng dan penjenayah.

Aku syak, di samping segak dengan berpakaian seragam dengan ketinggian 6 kaki (182.88 cm); ayat-ayat pertuturan dan penulisannya adalah senjata menambat hati wanita. Justeru, aku memilki seorang ibu kandung yang sangat ayu serta barisan ibu tiri yang sangat jelita.

Tulisan tangannya pula berbentuk cursive atau dipanggil 'tulisan sambung' di dalam bahasa Melayu. Orang zaman sekarang sudah tidak lagi menulis dalam cursive. Ia adalah satu seni yang sedang nazak; menunggu mati, seperti Aiman Tino yang putus cinta di dalam lagu Ku Rela Dibenci.

Mungkin juga, tiada manfaat yang ketara untuk mengamalkan tulisan cursive. Adalah amat leceh untuk memahirinya agar cantik dan jelas, kerana kesan daripada tulisan cursive yang buruk dan tidak jelas akan sukar dibaca malah menimbulkan kekeliruan.

Ayahandaku tidak pernah menulis kepada kami di dalam bahasa Melayu. Malah, pertuturan hariannya dengan kami—anak-anaknya kebanyakannya adalah di dalam Inggeris.

Baru baru ini, aku telah diperjodohkan menemui dan membaca buku-buku karangan Sasterawan Negara — Baha Zain (Dato' Dr). Ia adalah satu penemuan mengejutkan yang membuka mata, merangsang pemikiran, dan menginsafkan. Aku menjadi rendah diri kerana menyedari akan kelemahan dan kejahilanku di dalam persuratan Melayu. Beliau melenyapkan  keangkuhan yang selama ini aku miliki.

Aku selalu merasa para penulis intelektual dan kesusasteraaan Melayu adalah terlalu verbose — menggunakan lebih perkataan daripada yang diperlukan — malah bombastic dan megah atau pompous. Justeru membosankan untuk dibaca.

Namun, esei-esei Baha Zain tidak sebegitu. Ayat-ayatnya ekonomikal dan perkataannya tepat. Jika ada pun perkataan yang 'besar' adalah kerana ia diperlukan, demi ketepatan. Malah, aku mempelajari sejumlah perkataan baru di dalam lambakan karangannya, justeru membantu peningkatan perbendaharaan kataku.

Di dalam salah satu daripada karangannya, beliau menekankan kemestian penulisan yang jelas dan teratur. Ia adalah sesuatu yang beliau perolehi daripada seorang lagi Sasterawan Negara — Keris Mas. Keris Mas menyatakan bahawa bahasa yang jelas lahir daripada fikiran yang jelas. Oleh itu, penulis perlu terlebih dahulu menjernihkan pemikiran dan niatnya sebelum  memulakan penulisan.

Tersentap sekali perasaan dan fikiranku dengan kenyataan tersebut.

Selama ini, selain daripada bergelut untuk mencapai 'kejelasan', aku adalah seorang yang menulis tanpa melihat 'niat dan pemikiran'. Apabila aku renungi ke dalam diri, penulisanku selalunya adalah bersandarkan kemahuan untuk mencapai nilai estetika  dan menghiburkan. Hanya secubit atau sekelumit sahaja untuk lain-lain maksud.

Berbeza sekali dengan Baha Zain yang mana penulisannya penuh niat dan tujuan, sama ada memperkayakan kesusasteraan Melayu atau memberi didikan dan penerangan, atau membuat teguran dan kritikan terhadap isu-isu penting semasa. Pada falsafah beliau seorang penulis mempunyai tanggungjawab yang sebegitu.

Baha Zain dan ayahandaku adalah dari lingkungan usia, era, dan status sosial yang sama. Mungkin seperti ayahandaku, Baha Zain juga ke sekolah berjalan kaki berbatu-batu jauhnya dengan sepatu yang tidak sempurna dan tanpa wang saku untuk berbelanja, lalu ketika waktu rehat, mereka meneguk bawah pili air untuk menghilangkan dahaga. Segalanya penuh kepayahan. Namun, mereka akhirnya mencapai tahap kerjaya yang cemerlang di dalam kehidupan.

Apabila bergemanya laungan menuntut kemerdekaan daripada penjajahan, generasi mereka bangkit dan berarak dengan semangat yang berkobar-kobar. Setelah mencapai kemerdekaan, mereka lantas membina negara agar anak cucu mereka dapat mengecap kehidupan yang bebas, makmur dan membahagiakan, melebihi daripada apa yang pernah mereka kecapi dahulu.

Berbeza dengan generasiku dan yang selepasku, kemakmuran yang dikecapi menjadikan kami para individu yang asyik berjuang semata-mata demi status, materi dan pencarian cinta-suci-sejati seperti di dalam filem-filem Hollywood. Pergelutan hidup  adalah di dalam menangani tekanan mental yang datang berserta kehidupan moden masa kini. Pilu (malah lucu, walaupun tak sepatutnya) apabila melihat peningkatan depresi dan anxiety yang dialami para remaja dan muda-mudi masa kini akibat penangan media sosial dan minda yang tak henti tertumpu kepada telefon pintar yang terpateri ke tangan, yang hanya boleh dipisahkan melalui prosedur pembedahan rumit di hospital pakar.

Aku malu pada Baha Zain dan ayahandaku sekiranya mereka melihat kami sebagai generasi lembik akibat kesenangan hidup. Aku malu sekiranya mereka merasai kami adalah golongan yang lupa diri dan asal-usul akibat buta sejarah perjuangan bangsa. Aku malu sekiranya mereka mendakwa bahawa kami telah tiada impian memperkasakan bangsa, meskipun melalui bahasa, budaya, jua ekonomi negara.

