Sebagai pengamal media yang telah berkecimpung dalam industri ini lebih dua dekad, saya memang pantang dengar orang ugut nak saman. Semua orang mempunyai hak di sisi undang-undang.
Namun, jika sesuatu berita itu hanya fitnah semata-mata dan jika kedua-dua pihak tidak dapat mencapai persetujuan, samanlah.
Tetapi apabila wartawan menulis laporan berdasarkan fakta dan ada pihak tersinggung, tak perlulah nak ugut saman.
Saya mengungkit perkara ini kerana minggu lalu saya terbaca hasil nukilan seorang wartawan sukan di laman Facebooknya.
Muhammad Aiman menulis: "Bagi aku senang, boikot jer, takyah bagi publisiti langsung kalau itu cara dia. Dia meroyan takpe, tapi kalu player mengeluh, merungut dia nak saman media. Acaner tu? Bila ditulis benda positif takde pun share artikel tu di platform media sosial masing-masing, bila tulis negatif laju jer mengugut ..."
Aiman tidak mendedahkan identiti pemain mahupun pasukan. Tapi perkara ini biasa kedengaran sejak kebelakangan ini.
Ada yang kata 'berani tulis, berani tanggung'. Saya setuju.
Tapi saya masih ingat lagi reaksi Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah Shah apabila kami bertemu di Kongres Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) lebih sedekad lalu.
Almarhum Sultan mencuit perut saya dan berkata: “You, you always below the belt huh. But don’t worry, I’ll never get angry with you."
Kesimpulannya, kepada rakan-rakan seperjuangan, teruskan menulis berdasarkan fakta. Kepada pemain dan pengurus, tak perlulah nak ugut-ugut pihak media.
Kalau nak saman, silakan. Jika tidak, belajarlah dari Almarhum Sultan. Kalau seorang raja boleh menerima kritikan membina, kenapa anda tidak boleh?
Satu lagi isu yang saya pantang dengar ialah isu perkauman terutama dalam sukan.
Penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun diejek dengan panggilan monyet oleh penyokong yang berada di luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras ketika beraksi menentang Kuala Lumpur United merebut Piala Prihatin Sabtu lalu.
Agak ironik, kerana kedua-dua pasukan berentap untuk Piala Prihatin tetapi segelintir penyokong tidak prihatin langsung terhadap isu perkauman.
Di dalam sukan, warna kulit tidak mempunyai sebarang makna. Saya akui Malaysia tidak bebas dari isu perkauman, sama seperti negara-negera yang lain.
Isu perkauman merupakan penyakit kronik yang merencatkan industri sukan di seluruh dunia.
Tetapi janganlah kerana segelintir penyokong yang tidak berpendidikan dan kurang matang, nama baik majoriti peminat sukan di Malaysia rosak.
Tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) berkata mereka memandang serius apa yang diperkatakan oleh pengendali Selangor, B. Sathiananthan mengenai komen-komen berbaur rasis di media sosial.
Nampak gayanya FAM dan MFL tidak mampu menangani masalah ini. Untuk mengharapkan FAM and MFL sahaja juga tidak tepat.
Persatuan negeri juga harus mengambil langkah proaktif dan bukan sekadar membuat kempen melalui media sosial. Ibu bapa dan keluarga juga memainkan peranan yang penting.
Kita semua harus berganding bahu dalam isu ini. Sebagai permulaan, buanglah lensa perkauman dari mata anda. - Getaran, 5 Mac 2021
Haresh Deol seorang wartawan yang mempunyai pengalaman 20 tahun dalam media. Beliau adalah pemenang dua kali Anugerah Institut Akhbar Malaysia (MPI) dan merangkul tujuh anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM). Beliau boleh dihubungi di akaun Twitternya @HareshDeol.