"In a democracy, people get the leaders they deserve." - Joseph De Maistre
Sedang kita bergelut dengan COVID-19 dan kesan rantaiannya, kita diuji pula dengan banjir besar melanda negara akibat hujan yang tidak berhenti melebihi 24 jam.
Rupa-rupanya 2021 belum habis membedil kita dengan ujian.
Puluhan ribu rakyat kerugian harta benda malah ada kehilangan nyawa. Beban dan penderitaan rakyat berterusan.
Perit, pilu dan seram melihat keadaan mangsa yang terperangkap berjam-jam sehingga ke gelap malam menanti bantuan yang tak sampai-sampai. Ada yang tersangkut di jalanan, kebingungan, bergelap di rumah dan menahan sejuk di atas bumbung.
Ketidaktentuan mereka diburukkan lagi dengan rasa lapar dan dahaga meskipun dikelilingi air.
Mangsa akan menanggung kesusahan berhari-hari malah berminggu-minggu selepas banjir surut akibar kesan yang ditinggalkan.

COVID-19 yang kini membiakkan varian Omicron pula masih menyelubungi kita seperti awan hitam yang mengekori ke mana sahaja.
Dijangkakan peningkatan kes COVID-19 akan berlaku berikutan banjir besar ini.
Seperkara yang kita pelajari daripada menghadapi bencana-bencana yang berlaku adalah pentingnya untuk rakyat sendiri saling menjaga rakyat dan bukan berharap kepada mana-mana badan kerajaan baik pusat mahupun negeri untuk memberi bantuan paling pantas dalam apa perkara sekalipun.
Ketika banjir melanda, orang awam, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta bertindak pantas melancarkan gerakan menyelamat menggunakan pacuan empat roda, bot persendirian dan apa sahaja yang ada.
Sementara aset-aset negara dilancarkan, mangsa adalah rakyat yang tiada wajah, tidak bernama dan tanpa suara yang perlu pandai-pandai menjaga diri.
Dan, setelah keadaan bencana menjadi sohor kini di media sosial, gambar-gambar para politikus mula menjadi ubiquitos atau di mana mana dengan menyarungkan but kuning seperti Phua Chu Kang.
Ada juga politikus yang tidak kena gaya berkasut tinggi seperti 'Sex And The City'. Dan, ada juga yang sekadar berselipar getah meredah banjir tatkala membantu mangsa. If it’s not on social media, it didn’t happen.
Kemudian, sidang akhbar dilakukan di sana-sini untuk menjelaskan kerja-kerja yang telah mereka laksanakan ketika bencana berlaku.
Kegagalan jentera-jentera kerajaan dilancarkan dengan segera dan sistematik bukan sahaja mengecewakan tetapi amat menyeramkan. Ketidakupayaan mereka boleh mengakibatkan kehilangan nyawa yang lebih besar.

Kelemahannya bukanlah kerana proses birokrasi tetapi kompetensi atau ketidakupuyaan mereka menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan.
Secara amnya, ketidakupayaan institusi-institusi malah syarikat-syarikat milik kerajaan untuk menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka dengan baik adalah kerana kegagalan kita untuk meletakan para individu yang berkelayakan, berwibawa, berdedikasi dan berintegriti.
Ini adalah kegagalan kolektif kita sebagai sebuah negara, dari atas hingga bawah.
Kita gagal memilih Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang berkualiti dan layak. Kita gagal menemui jemaah menteri yang berwibawa. Kita gagal memiliki para ketua setiausaha dan pengarah di peringkat Kementerian dan jabatan yang berani dan berintegriti serta pelbagai lagi.
Mereka yang berada dikedudukan tinggi dalam organisasi adalah terdiri daripada mereka yang paling cekap berpolitik; baik politik kepartian sehingga menjadi menteri, mahupun politik pejabat (serta pertalian mereka dengan orang politik) sehingga mereka menjadi ketua pegawai operasi (CEO) atau pengurus besar atau ketua setiausaha dan pengarah.
Kedudukan tinggi mereka bukan kerana meritokrasi dan jauh sekali integriti!
Disamping pakar menjilat punggung, mereka cekap mengambil kredit dan menyalahkan orang; kunci utama kecemerlangan politik pejabat.
Natijah daripada kegagalan kita meletakan para individu yang layak berdasarkan merit, hari ini kita memiliki para pemegang jawatan yang tidak kompeten menjalankan tugas terutamanya ketika menghadapi krisis dan bencana.
Mungkin dasar dan hala tuju negara sepanjang tempoh 30 hingga 40 tahun yang lalu berperanan besar membawa kita kepada keadaan yang kita hadapi hari ini.
Telah tiba masanya untuk kita menyemak kembali keperluan mengamalkan sistem meritokrasi, meskipun secara politiknya ia adalah perbuatan menongkah arus.
Krisis yang kita alami sememangnya adalah satu keadaan yang luar biasa. Tetapi memiliki para pemegang amanah yang tidak berwibawa akan hanya memburukan keadaan.

Bencana-bencana yang telah menimpa kita selama ini termasuklah COVID-19 dan banjir yang baru melanda, hanyalah sebuah raptai atau rehearsal kepada bencana lebih besar yang akan melanda. Mungkin virus yang lebih merbahaya atau banjir yang lebih dahsyat.
Dan, cara kita menangani krisis ketika ini adalah bayangan kepada bagaimana keporak-perandaan yang akan kita hadapi sekiranya menghadapi bencana yang lebih besar suatu hari nanti.
Memiliki para pemimpin dan para pemegang amanah yang tidak berwibawa akan meletakan kita kepada keadaan yang lebih parah dan lebih merbahaya.
Kita bukan sahaja perlukan perubahan politik tetapi yang lebih penting lagi kita perlukan perubahan minda.
Iaitu minda yang berteraskan sains dan pengetahuan atau informasi yang sahih, disamping mempertingkatkan moral zeitgeist yang berteraskan empati dan nilai nilai murni sejagat.
Apabila kita mencapai tahap pemikiran yang berkualiti serta dihiasi dengan ciri-ciri ketamadunan serta kesopanan yang tinggi, barulah kita dapat memiliki para pemimpin yang murni.
Pemimpin adalah cerminan rakyatnya.
Baik rakyatnya, baiklah pemimpinnya.
Perasuah rakyatnya, perompaklah pemimpinnya.
Sementara itu, semoga para mangsa banjir akan segera kembali kepada kehidupan yang normal tatkala masih bergelumang COVID-19 dan norma baharu.
Ketika karangan ini ditulis, 27 mangsa yang maut ditemui dan beberapa kawasan di Selangor masih ditenggelami air.
Terlebih dahulu, Jabatan Meteorologi meramalkan gelombang kedua fenomena Lekukan Tropika yang mengakibatkan hujan berpanjangan bakal melanda kita sekali lagi.
Kita mesti bersiap sedia. Kita mesti teruskan semangat 'Kita Jaga Kita'. Bukan sahaja perihal banjir tetapi perihal entah apa lagi.
Selamat tinggal 2021. 2022 apa pula ceritanya?
Di luar jendela, kelihatan hujan kembali membasahi bumi...
Gambar: Fail