Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Mengapa Parti Keadilan Perlu Cepat Mengaku Kalah?

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 16 Apr 2022 9:59AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Suatu kritikan terhadap pemimpin-pemimpin muda.

Dalam satu dua hari ini, saya berasa lemah semangat. Seorang demi seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) bercakap bahawa Keadilan akan kalah dalam PRU15 akan datang. PH juga akan kalah, kata mereka.

Pemimpin-pemimpin muda Keadilan ini berhujah menggunakan data dan fakta yang disokong dengan simulasi dan Artificial Inteligence meramalkan Keadilan akan tewas. Keadilan mungkin hanyut dalam pilihan raya umum beberapa bulan ini, ujar mereka lagi.

Saya tidak takut kalah. Tetapi sedih dan hampir patah hati. Ini bukan pemimpin Keadilan yang saya kenal selama ini.

Saya bukan budak-budak yang taksub  dengan “battle cry” “lawan tetap lawan”; “membujur lalu melintang patah”, “we never surrender”. Namun begitu, saya menghayati slogan perjuangan tersebut. Ia bukan kosong.

Pemimpin-pemimpin muda sekarang ini dalam Keadilan yang melemahkan semangat  kami anggota-anggota parti. Mereka ini saya baru kenal, dalam beberapa tahun ini.

Tetapi saya kenal tokoh reformasi yang bernama Anwar Ibrahim sejak tahun 1971, kira-kira 51 tahun yang lalu. Lebih setengah abad, sejak kami muda di zaman mahasiswa universiti.

Pelik, pemimpin-pemimpin muda sekarang yang sudah jadi Ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri bercakap soal kalah dan tewas tetapi anggota-anggota biasa dan para aktivis di bawah sana masih kekal menjerit, "reformasi! reformasi!"

Sejak kalah di beberapa pilihan raya negeri, bermula Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor, saya melihat ada di kalangan pemimpin-pemimpin muda parti yang menganggap Anwar Ibrahim tidak lagi relevan.

Tidak ada siapa nampaknya dalam Parti Keadilan sekarang yang tampil ke depan berani mempertahankan Anwar. Pemimpin-pemimpin muda Keadilan sibuk mengatur papan dan "cai" masing-masing.

Sedih melihat pemimpin-pemimpin muda Parti Keadilan yang jadi YB-YB selesa memberi  “walk-over” kepada Umno/BN dalam tempoh lima atau sepuluh tahun akan datang sebab data-data, statistik, simulasi dan survey menunjukkan Keadilan akan kalah.

Mereka lebih percaya kepada angka daripada azam manusia. Mereka patut membaca sajak Said Zahari yang berjodol "AZAM" yang ditulisnya dari dalam penjara ketika merengkok selama 16 tahun di Penjara Changi Singapura semasa pemerintahan kuku besi Lee Kuan Yew.

Pemimpin-pemimpin muda Keadilan yang kini jadi wakil-wakil rakyat yang selesa itu patut memiliki antologi "Puisi Dari Penjara" karya Said Zahari.

Sepatutnya pemimpin-pemimpin muda Keadilan yang berpelajaran tinggi, setengahnya dari oversea, jadi vanguard di baris hadapan Keadilan dalam menghadap medan tempur. Buanglah bendera-bendera putih itu sekarang. 

Sekarang saya lihat di kalangan pemimpin-pemimpin muda kelas elitis yang terdiri daripada YB-YB semakin tipis dan sunyi suara-suara mereka yang berani bercakap lagi tentang Anwar Ibrahim calon Perdana Menteri Keadilan/PH dalam pilihan raya akan datang.

Semakin ramai di kalangan anggota Parti Keadilan sendiri yang tidak yakin pada Presidennya sendiri. Mereka sibuk bersiap-siap untuk mengambilalih tempat Anwar Ibrahim.

Inilah kesannya kalau pemimpin-pemimpin muda terlalu taksub pada survey, data dan statistik serta simulasi serta Artificial Inteligence.

Perjuangan politik ini tidak hanya bergantung pada survey, statistik dan data. Benar, survey, statistik dan data itu penting dalam pilihan raya. Tetapi ingat Parti Keadilan Rakyat ini adalah sebuah parti perjuangan. Ia sebuah pergerakan rakyat. “Core business” Parti Keadilan bukan setakat memenangi pilihan raya. 

Rakyat sekarang susah sengsara. Negara sedang menuju malapetaka kebangkrapan angkara rasuah dan penyelewengan kewangan. Rakyat tak mampu beli makanan yang semakin hari semakin mahal harganya.

Kerana itu bolehkah Parti Keadilan kena tunggu dua kali pusingan pilihan raya umum lagi baru boleh bercakap untuk berkuasa di Putrajaya? 

Perjuangan Parti Keadilan ialah mengangkat wadah reformasi. Wadah perjuangan rakyat. Biar kalah bagaimanapun, semangat perjuangan tetap membara dan mesti sentiasa menyala.

Inilah kelebihan Parti Keadilan. Ketika ini parti ini dipimpin oleh Presidennya yang tabah, cekal dan tabah. Jangan dicurah air sejuk kepada semangat anggota parti yang ingin berjuang menentang segala bentuk ketidakadilan, pancaroba dan dugaan.

Jangan bercakap soal kalah. Saya sebagai seorang ahli politik kecilan di peringkat bawah ini, yang daif berkali-kali menghadapi kekalahan dalam pilihan raya, tidak pernah putus semangat dan mengibarkan bendera putih. 

Saya menyertai Parti Keadilan Rakyat kerana semangat perjuangan pemimpin-pemimpinnya yang kental. 

Setakat ini saya melihat Anwar Ibrahim telah menang bertanding sebagai Presiden Keadilan tanpa dicabar. Ia menunjukkan sokongan terhadap Anwar Ibrahim di dalam parti tidak berbelah bahagi. Anggota parti parti padu menyokong  Anwar Ibrahim.

Tetapi kalau ramai pemimpin-pemimpin muda Keadilan berpangkat YB-YB kelas tinggi  sudah segan silu  menyatakan sokongan terhadap Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Keadilan/PH dalam Pilihan Raya Umum-15, biarlah saya yang tua muka  tebal tak tahu malu ini tetap menyuarakan Presiden Parti Keadilan, Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Saya tidak malu bercakap bahawa saya ingin melihat sahabat seangkatan saya sejak muda, individu bernama Anwar Ibrahim yang saya percayai akan menjadi Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti.

Jika saya gembira rakan serumah saya Ismail Sabri Yaakob, semasa muda-muda dulu, menjadi Perdana Menteri sekarang maka mengapa saya tidak boleh memasang impian melihat giliran Anwar Ibrahim pula menjadi Perdana Menteri?

Banyak kali saya telah cakap, dan saya ulangi lagi bahawa saya bukan macai atau pentaksub kepada Anwar Ibrahim. Tetapi tokoh ini saja yang saya percaya boleh memimpin kita menghadapi Umno/BN dalam pilihan raya akan datang. 

Kalau kerana itu kita dituduh terlalu taksub dengan merebut kuasa,  saya tidak apologetik. Saya kata "Ya" perjuangan politik Parti Keadilan ialah untuk merebut kuasa di Putrajaya. Kita berkuasa untuk menyelamatkan Malaysia yang punah rosak sekarang ini. Parti keadilan adalah sebuah wadah perjuangan.

Saya mohon kepada anggota dan para pemimpin Keadilan sendiri, bukan dari parti-parti lain dalam PH atau di luar PH, tetapi anggota dan pemimpin Keadilan sendiri, terutama pemimpin-pemimpin muda supaya memberi sokongan teguh kepada Anwar Ibrahim untuk beliau sekali lagi memimpin kita dalam pilihan raya umum.

Kali inilah, mungkin kali terakhir kita bersama pemimpin kita Anwar Ibrahim, kita bersama-sama laksanakan cogan kata “lawan tetap lawan”, “membujur lalu melintang patah” dan “We never surrender” dalam menghadapi PRU-15 akan datang.

Kalau, dan kalau sekiranya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang, Parti Keadilan Rakyat kalah  juga, dan kalah teruk pula, maka saya berjanji, saya akan menasihati Anwar Ibrahim supaya beliau berundur dari memimpin parti. Kalau ketika itu Anwar Ibrahim enggan berundur, degil dan liat melepaskan jawatannya, maka saya yang daif dan kecil ini akan mencabar Anwar Ibrahim bagi jawatan Presiden Parti dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat selepas PRU-15 nanti, itupun kalau saya masih bernyawa.

Tetapi buat masa yang penting dan genting kini, bulatkanlah tekad kita bersama Presiden kita Anwar Ibrahim menghadapi pilihan raya umum yang bakal tiba beberapa bulan sahaja lagi dengan azam yang penuh semangat dan berani. Buang dari minda kita sebarang lintasan fikiran mengaku kalah dan menyerah.

Kita ulang sekali lagi di sini, cogankata perjuangan Parti Keadilan, “Kita Berani Berjuang, maka Kita Berani Menang!”

Hassan Abdul Karim adalah Ahli Parlimen Pasir Gudang
 

Sorotan

1

Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Dijangka Beroperasi Semula Dalam Tempoh 24 Jam

2

PRK DUN Kuala Kubu Baharu: Calon Atas Nama Kerajaan Perpaduan, Bukan Parti - Zamry

3

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

4

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

5

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

6

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

7

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini