Daripada minta Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi undur, lebih baik MIC dan MCA tinggalkan gabungan.
Hari ini kita tengok MCA dan MIC begitu galak mendesak Ahmad Zahid berundur secara terhormat atau memberikan mesej ugutan kononnya Dewan Tertinggi parti akan memecat.
Saya beri amaran kepada MCA dan MIC supaya jangan sesekali bermain api pada masa negara sedang berdepan dengan krisis, jangan bertindak melampau serta mementingkan diri.
Mungkin MCA dan MIC sudah lupa, parti kamu yang masing-masing bertanding di 44 kerusi serta sembilan kerusi, hanya dapat memenangi satu untuk MIC dan dua untuk MCA, itu pun ketiga-tiga kerusi majoriti Melayu. Tanpa UMNO, adakah kemenangan ini kamu kecapi?
Tapi hari ini seperti ‘kacang lupakan kulit’, kamu bising dan melalak mendesak Presiden untuk berundur secara terhormat?
Mana penghormatan kamu?
Saya nasihatkan kamu supaya daripada mendesak Presiden letak jawatan, baik lagi kamu tinggalkan komponen BN!
Persoalannya, adakah kamu bising kerana kamu peduli dengan nasib rakyat atau tamak haloba untuk jawatan dan kuasa untuk kamu yang tidak membawa sebarang kemenangan besar buat BN?
Tidakkah kamu peduli dengan sokongan masyarakat India dan Cina yang semakin jauh meninggalkan BN? Tetapi asyik tuding jari kepada Presiden UMNO?
Hentikan perbuatan membuat serangan dan ugutan serta provokasi. Biar proses demokrasi mengambil tempat dengan baik. Jika bermaruah, kamu tinggalkan BN dan sertai mana-mana gabungan yang menerima kamu. - Getaran, 24 November 2022
Nur Jazlan Mohamed adalah Ketua BN Bahagian Pulai