Begitupun, di antara Baha Zain dan ayahandaku punyai satu kecenderungan yang ketara  berbeza apabila membabitkan bahasa.

Kelihatannya, jelas sekali Baha Zain adalah seorang pejuang bahasa Melayu.

Manakala almarhum ayahandaku pula adalah penggalak bahasa Inggeris.

Baha Zain mempercayai memartabatkan bahasa Melayu adalah sama penting dengan  usaha memperkayakan ekonomi negara, agar identiti dan jatidiri kita terpelihara, tidak lumat dibaham dunia materi dan ideologi luar.

Ayahandaku pula mempercayai penguasaan bahasa Inggeris yang bagus adalah satu kelebihan apabila berhadapan dan bersaing di dalam dunia moden yang anglocentric.

Dari gaya pemikiran dan penulisan Baha Zain, aku yakin beliau adalah seseorang yang sarat membaca buku-buku Inggeris. Malah aku percaya, penguasaan beliau bertutur dan menulis di dalam Inggeris atau Melayu adalah sama hebatnya dari segi nahu dan perbendaharaan kata. Pastinya beliau telah mendapat manfaat besar daripada berbahasa Inggeris yang telah membuka pelbagai pintu-pintu keilmuan yang memperkayakan pemikiran beliau.

Ayahandaku adalah seorang yang physical dan aktif. Kecenderungan beliau adalah kepada  ragbi, memburu, menembak, dan wanita cantik. Mengenai pendidikan, beliau bagaikan tidak mempedulikan sebarang mata pelajaran, kecuali Sains dan Matematik. Beliau mempercayai sains dan matematik membuat otak jadi geliga menyelesaikan permasalahan. Dan seseorang yang mempunyai otak yang geliga, boleh hidup di mana mana jua. Dicampak ke laut menjadi pulau dan dilontar ke langit menjadi bintang.

Diharap, janganlah sesiapa meragui kemelayuan ayahandaku. Beliau adalah anak  sejati Chembong — Rembau — Negeri Sembilan.

Bagi Baha Zain, meskipun mengakui kepentingan bahasa Inggeris, namun tidak bersetuju Sains dan Matematik di ajar di dalam bahasa tersebut, kerana beliau mempercayai itu akan menjadi satu malapetaka kepada bahasa Melayu. Hujah-hujah yang beliau kemukakan adalah bernas dan jitu.

Aku tidak cukup pengetahuan dan maklumat untuk selayaknya membuat keputusan  dengan baik, adakah Sains dan Matematik patut diajar di dalam bahasa Inggeris?

Namun naluriku mengatakan, sebagai negara yang sedang membangun, kita memerlukan kebanyakan rakyat yang terdidik di dalam ilmu sains dan matematik, serta menguasai bahasa Inggeris dengan bagus.

Justeru, aku menyokong Sains dan Matematik diajar di dalam bahasa Inggeris.

Ini adalah atas dasar, dengan menggabungkan Sains dan Matematik dengan Inggeris, secara bersepadu mempercepatkan penguasaan bahasa itu.

Mungkin akan ada yang berhujah; Mengapa Sains dan Matematik dijadikan pilihan? Mengapa bukan mata pelajaran Geografi, Sejarah malah Fardu Ain di dalam English?

Well, jawapan aku, Mengapa tidak!

Aku berpegang bahawa bahasa Inggeris tidak akan membunuh bahasa Melayu seperti mana telah ia lakukan terhadap bahasa orang Irish, Scot, dan lain-lain bahasa lagi. Persuratan Melayu juga tidak akan senasib dengan tulisan cursive yang nazak, menunggu mati, seperti Aiman Tino yang gagal di alam percintaan. Sebaliknya bahasa Inggeris akan hanya memperkukuhkan dan memperkasakan bahasa Melayu.

Bahasa Inggeris aku anggap sebagai bapa yang mengherdik dan merotanku agar berdisiplin dan berperaturan. Manakala bahasa Melayu adalah ibu yang sentiasa membelai dengan kasih sayang untuk menjadikan aku insan santun, lagi cantik budi pekerti.

Sebagai seorang yang menulis lirik, skrip dan mengarang artikel  — tidak boleh tidak — aku amat mencintai bahasa ibundaku. Aku dambakan ia ditutur megah oleh setiap rakyat walau di mana  jua; di pasar basah atau toko gedung mewah; di mesyuarat PIBG atau di Mesyuarat PBB; di dalam nyanyian kumpulan rock kapak di Kuala Lipis atau di dalam dendangan R&B nyanyian Yuna di Los Angeles.

Malah menjadi ratib orang teruja di dalam mimpi-mimpi berahi, "Siapa bapak-kau?" – Getaran, 5 Mei 2021.

Semua gambar ihsan Ad Samad

Berita Berkaitan

1

Semasa 9 bulan yang lalu

Khutbah Arafah Musim Haji 1444H Diterjemah Ke 20 Bahasa Dunia Termasuk Bahasa Melayu

2

Semasa 10 bulan yang lalu

Tidak Luntur Rasa Kemelayuan, Cair Keimanan Kalau Santuni Bangsa, Agama Lain - Zahid

3

Semasa 11 bulan yang lalu

Kerajaan Lulus Peruntukan Tambahan RM5 Juta, Perkasa Karya Sasterawan Negara

4

Politik 11 bulan yang lalu

PAS Selangor Akur Titah Sultan Sharafuddin, Orang Melayu Perlu Sokong Penyatuan Ummah

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok