Berita Terkini

1 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 2 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jawatankuasa Kerja Perlu Ditubuhkan, Kaji Isu-Isu Royalti, Badan Pelesenan Dan Reversionary Right 

Bukan setakat mengemukakan cadangan, Ad Samad juga turut berkongsi ekosistem industri muzik dan hubungkaitnya dengan pihak pengguna dan MyIPO. 

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 Mar 2023 12:15PM

Seksyen 27A pada Akta Hak Cipta secara berkesan menjadikan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) sebagai sebuah perbadanan yang mempunyai kuasa yang amat mantap di dalam mengawal selia badan badan pelesenan. - Gambar hiasan Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Pada 28 haribulan Februari 2023 (semalam), sebuah pertemuan town hall telah diadakan di Putrajaya International Convention Centre di Putrajaya.

Berikut adalah teks ucapan yang telah aku bacakan di hadapan YB Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Sri Salahuddin Ayub.

Semoga ucapan ini juga dapat menjadi sebuah lagi dokumen kerja di dalam perjuangan memperkasa dan melindungi hak para penggiat muzik rakaman tanah air. 

Salam hormat,

Seksyen 27A di dalam Pindaan Akta Hak Cipta 1987 yang berkuatkuasa pada tahun 2012 memberi perlindungan tambahan kepada para pemunya Hak Cipta dan industri kreatif amnya.

Ia membolehkan kerajaan memantau pengurusan badan badan pelesenan agar lebih teratur, telus, bertanggungjawab dan bertata kelola baik.

Gambar hiasan Unsplash
Gambar hiasan Unsplash

Sebelum pindaan tersebut, kerajaan tiada kuasa untuk campur tangan di dalam urusan royalti pemilik Hak Cipta apabila melibatkan badan badan pelesenan.

Seksyen 27A pada Akta Hak Cipta secara berkesan menjadikan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) sebagai sebuah perbadanan yang mempunyai kuasa yang amat mantap di dalam mengawal selia badan badan pelesenan serta menjaga kepentingan para pencipta lagu dan pelaku muzik (iaitu penyanyi dan pemuzik), malah melindungi hak para pengguna karya muzik dari teraniaya.

Di antara tahun 2013 hingga 2015, Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan & Koperasi (KPDNKK) ketika itu adalah Datuk Sri Hassan Malek.

Legasi beliau adalah sebuah dokumen kerja bagi menyelesaikan isu isu di antara badan badan pelesenan dengan para pengguna karya muzik. 

Dokumen tersebut adalah sebahagian daripada blueprint pembentukan satu badan pelesenan tunggal yang kemudiannya dinamakan Music Rights Malaysia Berhad (MRM).

Pada tahun 2015, Datuk Sri Hamzah Zainuddin menggantikan tempat DS Hassan Malek di KPDNKK dan mewarisi dokumen kerja tersebut.

Berbekalkan dokumen kerja itu, beliau telah menggunakan tekad politik atau political will lalu mengarahkan kewujudan satu badan tunggal untuk mengutip punca royalti bagi  menyelesaikan isu isu di antara badan badan pelesenan dan para pengguna karya muzik.

Perbadanan Harta Intelek Malaysia Berhad (Myipo) ketika itu ketuai oleh Datuk Shamsiah Kamaruddin sebagai Ketua Pengarahnya dan Pengarah Hak Cipta ketika itu adalah Tuan Mohammad Fairuz Bin Mohammad Pilus.

Dengan arahan yang jelas dari DS Hamzah Zainuddin, para pegawai MYIPO yang bertanggungjawab telah dapat melaksanakan tugas tugas mereka demi memastikan kejayaan mewujudkan sebuah badan tunggal dan berjaya mencapai objektif mengharmonikan para pengguna dengan badan badan pelesenan berkaitan dengan ketidaktentuan tarif serta tingkah laku agen agen badan pelesenan yang telah menimbulkan kegelisahan melampau di pasaran.

Di antara langkah awal MYIPO adalah mengaudit setiap badan-badan pelesenan. Laporan yang diberi nama Laporan Audit Kompetensi 2016 itu seharusnya masih berada di MYIPO. 

Saya amat mengesyorkan pasukan YB Menteri untuk membaca dan mengkaji laporan audit tersebut untuk mendapat ‘crash course’ perihal latar belakang dan politik di dalam industri muzik.

Audit tersebut menunjukan beberapa badan pelesenan telah gagal di dalam tatakelola dan libat urus sebagai badan pelesenan, lalu tindakan membatalkan pengistiharan badan pelesenan mereka bakal boleh dilakukan .

Audit itu dilakukan oleh MYIPO bersama beberapa lagi agensi di bawah Kementerian KPDNKK iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bahagian Penguatkuasa, dan Malaysia Competition Commission (MyCC).

Gambar fail
Gambar fail

Bersandarkan audit tersebut maka pihak pihak yang menentang penubuhan satu badan tunggal menjadi ‘mati kutu’ dan terpaksa akur kepada arahan penubuhan badan tunggal.

Natijahnya, Music Rights Malaysia atau MRM pun wujud pada lewat 2016 dan mula beroperasi pada 1 haribulan Januari 2017.

Kewujudan MRM bukan sahaja mengharmonikan para pengguna karya muzik dengan satu tarif yang mudah dan munasabah, malah telah mengiktirafkan kedudukan utama pihak Pencipta seiring dengan semangat Akta Hak Cipta Malaysia.

Para Pencipta telah diiktiraf sebagai penerima agihan 50 peratus daripada kutipan MRM.

Malah kewujudan MRM juga telah mengiktiraf kedudukan sama rata di antara para pelaku muzik dengan pemilik syarikat rakaman, selaras dengan perjanjian World Performers And Phonograpic Treaties 1997 (WPPT) yang Malaysia adalah salah satu negara ahli.

Dengan kedudukan sama rata itu, Para Pelaku (penyanyi dan pemuzik) mendapat agihan 25 peratus daripada kutipan MRM dan Para Pemilik Rakaman Bunyi juga mendapat 25 peratus.

Kejayaan tersebut adalah berpunca dari tekad politik Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan komitmen para pegawai MYIPO.

Pada sekitar awal 2018 Datuk Shamsiah bersara dan arkitek yang mewujudkan MRM iaitu Tuan Mohamad Fairuz Pilus pun ditukar.

Pada tahun 2018, Datuk Sri Saifuddin Nasution mengambil alih tempat Datuk Seri  Hamzah Zainuddin sebagai Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu nama baharu bagi KPDNKK.

Beliau meneruskan dasar yang dimulakan oleh DS Hassan Malek dan DS Hamzah Zainuddin.

Bagaimanapun, setelah ketiadaan Datuk Shamsiah dan Pengarah Hak Cipta yang asal, MRM telah merubah perlembagaannya dan tidak lagi mengikut rangka asal Perlembagaan MRM seperti yang disyorkan oleh MYIPO sehingga ia menjadi sebuah badan pelesenan yang tidak sistematik, caca marba dan tunggang langgang.

Akibat tidak mengikut rangka asal penubuhan MRM, di antara isu yang timbul adalah isu pengagihan royalti para pelaku muzik.

Sehingga hari ini, para pelaku muzik masih gagal mendapat royalti mereka. Kepimpinan Datuk Seri Saifuddin Nasution hanya bertahan selama 22 bulan.  Tempat beliau diganti oleh Datuk Sri Alexander Nanta Linggi pada tahun 2020.

Pada peringkat itu, MRM tidak mempunyai alasan untuk gagal kerana ia bukan sahaja mendapat sokongan padu kerajaan tetapi juga sokongan para pengguna.

Tiada satu pun persatuan pengguna merungut soal bayaran lesen lagi. Tetapi... tanpa ribut dan taufan... MRM dibubarkan pada tahun 2020, unceremoniously.

Para pengguna karya muzik kembali bercelaru dan merungut, serta para pemilik hak cipta kerugian jutaan ringgit yang belum diaudit.

Punca pembubaran MRM adalah kerana politik dalaman industri muzik dan MYIPO juga gagal memainkan peranannya sebagai Pengawal Hak Cipta yang mempunyai kuasa di bawah Seksyen 27A.

Mengeruhkan lagi keadaan, MYIPO telah meluluskan dua buah lagi badan pelesenan baru iaitu MRS dan MRSB sehingga menambahkan kemarahan para pengguna.

Tujuan aku memberi kronologi tersebut adalah untuk menggambarkan secara kasar kepada Datuk Seri Salahuddin Ayub, akan ekosistem industri muzik dan hubungkaitnya dengan pihak pengguna dan MYIPO.

Ketiga-tiga pihak ini seharusnya mempunyai hubungan simbiotik dan akrab.

Pada pendapat aku, kita memerlukan tekad politik Yang Berhormat Menteri Datuk Sri Salahuddin Ayub demi memperbaiki ekosistem industri muzik serta melindungi para pengkarya dan para pengguna.

Dengan tekad itu, arahan-arahan yang decisive dan jelas boleh dilakukan untuk dilaksanakan oleh MYIPO.

MYIPO juga perlu diperkasakan dengan para pemimpin dan penjawat yang berwibawa iaitu yang mempunyai pengetahuan di dalam akta hak cipta, memahami sistem pengurusan di dalam badan badan pelesenan dan industri muzik, dan pemakaian serta pelaksanaan Akta Hak Cipta di dalam menyelesaikan segala isu isu yang melanda. 

Badan-badan pelesenan mesti dipantau tadbir urus dan kod tingkah lakunya! Kerana ia bukan sahaja melibatkan hak para pengguna tetapi demi melindungi hak dan periuk nasi kami, para pengkarya muzik.

Badan-badan pelesenan telah dikuasai oleh beberapa kerat syarikat gergasi sejak berdekad dekad lamanya tanpa sebarang pembelaan dari pihak Kementerian malah MYIPO.

Di Music Author’s Copyright Protection (MACP) contohnya, iaitu badan yang kononnya melindungi kepentingan Authors atau Pencipta tetapi dengan jelas dikuasai beberapa kerat syarikat gergasi menerusi sistem pengundiannya yang tidak munasabah.

MACP kelihatannya seperti sebuah institusi yang lebih penting melindungi kepentingan syarikat syarikat kapitalis.

KPDN mesti mengkaji Perlembagaan MACP untuk melihat sendiri peratusan jumlah-jumlah undi melampau yang berpihak kepada syarikat syarikat publishing.

Sebarang resolusi baru dan pindaan perlembagaan badan badan pelesenan yang merupakan ‘company limited by guarantee’ adalah di bawah bidang kuasa Yang Berhormat Menteri.

Seperkara lagi yang hendak aku nyatakan hari ini adalah mengenai royalti P. Ramlee dan A. R Tompel.

Pada tahun 2021, waris AR Tompel telah mendapat hak mutlak mereka 100 peratus  kerana syarikat publishing telah gagal membuktikan mereka mempunyai perjanjian bertulis dengan AR Tompel.

Itu bermakna pihak publisher telah mengaut hak AR Tompel selama berdekad-dekad dan berjumlah jutaan ringgit menerusi MACP sahaja.

Jika AR Tompel tiada kontrak, bagaimana pula kedudukan sebenar P. Ramlee yang banyak mencipta lagu bersama AR Tompel?

Sememangnya aku  ada banyak lagi persoalan dan isu yang hendak dibangkitkan, tetapi cukuplah sekadar di sini sahaja buat hari ini.

Kesimpulannya, saya ingin mencadangkan 3 perkara utama, iaitu:

Pertama, hasil dari pertemuan ini, aku  memohon KPDN mewujudkan sebuah jawatankuasa kerja yang melibatkan pihak Kementerian, para penggiat seni, pengamal undang undang, dan tokoh-tokoh akademik untuk mengkaji dan menilai semula isu-isu hak cipta dan badan badan pelesenan.

Kedua, jawatankuasa kerja tersebut perlu mengkaji semula pembentukan sebuah badan tunggal yang baharu bagi menyelesaikan isu-isu  badan pelesenan serta melindungi hak para pengkarya, dan meleraikan kekalutan para pengguna mengenai tarif dan kod kelakuan agen- agen badan pelesenan.

Ketiga, jawatan kuasa itu harus mengkaji bab ‘Reversionary Rights’ untuk diterapkan di dalam pindaan Akta Hak Cipta yang akan datang. 

Ia adalah sesuatu yang amat penting.

Apakah itu Reversionary Right?

Pada terasnya, ia adalah perundangan yang dapat mengembalikan semula Hak Milik para pengkarya yang telah terperangkap dengan kontrak-kontrak lapuk dengan syarikat-syarikat publishing.

Sekian, terima kasih.

Berita Berkaitan

1

Muzik 1 tahun yang lalu

Persoalkan Peranan Salahuddin Ayub Terhadap Industri Muzik Tanah Air, Ini Jawapan RIM Buat Ad Samad 

2

Kolum 1 tahun yang lalu

Menang Dalam Tangan, Kalah Belum Tentu

3

Gaya 1 tahun yang lalu

Kusyen Rehat Tangan Tema Haiwan Raih Anugerah Reka Bentuk Baik

4

Muzik 1 tahun yang lalu

MACP Dalam Perbincangan Lanjutkan Hak Cipta P. Ramlee

Sorotan

1

“Tiada Kasino Berlesen, Tipu” – PM

2

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

3

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

4

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

5

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

6

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

Disyorkan untuk anda

Kolum 1 hari yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan