Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Bintang Malaya Ke Layar Dunia

Lama sebelum Henry Golding dan Michelle Yeoh ke Hollywood, ada bintang veteran lain dari Tanah Melayu yang telah sempat meninggalkan legasi mereka di bumi tersohor itu. Siapakah mereka? Kita singkap coretan Roslen Fadzil minggu ini.

Kolum Dikemaskini 3 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 06 Mar 2021 9:00AM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Dua foto lama Allahyarham Ibrahim Pendek atau Pak Brahim yang sekian lama saya tatap, sering merangsang adrenalin saya untuk bercerita mengenai kehebatan beliau kepada sahabat-sahabat karib saya. Ia adalah foto Pak Brahim dengan aktor sensasi Hollywood – Rock Hudson.

Foto-foto itu menceritakan segalanya. Ia bukan kerja superimposed atau photoshop. Ia adalah bukti Pak Brahim pernah membintangi filem The Spiral Road yang diterbitkan pada 1962 arahan Robert Mulligan.

Bergenre pengembaraan, filem tersebut turut dibintangi Burl Ives dan Gena Rowlands.  The Spiral Road muncul di pawagam pada tahun yang sama dengan sebuah lagi karya ‘signature’ Mulligan iaitu To Kill a Mockingbird.

Bertuah sungguh Pak Brahim. Tatkala pelakon Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris lain sedang sibuk dengan pembikinan filem di Malaya dan Singapura, beliau pula diterbangkan ke Amerika Syarikat pada Ogos 1961 bagi menjalani penggambaran The Spiral Road.

Bumi Suriname turut dipilih bagi menggambarkannya sebagai Indonesia. Dengan watak sebagai Stegomyia, Pak Brahim telah mengukir sejarah sebagai pelakon Malaya pertama yang membintangi filem Hollywood. Ia suatu fakta dan usah lagi dipertikaikan.

Ternyata tubuh renek anak jati Taiping setinggi 130 sm itu satu kelebihan besar buat dirinya dengan digauli bakat lakonan semula jadi. Jelas, pendek bukan sebarang pendek malah itulah juga nama komersial yang diguna pakai oleh Pak Brahim hingga menenggelamkan nama sebenarnya, Ibrahim Hassan.

Kalau di Hollywood, bintang-bintang kerdil yang terkenal termasuklah Herve Villechaize (Fantasy Island - 117 sm ), Peter Dinklage (Game of Thrones - 132 sm), Verne Jay Troyer (Austin Powers – 81 sm) dan Zelda Rubinstein (Poltergeist – 129 sm).

Saya akui saya selalu terhibur melihat telatah Pak Brahim sebagai kelasi kapal dalam filem pertamanya, Panggilan Pulau bersama P. Ramlee. Ini disusuli filem klasik lain seperti Anakku Sazali, Pendekar Bujang Lapok, Lela Manja, Ali Baba Bujang Lapok, Pusaka Pontianak, Sayang Si Buta, Nasib Labu-Labi dan Siapa Besar. 

Saya difahamkan, peluang beliau berlakon The Spiral Road itu datang apabila wakil dari Universal International melawat Studio Jalan Ampas ketika pembikinan Ali Baba Bujang Lapok sedang berjalan.

Mereka terpandang aura tuan tubuh bernama Ibrahim Pendek itu sedang beraksi lucu dengan P. Ramlee. Tidak lama selepas itu, Pak Brahim pun mendapatlah surat lamaran ke Hollywood.

Menariknya, selesai membintangi The Spiral Road, Pak Brahim menetap seketika di kediaman Rock Hudson di Beverly Hills. Pak Brahim kemudiannya mendapat tawaran lagi untuk menjadi pelakon di Los Angeles.

Akan tetapi impian itu terhalang oleh beberapa perkara termasuk masalah pembaharuan visa oleh Kerajaan Amerika Syarikat serta isu pendapatannya di Hollywood yang jauh berbeza dengan gaji bulanannya oleh Shaw Brothers.

Maka dengan kecewanya Pak Brahim yang pernah digelar 'The Little Giant', terpaksa pulang semula ke Singapura.

Selepas berhijrah ke Kuala Lumpur dan meneruskan lakonan pada era 1970-an sehingga 1990-an, Pak Brahim dilihat kian uzur. Kali terakhir dia berlakon adalah menerusi telemovie Selamat Hari Jadi Abah pada awal 2003.

Siapa sangka pelawak handalan itu akhirnya terpaksa melalui hidup getir di hujung usianya. Dia terpaksa menjual nasi lemak dengan berdiri di atas kotak (supaya dia lebih tinggi) di tepi jalan berhampiran rumahnya di Cheras bagi menampung hidup.

Kita selalu terhibur melihat aksinya dalam filem namun jauh di lubuk hati, Pak Brahim sebenarnya banyak memendam rasa. 

Pak Brahim yang lahir pada 1932, ditakdirkan meninggal dunia pada 25 November 2003, ketika umat Islam sedang menyambut Aidilfitri akibat derita penyakit buah pinggang, pneumonia dan sesak nafas.

Memang sedih dikenangkan kerana sewaktu hayatnya, Pak Brahim tidak pernah dikurniakan sebutir darjah kebesaran pun, bukan seperti zaman sekarang apabila artis yang masih hijau sudah mampu dianugerahkan pelbagai gelaran.

Pada 2012, laporan menyebut balu Pak Brahim, Asiah Othman serta anak-anak cucunya menerima ihsan sebidang tanah serta sebuah rumah sumbangan Kerajaan Negeri Melaka yang bersimpati dengan nasib mereka.

Sudah lama Asiah anak-beranak  dilaporkan menumpang tinggal di sebuah tanah rizab di Tanjung Kling. Syukurlah.

Kalau Ibrahim Pendek dilamar ke Hollywood, lain pula cerita Seniwati Dato’ Maria Menado kerana wanita yang pernah dilabel sebagai aktres paling cantik di Malaya oleh majalah TIME itu, lebih awal lagi, disunting produser Bollywood.

Siapa sangka Maria dilamar membintangi filem Singapore terbitan 1960, bergandingan dengan aktor Hindustan terkenal, Shammi Kapoor. 

Dalam menyahut cabaran itu, Maria bukan sahaja perlu berbahasa Hindi malah menyanyi secara miming lagu dendangan Lata Mangeshkar. Filem Singapore arahan Shakti Samanta itu membariskan pelakon Bollywood seperti Padmini, Helen dan Madan Puri.

Bagi menambahkan lagi perisa Tambak Johor, pengarah muziknya menyelitkan sebuah lagu Melayu popular, 'Rasa Sayang Eh' yang digubah kepada versi Hindi berjudul 'Rasa Sayang Re.'

Dilahirkan sama tahun dengan Ibrahim Pendek, Maria Menado atau nama asalnya, Liesbet Dotulong, dari Sulawesi Utara, cukup sinonim dengan filem seram klasik Pontianak, Dendam Pontianak dan Sumpah Pontianak.

Laporan menyebut, ketika Pontianak ditayangkan di panggung dulu, ada penonton terkejut  sampai pengsan-pengsan. Aura Maria juga secocok dengan peranan serikandi seperti dalam filem Siti Zubaidah dan Tun Fatimah serta kisah-kisah dari istana termasuk filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang dan Raja Bersiong.

Harus dinyatakan beliau juga adalah produser wanita pertama dalam sejarah perfileman Melayu selain mampu menyanyi dengan baik. Pun begitu, Maria mengambil keputusan untuk bersara apabila disunting Almarhum Sultan Pahang, Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al Mu’azzam Shah pada 1963.

Apa yang ingin saya imbas di sini, bakat mahupun aura pelakon kita telah lama membuka mata karyawan perfileman asing. Bukan sahaja Ibrahim Pendek dan Maria Menado malah P. Ramlee juga seorang insan seni terbilang yang pernah mendapat ‘standing ovation’ daripada pengarah legenda Raj Kapoor sesudah menyaksikan persembahannya dalam filem Ibu Mertuaku di Tokyo sehingga diberi trofi khas, The Most Versatile Talent. Dan rekod itu rasanya masih belum dipecahkan.

Daripada legasi mereka tadi, barulah datang giliran pelakon lain membintangi filem Hollywood, Hong Kong dan Kollywood (Tamil) seperti Puan Seri Tiara Jacquelina (Beyond Rangoon), Tan Sri Michelle Yeoh (Tomorrow Never Dies), Dato; Syed Alwi Syed Hassan & Deanna Yusof (Anna and the King), Aznah Hamid (Priya), Dato’ Rosyam Nor (Kabali) dan Henry Golding (Crazy Rich Asians).

Lalu haruskah kita berhenti di sini? Lain zaman, lain pula permainan peluangnya. Tidak pernah ada yang mustahil. Pernahkah anda terfikir sebuah filem Hollywood yang diarahkan James Wan dibintangi Michelle Yeoh dan Henry Golding, sementara lagu tema OSTnya dinyanyikan pula oleh Yuna? Pernah? - Getaran, 6 Mac, 2021

Isu Pada

Mizz Nina

06 Mar 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 12 jam yang lalu

ONEUS Pun Terikut Trend Lagu Alamak Raya

2

Filem & TV 1 minggu yang lalu

Reviu Filem: 'Sheriff' Filem Syafiq Yusof Paling Berani, Papar Sisi Gelap PDRM

3

Filem & TV 1 minggu yang lalu

'Sheriff' Karya Paling Jujur, Janjikan Kelainan Sisi Polis

4

Sukan 1 minggu yang lalu

Pecahkan Dominasi JDT Musim Ini - Azman Adnan

Sorotan

1

Anak MB Perlis, 4 Yang Lain Dilepas Dengan Jaminan SPRM

2

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

3

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

4

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

5

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

6

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

7

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi