web statsweb stats

Berita Terkini

11 jam yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 11 jam yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 5 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 6 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 7 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Sudu Garpu, Spanar Hidup Dan Penyodok Sampah

Semua perkara ada cara, malah peralatannya yang betul dan sesuai. Ikuti kupasan menarik Ad Samad menerusi analogi sudu garpu, spanar hidup dan penyodok sampah minggu ini.

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Jun 2022 12:52PM

Gambar Unsplash dan pexels

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Di antara keunikan manusia dan tiada pada makhluk lain adalah; kita mencipta dan menggunakan peralatan, sama ada untuk menangkap burung dan ikan untuk dimakan, mahupun membina roket untuk ke bulan.

Semua perkara ada cara, malah peralatannya yang betul dan sesuai.

Begitu juga dengan cara kita makan.

Di bandar atau di desa, belum pernah aku lihat sesiapa memakan bihun atau mi sup menggunakan jari atau tangan sahaja, walaupun budaya orang melayu makan sebegitu. Bihun dan mi sup cocok dimakan menggunakan chopstick, atau garpu dan sudu.

Ustaz dan lebai juga memakan bihun dengan garpu, walaupun entah mengapa jarang yang menggunakan chopsticks.

Gambar Unsplash
Gambar Unsplash

Steak pula sesuai dimakan menggunakan pisau dengan garpu. Kecualilah seseorang itu mempunyai rahang seperti 'neanderthal' dan mahu menunjuk macho tidak kena gaya.

Secara peribadi dan kerana latar belakang aku sebagai tukang besi yang sentiasa melekat minyak dan debu kotor di kuku, sehingga ke hari ini aku suka makan dengan sudu dan garpu, walaupun memakan ikan terubuk masak kicap berlada.

Bukan kerana aku hendak menjadi ‘orang putih’ atau 'Melayu Bourgeoisie', tetapi aku suka begitu kerana ia lebih kemas dan praktikal.

Sebagai pemakan yang gelojoh, aku juga perlu sentiasa ada tisu untuk mengesat nasi di pinggir bibir atau yang tersangkut di misai agar tidak mengganggu tumpuan dan keselesaan orang yang memandang.

Aku syak, bangsa yang mempunyai ketertiban menggunakan kitchen utensils atau peralatan makan ketika makan akan menjadikan mereka bangsa yang bukan sahaja sentiasa menghasilkan karya seni yang mengkagumkan, malah mencipta teknologi yang hebat. Bangsa Cina dan Eropah, contohnya.

Satu ketika dulu, aku mengusahakan bengkel besi.

Peralatan yang paling aku benci adalah adjustable spanner. Atau ‘spanar hidup’.

Walaupun ia perlu ada, tetapi ia adalah sesuatu yang sepatutnya digunakan hanya ketika kecemasan.

Tetapi para pekerja akan menggunakannya pada bila-bila waktu mengikut senang atau mudah mereka.

Itu adalah sikap ‘asal boleh’.

Akibat menggunakan spanar hidup, bolt dan nut atau kepala pada skru akan mudah rosak.

Sikap ‘asal boleh’ pada kerja kerja pertukangan adalah sikap yang buruk kerana ia akan merosakan mutu pertukangan, malah hasil seni amnya.

Setiap kerja-kerja pertukangan atau kesenian memerlukan peralatan yang tersendiri dan betul.

Itu asas.

Gambar Unsplash
Gambar Unsplash


 

Baru-baru ini kecoh ditertawakan para netizen perihal pekerja stadium menggunakan penyodok sampah untuk menolak dan menimba air yang bertakung di padang.

Pada mulanya, ia kelihatan seperti satu lagi sikap ‘asal boleh’. Tetapi kemudian, aku mula terfikir bahawa ia mungkin satu pemikiran yang kreatif dan inovatif para petugas stadium yang ketika itu cuba menyelesaikan satu permasalahan yang memerlukan penyelesaian segera.

Sama ada usaha mereka berjaya atau sia-sia malah merosakkan padang, adalah sesuatu yang aku belum pasti.

Tetapi yang pasti, mereka telah berikhtiar.

Sekiranya tidak menggunakan penyodok sampah, apakah peralatan lain yang lebih tepat atau sepatutnya mereka gunakan?

Gerenti bukan spanar hidup.

Tetapi, adakah peralatan yang sebetulnya telah disediakan oleh pihak pengurusan stadium untuk menangani air bertakung di padang?

Maka, tiada rotan akar berguna?!


Meletak Sesuatu Pada Tempatnya


Di dalam bidang teater dan perfileman, ada istilah mise en scène.

Ia bererti, disiplin mengisi atau menyusun sesuatu pemandangan, peralatan dan pelakon di dalam sesebuah adegan. Ia adalah satu disiplin yang asas dan penting untuk diketahui setiap pembikin filem dan pentas untuk mewujudkan suasana, perasaan dan kesan yang diingini daripada sesebuah adegan.

Di dalam bidang kulinari pula, ada istilah mise en place.

Ia bererti; menyedia atau meletakkan segala keperluan dan ramuan di dapur masakan untuk mudah dicapai dan menjadikan kerja-kerja memasak lebih terurus.

Begitupun, istilah mise en place juga boleh diguna pakai di tempat-tempat lain seperti hospital, sekolah, zoo, malah rumah urut.

Kedua-dua istilah tersebut adalah mengenai; meletakkan sesuatu itu pada tempatnya dan kena gayanya.

Begitu juga di pentas kehidupan ini. Segala aspek kehidupan mempunyai mise en scène atau mise en place. Setiap sesuatu mesti kena pada tempatnya.

Malah, meletakkan seseorang pun perlu tepat.

Gambar pexels
Gambar pexels

Selain mengenakan prop atau peralatan yang betul, pelakon yang diberi peranan memainkan sesuatu watak juga perlu sesuai atau kena.

Setiap orang yang dipilih untuk sesuatu watak atau jawatan perlulah orang yang layak dan betul.

Tidak boleh asal boleh.

Kita sering meletakan orang yang salah untuk memegang sesuatu jawatan penting, terutamanya jawatan-jawatan yang mempunyai kepentingan ramai, malah negara. Kita sering meletakkan seseorang atas sentimen-sentimen yang mengehadkan pilihan terbaik, seperti sentimen perkauman, kepartian atau habuan timbal balik secara peribadi.

Melantik seseorang yang bukan ahlinya, malah tidak layak adalah sesuatu yang salah lagi merosakkan.

Contohnya, melantik seseorang yang tidak layak menjadi Duta, lebih-lebih lagi seseorang yang tidak mempunyai kesopanan dan pekerti yang mulia, malah dikenali sebagai biadap, serta integritinya boleh dipersoalkan, pastinya akan membawa bencana kepada imej negara.

Meletakkan ahli politik yang mencurigakan ke jawatan penting di dalam sesebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau di dalam pertubuhan-pertubuhan sukan adalah formula terbaik untuk menjadikan sesebuah organisasi itu menjadi tidak berdaya saing, tidak produktif, malah gagal.

Memilih seseorang yang tidak pernah mempunyai rekod kecemerlangan di dalam perkhidmatan kerajaan, swasta atau NGO untuk menjadi Wakil Rakyat juga adalah sesuatu yang salah. Kesalahan sebegitu sering kita para rakyat lakukan berulang kali, dari PRU ke PRU.

Dari jawatan Menteri kepada jawatan tertinggi syarikat yang membabitkan kepentingan rakyat, kita tidak henti-henti disajikan dengan pelawak yang tidak tersengaja. Accidental comedians. Kebosanan rakyat telah mencapai tahap meluat.

Mungkin tidak hairanlah, kini pelawak pun mula merasa bahawa mereka juga boleh menjadi politikus dan bertanding jawatan.

Tetapi tidak menghairankan dan tidak mustahil pelawak pun boleh berjaya.

Kerana tukang besi yang selekeh dan kotor pun boleh menjadi pencipta lagu yang glamour.

Asalkan pandai menggunakan peralatan dan kemahiran yang betul serta perwatakan yang sentiasa mahu menimba ilmu bagi memperbaiki diri di dalam segala segi, termasuklah kearifan meletakkan setiap perkara malah setiap kata-kata pada tempatnya.

Jangan asal boleh.

Nah satu lagi, para pengurus stadium juga perlulah terdiri daripada mereka yang layak dan berwibawa.

Kerana jika tidak, padang nanti jadi bendang. - Getaran, 21 Jun 2022

Sumber: Twittter @KhairilAnuar

Berita Berkaitan

1

Kolum 2 hari yang lalu

Retorik Eksklusif MB Johor Khianati Rakyat, Dedah Hipokrasi Politik UMNO

2

Kolum 4 hari yang lalu

Sebuah Kerajaan Bukan Hadiah Untuk Dirampas

3

Kolum 5 hari yang lalu

Kerangka Perlembagaan Keadilan: Menyeimbangkan Adat Perpatih Dan Undang-Undang Statutori Di Negeri Sembilan

4

Kolum 1 bulan yang lalu

Mampukah Zahid Bergelar Perdana Menteri? 

Sorotan

1

Diperdaya Sindiket Kerja Sambilan Dalam Talian, Suri Rumah Rugi Hampir RM100,000

2

Puteri Thailand Mangkat Selepas Komplikasi Kesihatan Berpanjangan

3

Mengapa Ramai Rasa Letih Walaupun Cukup Tidur? Jadual Tidur Mungkin Bukan Jawapan

4

PAS Sahkan Pertemuan Dengan RESET Dan Hamzah, Butiran Lanjut Diumum Esok 

5

PRN Johor 11 Julai, PRN Negeri Sembilan 1 Ogos - SPR

6

Tuanku Muhriz Masih Yamtuan Besar Negeri Sembilan Yang Sah - KJ