Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jenaka Adalah Serius

Douglas Lim pandai menggunakan ‘kecinaannya’ lalu menjadi seorang Malaysia sejati yang dapat menembusi jiwa pelbagai golongan masyarakat. Manakala Harith Iskander yang berdarah kacukan Melayu-Eropah pandai menggunakan ‘kecelupannya’ menembusi pemikiran masyarakat lokal dan global. 

Kolum Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 03 Aug 2022 12:52PM

Gambar hiasan dari Media Sosial

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dunia ini serius

Manusia sentiasa di dalam kedudukan terancam atau selamat, hidup atau mati. Sakit jantung, kanser dan diabetis. Politik jahat, ekonomi tempang dan ketidakharmonian sosial. 

Pelbagai perkara sensitif. Ramai orang yang sensitif bertempat dan tidak bertempat. Banyak institusi sensitif yang dikepung kebal dari kritikan meskipun demi penambahbaikan. Banyak topik sensitif yang tidak boleh disentuh meskipun demi mencari kebenaran.

Gambar hiasan Unsplash
Gambar hiasan Unsplash

Dunia ini pun ganas

Sentiasa berlaku bencana alam atau kekejaman manusia sesama manusia. Gunung berapi, limpah lahar dan asap tebal. Gempa bumi, tsunami dan banjir besar. 

Haiwan liar, virus dan parasit. Perkosaan dan pembunuhan di jalanan, kediaman dan medan perang. Keadilan juga ditegakkan melalui rotan, rejam, hukuman gantung, pancung, racun, tembak, dan renjatan letrik sampai mati.

Seringkali, ketidakupayaan menjawab dengan fakta membuat manusia cenderung membalas dengan keganasan, kononya justifikasinya adalah moral dan sensitiviti.

 

Hidup ini terlalu serius dan ganas

Bagaimanakah manusia menempuh kesukaran hidup sambil mengekalkan maruah, budi pekerti dan kewarasan? Bagaimanakah manusia meleraikan konflik dan mengekalkan keamanan? Tujuh billion manusia dengan tujuh billion permasalahan. 

Nasib baiklah ada yang pandai berjenaka. Mengurangkan gundah gelisah dan mengendurkan ketegangan. Melunakkan jiwa-jiwa yang kemuraman malah memeriahkan keramaian pencari hiburan.

Gambar hiasan pexels
Gambar hiasan pexels

Seorang pandai-lawak, pandai pilih tempat dan suasana dengan jenaka yang bersesuaian. Mereka pandai membentang bahan bicara dan pilihan kata kata. Sememangnya mereka orang yang pandai. Mungkin kacak, mungkin hodoh, tapi pandai.

Yang tak pandai juga akan cuba membuat lawak. Mungkin tak kelakar. Mungkin juga membahayakan diri. Daripada membuat orang ketawa, orang menjadi marah menggila pula. Mereka lupa bahawa berjenaka kena pandai. Mereka tak sedar diri. Berjenaka adalah perkara serius.

Pandai lawak tidak menghina dan memalukan. Mereka tidak mentertawakan sesiapa, sebaliknya membikin orang tertawa bersama. They don’t laugh at you, but they laugh with you

Pandai lawak mempunyai kuasa memerhati. Mereka pemerhati yang tajam. Daripada pemerhatian itulah terhasilnya komen-komen yang disulam dengan jenaka-jenaka bijak.

Guru, ustaz dan politikus (walaupun seringkali tanpa sengaja dengan kenyataan dan saranan yang pelik dan tidak masuk akal) ramai yang pandai berjenaka lalu membantu di dalam kerjaya mereka.

Banyak perkara yang berlaku di dalam masyarakat dan negara yang perlu ditegur bagi memperbaiki keadaan. Tapi bila tak kena gaya teguran, kita akan mendapat kecaman malah ancaman pula. 

Namun dengan kebijaksanaan, seorang pandai-lawak dapat menegur para individu atau institusi secara halus dan berlapik, malah membuat penerima teguran turut tertawa dengan kekurangan dan kelemahan diri.

Di dalam kehidupan yang telah pun serius dan ganas, kita perlu belajar untuk mentertawakan diri sendiri agar lebih rileks. Kebolehan mentertawakan diri sendiri akan menjadikan kita lebih rendah diri dan mengurangkan keangkuhan. Keangkuhan membuat seseorang tidak boleh ditegur, lalu tidak akan membuat mereka menjadi lebih baik. 

