Berita Terkini

3 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Sedar Dan Syukur

Kita sering terlupa atau tidak menyedari betapa bertuahnya kita. Disebalik pelbagai dugaan dan pahit manis hidup, banyak nikmat yang harus kita syukuri. Ikuti nukilan Ad Samad minggu ini.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 05 Jan 2022 4:42PM

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

“People from a planet without flowers would think we must be mad with joy the whole time to have such things about us.” - Iris Murdoch

Tiada apa yang kekal selamanya.

Pengakhiran akan datang kepada kita semua.

Begitupun, kita masih amat bertuah kerana telah berpeluang melalui kehidupan ini.

Kita bertuah kerana dapat menikmati suria pagi dengan kicauan burung, pelangi petang dan rintik hujan, purnama dan deru ombak, tempeleng seorang kakak dan sakat seorang abang, herdik seorang bapa dan sentuhan seorang ibu, perhatian seorang kawan dan ciuman berahi seorang kekasih. Serta, gelak tawa seorang anak.

Tidak dinafikan, kita juga akan melihat dan digempar gempa dan gunung berapi, diterjah air bah dan tsunami, diancam kebakaran dan asap bergumpalan, ditiup taufan dan puting beliung, kemalangan di jalan raya dan rel keretapi, dicopet pencuri dan dirompak menteri, ditipu usahawan dan dikhianati rakan, perpisahan serta kematian.

Pengalaman baik dan buruk selang bersilang menjadi sulaman cerita kehidupan.

Kita sering terlupa atau tidak menyedari betapa bertuahnya kita. Cuba fikirkan, ibu bapa kita boleh sahaja tidak bertemu dan bersatu akibat daripada jutaan kemungkinan yang ada. Di antara jutaan manusia, bapa kita pula ada hati terhadap ibu ibu kita, meskipun boleh dipersoalkan adakah ibu kita ada hati malah kemahuan terhadap bapa kita.

Tanpa tuah itu, kita tidak akan wujud.

Seandainya bapa kita mengahwini Dolly Parton atau Dimple Kapadia (atau sesiapa sahaja selain ibu kita) dan ibu kita mengahwini Amitabh Bachchan atau Mick Jagger (atau sesiapa sahaja selain daripada bapa kita); kita tidak akan wujud.

Tambahan lagi, meskipun kedua ibu bapa kita bertemu dan bersatu, tetapi seandainya ketika mereka berdua di ambang kemuncak asmara, mereka diganggu oleh cicak yang terjatuh dari siling atau lipas terbang lalu hinggap merayap ke katil, atau pekikan “Api! Api!” dari jiran sebelah sehingga merencat kemuncak adengan mereka; kita tidak akan wujud.

Dayungan asmara mereka lancar layarnya sehingga ke penghujung.

Sperma dan telur berjaya bertemu dan bersenyawa.

Langsung lahirlah kita untuk meniti kehidupan di dunia.

Kita membesar dengan membentuk kecenderungan dan kepantangan, pencapaian dan kegagalan, kepuasan dan kekecewaan, kesedapan dan kesakitan.

Bukanlah pertukaran kalendar dan tahun yang menjadi ukuran sebenar usia seseorang tetapi pengalaman hidupnya.  

Tatkala kalendar dan tahun menyatakan angka umur; cerita dan pengalaman hidup menzahirkan kematangan dan kedewasaan seseorang insan.

Biar apapun kesukaran dan dugaan yang terjadi, kita sentiasa ada lebih banyak sebab untuk terus menzahirkan rasa syukur.

Mengucap syukur bukan sahaja di lidah tetapi dari hati kepada perbuatan.

Bersyukur bukan sekadar akur, pasrah dan berterima kasih terhadap ketentuan, malah syukur dalam erti kata sebenar adalah kemahuan untuk terus berusaha memperbaiki diri agar lebih berguna kepada masyarakat dan lebih sempurna melaksanakan setiap tanggungjawab.

Tanda kita bersyukur bahawa kita masih memiliki pekerjaan, perniagaan atau jawatan adalah dengan berkhidmat dengan amanah dan sentiasa memperbaiki mutu perkhidmatan serta menjauhi segala bentuk keculasan seperti rasuah, khianat atau menipu majikan dan pelanggan.

Melaksanakan tugas tanpa amanah adalah tanda-tanda tidak bersyukur, malah sebuah kekufuran.

Syukur adalah pelengkap kenikmatan.

Ya, tiada apa yang kekal selamanya.

Pengakhiran akan datang kepada kita semua.

Begitupun, kita bertuah dan sewajibnya bersyukur kerana berpengalaman melalui kehidupan ini serta menyaksikan segala keindahan serta kekejaman yang mengiringinya.

Adakalanya, sesuatu pengakhiran memberi ruang untuk perkara-perkara lain pula berputik dan mencapai potensi sebenar.

Begitulah roda kehidupan.

2021 telah meninggalkan kita dengan pengalaman yang tersendiri.

Mungkin kita menempuhi kehidupan yang mencabar sepanjang setahun dua ini akibat daripada pandemik, bencana alam atau eposid-episod tragedi peribadi.

Mungkin juga di antara kita telah melalui kenangan-kenangan manis sepanjang setahun dua yang lalu, seperti mengenali kekasih baharu menerusi media sosial, atau melangsungkan majlis perkahwinan berkonsep pandu lalu atau menerima cahaya mata, malah cucu atau kereta baru.

Mungkin juga kita melalui kedua-duanya sekali sepanjang 2021, iaitu saling bersilangan tragedi dan rapsodi.

Yang pastinya 2022 akan membawa bersama pelbagai cabaran dan melakar memori-memori baru.

Kesedaran bahawa segalanya akan berakhir tidak seharusnya mematikan semangat untuk kita terus membina kehidupan yang terbaik seolah-olah kita akan hidup selama-lamanya.

Malah, kesedaran itu seharusnya menyedarkan kita bahawa saat ini dan saki baki waktu yang kita miliki adalah sangat bermakna, lantas mesti diisi sepenuhnya dengan memperjuangkan kebaikan dan membina kasih sayang.

Kesyukuran pula adalah penawar segala nestapa dan punca tenaga yang membangkitkan kita dari kegagalan, lalu menggerakkan kita untuk mencuba lagi langsung maju ke hadapan. Kesyukuran juga adalah penawar kebongkakan yang mungkin datang setelah kejayaan. - Getaran, 5 Januari 2022.

Gambar: Fail

Berita Berkaitan

1

Kolum 1 bulan yang lalu

Apabila AI Menjadi Peguam, Akauntan Dan Pemandu

2

Kolum 1 bulan yang lalu

Ruang Kecil, Impian Besar: Bagaimana Ruang Simpan Sendiri Buka Peluang, Potensi Untuk PKS

3

Kolum 1 bulan yang lalu

5G: Keperluan Atau Sekadar Gimik Pemasaran?

4

Kolum 1 bulan yang lalu

Mendalamkan Makna ‘Agenda Bumiputera Sebagai Agenda Nasional’

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart