Berita Terkini

2 hari yang lalu: Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam 5 hari yang lalu: KKM nasihatkan semua aktiviti di luar bilik darjah ditangguhkan sementara di semua lokasi yang merekodkan cuaca panas antara 35 hingga 37 darjah celsius 6 hari yang lalu: Pihak Ocean Infinity akan bentang kawasan pencarian baharu MH370 kepada MOT awal Mei - Loke 6 hari yang lalu: MAVCOM tambah 342 penerbangan domestik di seluruh negara untuk perjalanan antara 3 hingga 18 April - Loke 6 hari yang lalu: Tiket tambahan ETS dan perkhidmatan tren khas mula dijual hari ini bermula 5 petang - Loke

IKUTI KAMI


Pentingnya Pengurusan Waktu Di Dapur

Brian Chen berkongsi beberapa tip untuk menjadikan proses masak lebih cepat dan membantu anda sediakan hidangan yang lebih sihat dalam masa yang singkat untuk seisi keluarga.

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 08 Mar 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dengan pandemik yang telah melanda dan mengubah cara kita hidup dan bekerja, antara masalah utama yang sering menjadi rungutan adalah pembahagian masa. Oleh sebab ramai yang bekerja di rumah, pengasingan antara masa bekerja dan masa peribadi menjadi isu yang menimbulkan masalah di mana hal-hal luar bidang kerja tetap tidak dapat diselesaikan. 

“Bila kerja dulu, memang tak ada masa untuk masak. Sekarang kerja kat rumah pun tak ada masa nak masak.”

Mula-mulanya saya pun hairan dengan kenyataan yang dilontarkan oleh ramai kawan saya yang bekerja di rumah dan sudah mendirikan rumah tangga. Tapi hakikatnya, dengan adanya tanggungjawab kerjaya di rumah yang harus diseimbangkan dengan tanggungjawab kekeluargaan, saya dapat memahami di mana perginya semua masa itu.

Di sini, saya bukanlah nak menulis coretan panjang mengenai kepentingan pembahagian masa ataupun memperjuangkan kepentingan masa peribadi yang semakin menjadi sukar dengan norma baru bekerja dari rumah.

Orang dapur ini hanyalah berniat untuk kongsikan beberapa tip untuk menjadikan proses masak lebih cepat dan membantu anda sediakan hidangan yang lebih sihat dalam masa yang tersingkat untuk keluarga anda.

Perancangan

Sama seperti aspek lain dalam hidup kita, tanpa perancangan maka kita hanyalah merancang untuk kegagalan. Elakkan tabiat buruk yang ada pada ramai orang iaitu perancangan makanan untuk keesokan harinya hanya difikirkan sehari sebelum.

Masa itulah akan kelam-kabut untuk habiskan kerja dengan cepat supaya dapat membeli bahan-bahan yang diperlukan. 

Elakkan juga tabiat membeli bahan tanpa senarai atau perancangan kerana ini boleh mengakibatkan terlebih beli ataupun bahan yang rosak kerana lupa untuk digunakan. 

Ambillah masa hujung minggu yang lebih lapang untuk senaraikan semua hidangan untuk minggu yang baru dan sediakan senarai bahan yang diperlukan.

Babitkan ahli keluarga lain supaya mereka juga lebih teruja dengan hidangan yang bakal disajikan dan mereka akan rasa bangga dengan sumbangan mereka dalam menentukan hidangan mingguan.

Ini akan mendorong mereka untuk membabitkan diri dalam proses penyediaan makanan, meja makan dan mencuci. Sekali gus mengurangkan beban si tukang masak di rumah.

Kisaran dan cincangan

Sebenarnya, yang memakan waktu yang lama dalam menyediakan hidangan harian bukanlah terletak pada proses memasaknya tetapi pada proses penyediaan bahan. Segala kopek-mengopek, hiris-menghiris dan cincang-mencincanglah yang melambatkan kita memasak.

Saranan saya, dan saya sendiri lakukan ini setiap hujung minggu, adalah untuk menyediakan stok bawang putih dicincang, bawang merah dikisar dan kisaran cili kering. 

Nasihat saya di sini adalah untuk sediakan cukup untuk seminggu sahaja untuk pastikan kisaran dan cincangan kekal segar. Simpankan dalam bekas kedap udara dalam peti sejuk dan keluarkan kuantiti yang diperlukan sahaja setiap kali memasak.

Selain daripada bawang dan cili, pes-pes asas juga boleh dikisarkan siap-siap bila kelapangan. Untuk lebih mudah kerjanya dan supaya ianya tahan lebih lama, pes-pes ini boleh dibekukan dalam dulang ais atau ice tray. Setiap kali hendak masak, ambil sahaja satu kiub untuk digunakan.

Antara contoh pes yang saya selalu sediakan termasuklah pes sambal, pes nasi goreng, pes tomyam, pes kari, pes asam pedas dan pes masak merah.

Hidangan kecemasan

Dirancang dengan teliti macam mana pun, kadangkala yang tidak dijangka tetap berlaku. Dalam situasi begini, saya selalu ada lauk atau hidangan yang disejukbekukan supaya ahli keluarga saya hanya perlu keluarkan dan panaskan semula makanan tersebut.

Antara contoh hidangan yang sesuai untuk disejukbekukan untuk jangka masa panjang adalah lauk yang telah ‘dimatikan air.’ Contohnya rendang, stew ayam, kuah mi sup atau pasta. Elakkan menyejukbekukan makanan laut, sayuran hijau berdaun atau makanan yang ditumis kering atau dengan air sahaja.

Itulah beberapa tip yang saya dapat kongsi untuk membantu anda semua sediakan hidangan yang lebih sihat dengan lebih mudah buat keluarga anda. Walaupun saya seorang yang selalu mengetengahkan kepentingan menyediakan makanan di rumah, namun begitu janganlah streskan diri anda.

Sekali-sekala sekiranya anda penat atau tidak kesempatan, tidaklah menjadi kesalahan yang tidak dapat dimaafkan untuk membuat pesanan makanan online ataupun ta-pau dari restoran kegemaran anda. - Getaran, 8 Mac 2021

Semua gambar: Pexels

Lebih dikenali sebagai 'Abang Brian’, Brian Chen merupakan penulis tujuh buah buku masakan. Pemilik sarjana muda bidang perakaunan dan kewangan dari Universite de Paris di Perancis ini juga salah seorang finalis Masterchef Malaysia Allstars sebelum menjadi penyampai radio dan pengacara TV. Kini sibuk mendapatkan kelulusan Doktor Falsafah dalam bidang pendidikan, beliau juga bakal bergelar pendidik sambilan di Le Cordon Bleu Malaysia selain mengajar kanak-kanak memasak di samping mengendalikan 'platform' beli-belahnya sendiri.

Berita Berkaitan

1

Refleksi 2 bulan yang lalu

Berpisah Dengan Si Dia? Ini 10 Tip Untuk Merawat Hati Yang Terluka

2

Selebriti 10 bulan yang lalu

Alicia Amin Warisi Resepi Rendang Tok Daripada Arwah Nenek, Wajib Masak Setiap Kali Raya

3

Selebriti 1 tahun yang lalu

"Dia Cuma Bawa Watak Antagonis, Salahkah?" – Norman KRU Tampil Bela Sheila Rusly Yang Dikecam Hebat

4

Selera 1 tahun yang lalu

Daging Gulai Kawah, Ayam Percik Antara Juadah Jemaah Haji Malaysia

Sorotan

1

PNB Umum Pengagihan Pendapatan 5.25 Sen Bagi ASB 2 Dan 4.75 Sen Bagi ASM 

2

Mohd Na'im Jalani Pembedahan Kecil Buang Kelenjar Air Liur

3

Polis Tahan Lelaki Disyaki Abai Kanak-kanak  

4

Padang Bukan Faktor Penentu Kekalahan Malaysia Kepada Oman - Darren

5

Dasar Buku Negara Diteliti Semula - Fadhlina

6

Perdana Menteri Dijangka Hadir Majlis Iftar MADANI Anjuran JAKIM Esok