Bagi rencana ini, aku menggunakan perkataan ‘pandai-lawak’ bagi merujuk kepada komedian atau pelawak, kerana ia lebih memberi penghormatan kepada kelompok penghibur yang memeriahkan hidup kita dengan jenaka-jenaka mereka.

Jenaka Dan Bangsa

Gambar ihsan Ezhan Art Work
Gambar ihsan Ezhan Art Work

Corak jenaka sesuatu bangsa umpama imej cerminan atau mirror image kepada semangat sesuatu bangsa. Umpama satu ironi atau paradoks.

Orang Jepun yang dikenali sebagai bangsa yang rajin memiliki budaya jenaka yang aneh dan songsang. Mereka menghasilkan Game show yang pelik-pelik seperti 'Istana Takeshi', 'Candy Or Not Candy', 'The Bum Game' dan 'Spread Your Legs'. Mungkin semangat Bushido dan kerja keras, membuat mereka memerlukan jenaka aneh dan seringkali menyakitkan fizikal, demi memelihara emosi mereka.

Orang British yang dikatakan snobbish pernah menjajah lebih separuh bumi ini mempunyai spektrum jenaka yang luas, daripada yang berbentuk dead-pan (lawak yang dilakukan berkelihatan serius) kepada slapstick yang terlalu bodoh sehingga ironinya boleh diketawakan oleh orang yang cerdik. Ratu Elizabeth sendiri tidak terpinggir daripada menjadi bahan jenaka, yang kita anggap keterlaluan.

Orang Yahudi yang hidup bermilenia ditindas para Firaun sehingga ke Nazi Jerman, perlu mempunyai keupayaan berjenaka bagi mengekalkan moral dan semangat untuk hidup, dan hari ini budaya pandai berjenaka itu telah membuat bangsa mereka menghasilkan lambakan pandai-lawak yang tersohor dari pentas jenaka, rancangan TV dan layar perak.

 Mereka berupaya melihat setiap perkara meskipun sensitif dan merbahaya menjadi bahan jenaka untuk membuat kehidupan lebih ringan.

Sudah tentu orang Melayu juga memiliki jenakanya tersendiri. Orang Melayu-Melaka mempunyai jenaka yang kasar, tapi orangnya mesra. Orang Melayu-Negeri Sembilan sepertiku mempunyai jenaka ‘lagak sombong’, tapi orangnya sedar diri. Orang Melayu-Pulau Pinang mempunyai jenaka yang riuh rendah, tetapi orangnya damai.

Abon (kiri), Ali Mamak dan Angeline Tan. - Gambar dari Spotify
Abon (kiri), Ali Mamak dan Angeline Tan. - Gambar dari Spotify

“Hoi, celaka kau. Lama tak nampak. La##bau kau! Dah kaya ke?” Orang Melaka berjenaka.

“Alah, Kulumpor?! Kek Ghombau lagi den tak sosat. Ini pulak Kulumpor!” Jenaka orang Nismilan.

“Wey! Hangpa jangan buat kalut, no! Sekali aku lesing kang!” Hiruk pikuk jenaka Pulau Pinang.

Tetapi orang Melayu satu Malaysia mempunyai persamaan; berjenaka perihal kahwin satu lagi.

Pementasan Jenaka Melayu


Budaya pementasan jenaka Melayu perlukan pembaharuan dan penambahbaikan. Pentas pentas ‘stand-up comedy’ atau kini disebut ‘komediri’ perlu dirancakkan. Sememangnya ia adalah sesuatu yang asing dan baru di dalam budaya orang Melayu. Di dalam budaya pementasan jenaka Melayu, ianya dilakukan berkumpulan dan menggunakan prop serta bersketsa. 

Komediri adalah seorang pelawak berjenaka secara solo berhadapan dan berinteraksi dengan penonton. Kehebatannya adalah pada skrip yang bagus, cepat-akal dan timing yang tepat. 

Komediri seharusnya menjadi sebahagian evolusi jenaka Melayu. Sketsa jenaka yang memaparkan lelaki memakai baju perempuan dan bermekap seperti hantu syaitan, atau orang tua berlakon sebagai bayi menghisap jari atau botol susu adalah komedi slapstick peninggalan silam. 

Begitupun, peninggalan silam itu tidak seharusnya ditinggalkan langsung. Cuma, para pelawak kita perlu juga mencuba komediri.

Pada satu ketika dahulu, muzik rock terutamanya heavy metal adalah sesuatu yang baru di dalam budaya muzik Melayu. Mujurlah ianya berjaya diterima dengan cepat. Kemudian muzik rap pula menjelma. Walaupun ia lambat diterima, namun kini telah diterima di arus perdana.

M Nasir - Gambar Fail
M Nasir - Gambar Fail

Penerimaan muzik rock di dalam masyarakat Melayu adalah kerana Bahasa Melayu telah cepat berjaya di-rock-an. Seniman seperti M. Osman, A. Romzi, M. Nasir, S. Amin Shahab, Bob Lokman dan Loloq telah berjaya meng-rock & roll-kan bahasa Melayu dengan penggayaan bahasa yang dapat diterima masyarakat Melayu.

Rap dan hip-hop lambat diterima di arus perdana kerana penggiat rap dan hip-hop kita lambat menjumpai laras dan gaya bahasa yang sesuai untuk muzik tersebut. Kini artis seperti Malique, Altimet dan Aman Ra berjaya dengan cemerlangnya me-Melayukan rap menerusi penggayaan bahasanya.

Bahasa adalah instrumen pembudayaan. Apabila sesuatu cabang seni dapat diperbahasa Melayukan, meskipun bahasa Melayu-Rojak, namun akhirnya ia akan diterima sebagai sebahagian daripada budaya kita.

Mungkin komediri perlukan laras dan gaya bahasa Melayu yang kena dengan genre tersebut. Pandai-lawak handalan dan peneraju komediri di Malaysia seperti Harith Iskander dan Douglas Lim masih bergelut dengan komediri berbahasa Melayu sebaliknya lebih cemerlang dengan berbahasa Inggeris. Begitupun, mereka semakin jumpa rentak dan gaya bahasa. Mereka telah kenali identiti diri.

Crackhouse Comedy Club - Gambar Fail
Crackhouse Comedy Club - Gambar Fail

Hakikatnya kedua-dua mereka mempunyai pemerhatian dan kepintaran tinggi, justeru berkebolehan menangani isu-isu yang sensitif dengan sangat baik.

Douglas Lim pandai menggunakan ‘kecinaannya’ lalu menjadi seorang Malaysia sejati yang dapat menembusi jiwa-jiwa pelbagai golongan masyarakat. Manakala Harith Iskander yang berdarah kacukan Melayu-Eropah pandai menggunakan ‘kecelupannya’ menembusi pemikiran masyarakat lokal dan global. 

Membuat orang ketawa adalah kemestian tetapi membuat orang berfikir adalah tingkatan tertinggi di dalam berjenaka. Itulah kecanggihan atau sophistication di dalam berseni. Jenaka adalah cara yang lembut untuk membuat orang berfikir perihal kelemahan dan kepincangan diri lalu berubah menuju kesempurnaan.

Apa yang berlaku di Crackhouse Comedy Club baru-baru ini adalah amat dikesali. Begitupun, kelab-kelab komedi yang mengetengahkan ‘stand-up comedy’ mestilah digalak dan dirancakkan. Ia seharusnya menjadi bukan sekadar kelab hiburan, tetapi sebuah institusi yang membangkitkan budaya pemikiran intelektual dan golongan pandai-lawak sebagai seniman yang membicarakan perihal penambahbaikan insaniah dan kenegaraan.

Majulah lawak untuk negara. – Getaran, 3 Ogos 2022 


 

Berita Berkaitan

1

Semasa 3 bulan yang lalu

7 Sekeluarga Ditahan Bantu Siasatan Kes Bunuh OKU Intelektual - Polis

2

Semasa 10 bulan yang lalu

Mahkamah Tolak Representasi Kedua Rizal Van Geyzel Untuk Gugur Pertuduhan

3

Semasa 1 tahun yang lalu

Pemilik Crackhouse Comedy Club Kemuka Representasi Kedua Gugur Tuduhan

4

Kolum 1 tahun yang lalu

Pembentukan Perbadanan Muzik Negara, Langkah Susulan Yang Perlu Fahmi Fadzil Laksanakan

Sorotan

1

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

2

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

3

Pemangku Ketua Bahagian BERSATU  Calon PN Untuk PRK KKB

4

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

5

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled

6

Norjuma Didakwa Cederakan 3 Individu, Berbuat Khianat

7

Pengebumian Joanna Diiringi Tangisan Anaknya

Disyorkan untuk anda

Kolum 1 hari yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan