Berita Terkini

20 jam yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 6 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail

IKUTI KAMI


Pentingnya Rancangan Pencarian Bakat

Roslen Fadzil menjelaskan kenapa rancangan realiti dan pencarian bakat memainkan peranan penting dalam mencari bintang-bintang baru.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 01 May 2021 10:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

"Rizal, boleh tolong bukakan pintu bilik tu? Sedap dan lantang sungguh suaranya. Siapa yang tengah menyanyi tu?" tanya biduanita Datuk Sharifah Aini untuk kepastian kepada salah seorang pembantunya, Rizal Kamaruddin.

Ketika itu penyanyi 'Bunga Tanjung' berkenaan sedang bersiap menunggu giliran persembahan di bilik solekannya di Stadium Putra, Bukit Jalil.

"Oh, itu Hafiz Suip," jawab Rizal sambil melihat Sharifah Aini begitu khusyuk mendengar lantunan suara penyanyi dari Kuching, Sarawak itu.

Malam itu Sharifah Aini dan Hafiz sama-sama terbabit dengan sesi raptai Anugerah Juara Lagu Ke-25 (AJL25). Hafiz bertanding atas lagu 'Noktah Cinta' sementara Sharifah Aini pula menjadi bintang undangan bersama ramai lagi penyanyi handalan lain.

Semua tampak begitu sibuk di belakang pentas untuk menjayakan acara gemilang terbitan produser Gbam itu.

"Esok malam, masa Hafiz nyanyi lagi, Rizal tolong bukakan lagi pintu tu ya. Kak Ani suka sangat suara Hafiz," pesan Sharifah Aini lagi yang selesa dipanggil Kak Ani di kalangan media.

Demikianlah perkongsian belakang tabir yang mungkin Hafiz sendiri tidak pernah tahu. Jutaan peminat menyukai vokal lunak Hafiz termasuk penghibur legenda yang telah tiada.

Saya juga salah seorang peminat Hafiz sejak zaman Akademi Fantasia (AF) lagi kerana vokalnya istimewa dan dizahirkan pula dengan penghayatan terbaik.

Bukan sahaja Hafiz yang diminatinya, Sharifah Aini juga menggemari suara penyanyi lain seperti Mendiang Broery Marantika, Dato’ Jamal Abdillah, Herman Tino dan artis wanita seperti Uji Rashid, Azlina Aziz, Liza Hanim dan Syura.

Saya masih ingat, Sharifah Aini akui dia sudah terpikat dengan suara Jamal sejak penyanyi ‘Keluhan Perantau’ itu muncul dalam peringkat awal Bintang RTM 1979 lagi.

Sewaktu pertama kali mendengar vokal Jamal, hati Sharifah Aini terus berbisik mengatakan Jamal akan menjadi seorang bintang yang hebat suatu hari kelak. Biduanita itu faham benar cabaran bertanding kerana beliau sendiri pernah menjuarai pertandingan Bintang Radio Singapura pada 1968.

Dapat kita lihat, rata-rata penyanyi terbaik kebanyakannya datang melalui pertandingan. Hakikat ini kerana sedari awal lagi mereka telah diuji di depan panel hakim dan penonton. 

Di pentas pertandinganlah akan tergambar bakat kemampuan sebenar seseorang penyanyi sama ada mereka betul-betul bersandarkan suara atau faktor lain.

Ini sangat penting kerana selepas itu, seluruh kerjaya mereka akan menjadi tontonan umum. Dulu kita cuma ada radio dan TV sahaja namun sekarang platform tontonan jauh lebih pelbagai dan canggih.

Allahyarham Tan Sri P. Ramlee pun memulakan kerjayanya sebagai penyanyi dengan menyertai beberapa pertandingan di Pulau Pinang termasuk anjuran Radio Malaya era 1940-an. Selepas itu barulah beliau dilamar melebarkan bakat seninya ke Singapura and the rest is history.

Demikian juga dengan Allahyarham Dato’ Ahmad Jais, Dato’ Jeffrydin, Allahyarham A. Ramlie dan Dato’ M. Daud Kilau yang turut mencipta nama melalui pertandingan lagu-lagu langgam, asli dan pop yeh yeh, sebelum mereka ditawarkan menjadi artis rakaman.

Nama mereka telah terpahat sebagai legenda dan menjadi idola sepanjang zaman.   

Daripada pentas Bintang RTM dan Bintang HMI di Bukit Angkasapuri, kita telah melihat lahirnya nama-nama besar dalam industri hiburan, antaranya Allahyarham Dato’ Sudirman Haji Arshad, Dato Jamal, Ramlah Ram, Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Datin Alyah, Dato Nora Ariffin, Liza Hanim, Misha Omar, Siti Sarah Raissudin, Azharina dan Ernie Zakri. 

Dari AF pula, saya selalu yakin dengan kemampuan Mawi, Idayu Yaacob, Akim, Hazama dan Syamel manakala Salma Asis dan Black pula antara legasi program Mentor yang begitu menyerlah. Semua ada karakter suara masing-masing.

Seperti yang saya katakan, apabila seseorang penyanyi itu dinilai oleh barisan juri yang benar-benar layak dan profesional, maka dapatlah kita bergantung harap kepada kemampuan mereka di mana pun. Kita tidak akan gusar melihat mereka beraksi serta dibayangi masalah ‘kekucilan’, off-key dan pitching.

Dalam pada itu, ramai juga penyanyi bukan Melayu yang berjaya dicungkil bakat mereka melalui pertandingan nyanyian. Siapa sangka Bakat TV 1972 mampu melahirkan penyanyi lagu asli dari kalangan bukan Melayu seperti Andre Goh yang sinonim dengan 'Mas Merah' dan 'Harapan Kecewa.'

Seterusnya pada era siber, muncul pula pertandingan Malaysian Idol, One In A Million selain AF yang menyaksikan munculnya bintang-bintang bukan Melayu seperti Jacyln Victor, Vince Chong, Daniel Lee dan Suki Low. 

Biar dari pertandingan mana pun mereka datang, semua nama-nama yang disebutkan di atas mampu memberikan persembahan live yang mantap kerana mereka sekurang-kurangnya sudah ada latar belakang menyanyi di pentas umum.

Penyanyi ciptaan juri memang umpama langit dengan bumi jika dibandingkan dengan penyanyi bertaraf syok sendiri di media sosial.

Bagi saya, artis yang menjadi penyanyi jalan pintas akan berdepan pelbagai masalah apabila datang ke dunia sebenar. Memang seronok melihat followers berjuta terbit dengan pantas namun followers yang ramai itu belum tentu jujur atau benar-benar faham erti seni dan tuntutan showbiz.

Stage fright, nervous breakdown, anxiety serta kegagalan berkomunikasi adalah musuh utama yang paling ditakuti bintang ciptaan media sosial.

Walaupun orang berkata, Khai Bahar itu datang daripada platform Smule, Khai sebenarnya turut mengasah bakatnya di pentas busking hingga ke Borneo bagi mempertajamkan kebolehannya dalam bidang nyanyian. Sebab itulah Khai tampak versatile.

Tidak saya nafikan, Khai antara bakat baru yang saya kagumi selain Haqiem Rusli dan Aina Abdul yang keduanya juga digilap daripada pertandingan.

Saya berpendapat, pertandingan pencarian bakat terutama nyanyian sepatutnya terus diterbitkan di Malaysia. Tidak kiralah yang original atau bersifat francais dari luar negara, ia boleh menjadi medium hiburan terbaik selain menghiburkan semua lapisan penonton di rumah. 

Dalam keterujaan itu, kita pula jangan sesekali menyisihkan pencarian bakat dalam genre etnik dan budaya Melayu kerana ia semakin menjadi seni yang terancam dek kegilaan terhadap pengaruh muzik luar negara. Kata orang, disekat jangan, disisih pun jangan, moga budaya bangsa tidak ketinggalan.- Getaran, 1 Mei 2021.  

Isu Pada

Membelah Suara Uyaina Arshad

01 May 2021

Sorotan

1

Nahas Helikopter TLDM: Semua Mayat Mangsa Telah Dikeluarkan

2

Sultan Selangor Turut Berdukacita Nahas 2 Helikopter TLDM

3

Langkah Kerajaan Laksana Subsidi Bersasar, Skim Baharu Gaji Penjawat Awam Berdasarkan Prinsip - Fahmi

4

Helikopter TLDM Terbabit Dalam 3 Raptai Sebelum Insiden - Mohamed Khaled

5

Institusi Pendidikan Pondok Perlu Tambah Nilai Kemahiran Vokasional, Teknikal – Mohd Na’im

6

2 Helikopter Bertembung, 10 Anggota, Pegawai TLDM Maut