Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Gangguan Bekalan Air Tiada Nokhtah?

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 07 Oct 2021 11:12AM

Gambar hiasan

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

SIMPAN air! Ingatan mesra untuk warga Selangor dan Wilayah Persekutuan (WP). Bertabahlah sekali lagi menghadapi gangguan bekalan air dari 13 hingga 16 Oktober ini.

Menurut Air Selangor, 998 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor terjejas.

Bermula pukul 9 pagi 13 Oktober 2021, gangguan dijangka pulih sepenuhnya pukul 9 malam 16 Oktober. Punca gangguan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1 yang dirancang sejak 2019 tetapi tergendala.

Kerana sudah terlalu kerap, gangguan bekalan air sama ada berjadual atau tidak, sudah lumrah bagi warga Selangor dan Wilayah Persekutuan. Walau pun penambahbaikan dan penyenggaraan dijalankan, gangguan berterusan bagai tiada nokhtah.

Baru sahaja awal September lalu bekalan di 463 kawasan di Selangor dan Putrajaya terganggu apabila LRA Sungai Semenyih dihenti tugas sepenuhnya. Puncanya pencemaran bau pada sumber air mentah di Stesen Pam Air Mentah, Jenderam Hilir. 

Jika disorot kembali, sepanjang tahun 2020, sembilan pencemaran sumber air mentah dan lapan kali gangguan bekalan air berlaku. Sebab utama ialah perbuatan tangan-tangan jahat yang sesuka hati melupuskan sisa buangan ke dalam sungai.

Pada 17 Mac 2020 gangguan berlaku akibat pencemaran bau. Jutaan pengguna terjejas. Siasatan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati puncanya sisa buangan bengkel jentera berat di Sungai Gong, Rawang.

Pada 27 Mac, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 dihenti tugas akibat pencemaran sisa minyak di Sungai Selangor angkara kilang bahan binaan di Bestari Jaya.

Pada 16 April 2020 empat LRA utama dihenti tugas gara-gara aliran air daripada kolam ternakan ikan di Hulu Selangor, mencemarkan bekalan air mentah di Sungai Selangor.

Pada 27 Mei, LRA Sungai Selisik dihenti tugas apabila lori membawa minyak disel terballik berhampiran Behrang. Minyak tumpah dan mengalir ke Sungai Siah di Perak, terus ke LRA Sungai Selisik.

Selang empat bulan, pada 3 September gangguan berulang. Pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor angkara kilang melepaskan bahan pelarut ke Sungai Gong, seterusnya mengalir ke Sungai Selangor. Sejumlah 1,292 kawasan di Selangor dan Kuala Lumpur terjejas.

Sebulan kemudian pada 4 Oktober 2020, bau bangkai dikesan di Sungai Pajam, Negeri Sembilan mengakibatkan pencemaran di Sungai Semenyih dan Sungai Langat. Bekalan terjejas apabila LRA Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan.

Pada 19 Oktober, operasi LRA Sungai Selangor 1, 2, dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihentikan apabila bahan pelarut dikesan, dipercayai dibuang oleh bengkel memperbaiki dan menjual jentera pembinaan. Sejumlah 1.2 juta akaun terjejas.

Pada November, LRA Sungai Selangor 1, 2 dan 3 dan LRA Rantau Panjang dihenti tugas lagi. Industri di kawasan perindustrian Taman Velox, Rawang melupuskan bahan buangan berjadual memasuki Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan seterusnya Sungai Selangor.

Pada 8 Disember 2020, bekalan air di 1,274 kawasan di Selangor dan Kembah Klang terjejas ekoran henti tugas LRA Sungai Selangor 1, 2 dan 3 serta LRA Sungai Panjang berikutan bau bangkai ikan pada sumber air mentah yang diambil pada muka sauk LRA.

Ini gara-gara kolam ternakan ikan mengeringkan kolam tetapi melepaskan air ke Sungai Selangor, lapan kilometer dari LRA Rantau Panjang. Bekalan air di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

Jelas dalam kebanyakan insiden, punca utama gangguan bekalan air ialah pencemaran akibat perbuatan tidak bertanggung jawab sektor industri. Kes melibatkan tumpahan minyak, pencemaran bau, efluen industri dan akuakultur.

Dianggarkan 15,361 kilang dan industri berlesen direkodkan beroperasi di dua lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat sehingga 2019.

Daripada jumlah itu, 223 kilang dan industri berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dengan 72 premis terletak di lembangan Sungai Selangor dan 151 di lembangan Sungai Langat. Ini tidak termasuk industri haram.

Industri ialah petualang utama menyusahkan jutaan pengguna. Kerana itu pemilik industri yang melakukan kesalahan mesti dihukum berat tanpa belas kasihan. Sudah ada di antara mereka didakwa di mahkamah, selain industri diarah menghentikan operasi dan disita. Ini semua tindakan positif.

Mana-mana industri yang didapati mencemarkan sungai, jangan perbaharui lesen mereka. Juga hentikan pemberian lesen industri di lembangan sungai kerana berpotensi besar mencemarkan sumber air dengan melupuskan sisa buangan.

Gangguan bekalan air sudah terlalu kerap berlaku. Pihak Air Selangor mesti berusaha menghentikan masalah ini. Tingkatkan keupayaan LRA dan gantilah aset usang agar penyenggaraan tidak perlu kerap dilakukan. Kasihan pengguna terus menderita. - Getaran, 7 Oktober 2021

Bekas Penolong Ketua Pengarang Kumpulan akhbar keramat Melayu, Utusan Malaysia. Masih sarat dengan jiwa dan naluri kewartawanan, menulis tanpa jemu, berkarya tanpa ragu. Graduan Sarjana Sains (Kewartawanan) Universiti Boston, lewat 1984.

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 minggu yang lalu

Ada Keperluan Mendesak Untuk Sumber Air Alternatif Di Langkawi 

2

Kolum 1 bulan yang lalu

Apabila AI Menjadi Peguam, Akauntan Dan Pemandu

3

Kolum 1 bulan yang lalu

Ruang Kecil, Impian Besar: Bagaimana Ruang Simpan Sendiri Buka Peluang, Potensi Untuk PKS

4

Kolum 1 bulan yang lalu

5G: Keperluan Atau Sekadar Gimik Pemasaran?

Sorotan

1

JS-SEZ, SFZ Mampu Pacu Ekonomi Johor Atasi Negeri Lain – PM

2

Peluang PN Menang Di KKB Lebih Besar Kalau Calon Melayu - Sanusi

3

MCMC Ambil Keterangan Chegubard, Salim Iskandar Dan Papagomo

4

Tun Musa Teguh Dengan Prinsip, Integriti – PM

5

200 Ulama Nusantara Dijangka Hadiri Persidangan Ulama Sedunia Mei Ini

6

Penumpang Terkandas Di Lapangan Terbang Selepas Letusan Gunung Berapi Menyebabkan Pembatalan Penerbangan