Berita Terkini

22 jam yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 1 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Jangan Dibuang Lebihan Sumbangan Banjir, Wujudkan Pusat Bekalan

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 14 Jan 2022 10:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Seronok melihat ‘Keluarga Malaysia’ menghulur pelbagai bantuan ketika banjir teruk melanda, khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang baru-baru ini. Daripada bantuan tenaga hinggalah kepada wang ringgit dan barang keperluan, termasuk pakaian dan makanan, disalur kepada mangsa.  

Selain beberapa inisiatif bantuan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan dan orang perseorangan ramai tampil membantu. Matlamat utama meringankan kesusahan mangsa banjir melalui waktu mencabar.

Selain makanan, keperluan utama tentunya pakaian. Ramai yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) dalam keadaan sehelai sepinggang kerana kediaman mereka musnah dibawa arus deras atau rosak teruk. Ramai sekadar sempat menyelamatkan diri.

Kerana itu kain baju untuk lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, pakaian dalam, tuala wanita, lampin pakai buang dan selimut bantal sangat diperlukan. Juga bahan membersih diri seperti sabun, ubat gigi, syampu dan sebagainya.

Namun penulis sedih apabila melihat banyak daripada pakaian yang disumbang akhirnya dibiarkan begitu sahaja, atau dalam bahasa mudah dibiar terbuang. Ini dapat dilihat melalui gambar yang tular dalam media sosial.

Pakaian berlebih ini dibiar bertaburan atau dilonggok begitu sahaja bagai sampah. Senario ini sangat menyentap hati kerana barang yang masih boleh diguna dibiar bertaburan sedangkan itu adalah pemberian ikhlas dengan tujuan murni membantu mangsa. 

Isu lambakan pakaian ini diakui oleh rakan-rakan penulis daripada Persatuan Penduduk Taman Danau Kota, Setapak, Kuala Lumpur yang turut aktif membantu mangsa banjir terutama di kawasan terjejas teruk seperti Hulu Langat, Bentong dan Mentakab.

Pihak persatuan memohon sumbangan pakaian daripada penduduk dan kawasan sekitar yang dikumpul di pusat pengumpulan di pusat kegiatan penduduk taman. Mereka memperoleh banyak sumbangan pakaian, baik untuk lelaki dan perempuan serta kanak-kanak.

Namun sekali pun sebahagian besar telah diagih-agih di beberapa pusat bantuan banjir yang dilawati, penulis diberitahu banyak daripada pakaian ini tidak dapat diedar kerana keperluan di pusat-pusat berkenaan telah mencukupi.

Kerana itu pakaian terpaksa disimpan di pusat pengumpulan untuk sementara waktu sehingga ada kaedah atau cara melupuskannya, misalnya disumbangkan kepada pihak lain yang memerlukan selain mangsa banjir.

Lebihan pakaian dipercayai kerana sumbangan yang banyak daripada pelbagai pihak. Ramai tidak kedekut menyumbang pakaian terpakai yang masih elok yang selama ini hanya tersimpan. Daripada terus tersimpan tanpa diguna, lebih baik disumbang kepada orang ramai yang memerlukan.

Namun apabila sumbangan sudah terlalu banyak, bekalan melebihi keperluan. Ini berlaku di kebanyakan pusat bantuan banjir. Mangsa banjir hanya memerlukan beberapa helai pakaian sekadar mencukupi sehingga boleh kembali ke rumah masing-masing atau membeli yang baharu.

Dengan sumbangan yang banyak dan berlebihan di pusat-pusat berkenaan, setelah beberapa hari pakaian sudah tidak menjadi keutamaan kerana keperluan sudah mencukupi.

Disebabkan ini, lebihan pakaian yang diagih di pusat banjir terbiar dan terbuang. Amat sedih sekali kerana ini adalah pembaziran sedangkan pakaian tersebut masih elok. Malah sepatutnya tidak mengapa mangsa banjir mengambil lebih daripada membiarkannya terbuang.

Bagi penulis apa yang berlaku wajar dijadikan iktibar dalam mengendalikan keperluan mangsa banjir pada masa hadapan, khususnya yang berhubung kait dengan barang sumbangan orang ramai. Jangan sampai dibiarkan membazir sehingga penyumbang merasai sumbangan tidak dihargai.

Tiada siapa tahu bila banjir akan melanda. Juga tiada siapa tahu banjir akan melanda teruk seperti yang berlaku baru-baru ini, atau sebaliknya. Dalam keadaan apa pun, yang perlu dilakukan ialah persiapan dan siap siaga menghadapi situasi.

Bukan sahaja siap siaga menghadapi banjir itu sendiri tetapi juga bersedia dengan keperluan awal membantu mangsa terlibat. Antara keperluan awal yang penting ialah pakaian, selimut bantal dan barang makanan.

Kerana itu disyor pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan pusat bekalan (stock centre) barang keperluan yang boleh diagih terus apabila bencana berlaku. Sekurang-kurangnya sebagai bantuan awal sehingga bantuan tambahan disalurkan.

Kaedah ini merupakan pendekatan pro aktif, bersedia dengan bantuan sebelum kejadian. Jadi tidaklah seperti sekarang apabila banjir sudah melanda baharu berusaha mengumpul sumbangan daripada orang ramai. Proses ini akan mengambil masa.

Dengan wujudnya pusat bekalan ini juga, lebihan sumbangan daripada orang ramai dikumpul dan disimpan di pusat tersebut untuk kegunaan akan datang, bukan dibiar terbuang. Langkah ini juga dapat membantu mengatasi isu lambakan pakaian yang terdapat di pusat-pusat pengumpulan.

Namun pusat bekalan ini perlu dijaga dan diurus dengan elok agar barang-barang yang disimpan dapat bertahan lama. Lakukan pemeriksaan berkala agar semuanya berada dalam keadaan baik dan ditambah stok jika perlu.

Malah stok tersebut tidak harus terhad untuk sumbangan kepada mangsa banjir sahaja. Fungsinya boleh diperluas merangkumi mangsa bencana lain seperti rumah terbakar atau untuk golongan miskin yang memerlukan bantuan segera. Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. - Getaran, 14, Januari 2022

Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan akhbar keramat Melayu, Utusan Malaysia. Masih sarat dengan jiwa dan naluri kewartawanan, menulis tanpa jemu, berkarya tanpa ragu. Graduan Sarjana Sains (Kewartawanan) Universiti Boston, lewat 1984.

Berita Berkaitan

1

Video & Galeri 6 hari yang lalu

Aksi Tesla Model Y Redah Banjir Di Dubai

2

Kolum 1 bulan yang lalu

Apabila AI Menjadi Peguam, Akauntan Dan Pemandu

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Mangsa Banjir Sarawak Meningkat Lebih 1,000

4

Kolum 1 bulan yang lalu

Ruang Kecil, Impian Besar: Bagaimana Ruang Simpan Sendiri Buka Peluang, Potensi Untuk PKS

Sorotan

1

Tragedi Helikopter TLDM : Jasad Mendiang Joanna Felicia Dikebumikan Di Serian Pagi Ini

2

PRK DUN KKB : Aspek Ekonomi Antara Fokus Kerajaan Perpaduan Sepanjang Kempen

3

Lebih 14,000 Aduan Diterima Menerusi Aplikasi MYJalan Setakat Ini - Ahmad Maslan

4

Pang Sock Tao Calon Kerajaan Perpaduan Bagi PRK Kuala Kubu Baharu

5

KPU Indonesia Isytihar Prabowo, Gibran Presiden Dan Naib Presiden 2024-2029

6

Amalan Pemakanan Tidak Sihat, Kurang Aktiviti Fizikal Punca Utama Obesiti - Dr Dzulkefly

7

642 Pegawai, Anggota Polis Selangor Bertugas Pastikan Kelancaran PRK Kuala Kubu Baharu

Disyorkan untuk anda

Kolum 15 jam yang lalu

Tun M, Bertenanglah, Tak Perlu Takut Dengan Siasatan