Berita Terkini

2 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 3 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (Bahagian III) 

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 Sep 2021 12:35PM

Gambar: Dayne Topkin, Unsplash

oleh

Ad Samad

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

"Harapkan pegar, pegar makan padi" - Peribahasa Melayu

Terdahulu di bahagian kedua rencana ini aku menzahirkan kekhuatiran mengenai penubuhan Perbadanan Industri Muzik Malaysia (Perbadanan).

Pengalaman daripada tragedi Music Rights Malaysia Berhad (MRM) dan pembubarannya yang mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit masih segar dalam ingatan, mentraumakan dan membawa kepada mimpi-mimpi ngeri berulang kembali. 

Para pencipta lagu kehilangan punca pendapatan yang amat besar.

Kini, kelihatannya pihak yang berjaya memusnahkan MRM sehingga berlaku pembubaran adalah pihak sama yang mahukan pembentukan perbadanan tersebut.

Hmmm... ada sesuatu yang berbau seperti bangkai tikus mereput dalam almari di bawah sinki.

Gambar hiasan: Gabriel Gurrola, Unsplash
Gambar hiasan: Gabriel Gurrola, Unsplash

Bermula dari sini dan seterusnya, aku akan gunakan perkataan 'pencipta' untuk pencipta melodi dan penulis lirik, 'pelaku' bererti penyanyi dan pemuzik, manakala 'publisher' bermaksud syarikat penerbitan lagu.

'Penggiat muzik' pula merangkumi para pencipta dan pelaku.

Antara syarikat atau organisasi yang penting dalam memastikan kemakmuran hidup sebagai penggiat muzik adalah; publisher, syarikat rakaman, badan perlesenan dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIpo).

Publisher dan syarikat rakaman adalah dua jenis perniagaan berbeza. Ramai yang keliru dan tidak tahu mengenai dua jenis perniagaan tersebut.


Publisher  

Publisher melibatkan para pencipta sahaja.

Ia adalah syarikat yang bertanggungjawab menguruskan 'lagu ciptaan' para pencipta untuk diperdagangkan bagi meraih keuntungan yang paling maksima kepada pencipta. 

Apabila sesebuah lagu pencipta digunakan secara komersial; publisher akan memastikan pengutipan dan pengagihan imbuhan yang berbentuk pembayaran royalti daripada para pengguna (pihak ketiga) kepada pencipta.

Sebagai contoh, apabila sesebuah lagu dirakam dan dijual di dalam apa jua bentuk komersial, publisher bertanggungjawab mengutip imbuhan daripada penjualan bagi pihak pencipta. Itu adalah mechanical royalty.

Satu lagi contoh ialah apabila lagu pencipta digunakan di dalam filem atau rancangan TV, publisher turut mengutip bayaran daripada syarikat penerbitan filem atau TV bagi pihak pencipta. Itu pula dinamakan synchronisation royalty.

Lain-lain hak yang membawa imbuhan atau royalti untuk diuruskan oleh publisher adalah grand right dan print right

Kedudukan publisher tiada di dalam Akta Hak Cipta Malaysia mahupun di mana-mana negara di dunia. Khidmat publisher adalah amalan atau norma di dalam industri muzik.

Publisher hanya wujud apabila ada dokumen yang berbentuk 'perjanjian penerbitan' atau publishing contract di antara pencipta dan syarikat penerbitan dimeterai atau dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak dengan terma yang ditetapkan.

Pendek kata, publisher hanya wujud kerana pencipta mahukannya.

Publisher bertanggungjawab menjaga moral rights dan membantu economic rights para pencipta dengan mewujudkan sistem dan proses pengurusan yang lengkap.

Moral Rights

1) Memastikan nama pencipta ditulis atau didaftar dengan kredit yang betul 

2) Mendokumentasikan judul karya dengan betul beserta peratus pembahagian mereka. 

Economic Rights

1) Mendaftarkan dokumen karya mereka kepada Badan Perlesenan bagi tujuan pendaftaran karya dan kutipan royalti. 

2) Memberi lesen untuk penggunaan karya lagu kepada pihak ketiga; pemilik rakaman untuk tujuan rakaman, perdagangan hasil rakaman (fizikal/digital) dan perlesenan karya bagi kegunaan pelbagai. 

Kepincangan di dalam ekosistem 

Di dalam ekosistem industri muzik Malaysia, terdapat pelbagai kepincangan yang telah berlaku di dalam perhubungan di antara pencipta dan publisher.

Malaysia adalah Dunia Ketiga, dan Harta Intelek memerlukan pemikiran Dunia Kelas Pertama.

Perhubungan di antara beberapa publisher kapitalis yang tidak jujur atau unscrupulous dengan para seniman yang jahil, melalui kontrak yang berat sebelah mengakibatkan jurang kemakmuran atau jurang ekonomi yang sangat luas. 

Di dalam erti kata yang lebih mudah; banyak publisher (dan syarikat rakaman) telah 'meliwat' mengambil kesempatan ke atas para pencipta menerusi publishing contract yang tidak adil (malah tidak wujud) lalu mengakibatkan keuntungan lumayan kepada publisher tetapi penganiayaan besar terhadap pencipta dan para pewaris mereka.

Sebutkan satu nama pencipta lagu atau penulis lirik dari era 40-an sehingga1992 (sesuatu telah berlaku pada tahun tersebut), dan beliau pasti telah terperangkap, teraniaya dengan publishing contract yang pincang, malah kontrak yang tidak pernah wujud.

Kepincangan itu mengakibatkan kerugian besar kepada pencipta, zuriat dan pewarisnya. 

Gambar hiasan: Peter Aroner, Unsplash
Gambar hiasan: Peter Aroner, Unsplash

Malah, kerugian besar kepada bangsa dan negara dari segi budaya, sosial dan ekonomi.

Kebangkitan pewaris 

Baru-baru ini, salah seorang pewaris iaitu anak kepada seorang tokoh legenda tanah air telah berjaya mendapatkan haknya semula setelah menggunakan khidmat peguam bagi menuntut pembuktian kewujudan kontrak di antara bapanya dengan pihak publisher

Publisher itu telah gagal mengemukakan bukti dan kini sedang berusaha menawar 'dedak dedak' sebagai umpan.

Sebelum itu publisher itu telah mengaku kononnya mereka mempunyai kontrak. Selama bertahun tahun malah  berdekad mereka membuat untung dengan mengambil sebahagian besar royalti tokoh legenda kita. Terutamanya public performance royalty yang diterima menerusi badan pelesenan. 

Bukankah itu mencuri atau merompak namanya?

Dipercayai akan banyak lagi kes tuntutan sebegitu yang akan  menyusul kerana semakin ramai pewaris yang telah sedar bahawa ibu bapa mereka tidak pernah menandatangani kontrak penerbitan lagu dengan mana-mana pihak.

Kerugian keseluruhan bagi para pewaris aku anggarkan bernilai jutaan ringgit!

Dan, jutaan ringgit itu mengalir ke luar negara...

Tiada maaf bagimu 

Setiap insan melakukan kesilapan. Yang mustahak kita dapat mempelajari sesuatu daripada kesilapan lalu dan tidak mengulanginya lagi.

Tetapi menandatangani publishing contract yang salah, bagaikan tiada maaf bagimu! 

Mereka akan selamanya dipasung oleh publisher yang dilaknati dengan kayu jati di leher dan rantai besi di kaki.

Ramai pencipta lagu yang telah tersilap menandatangani kontrak yang berat sebelah itu, justeru tersiksa selamanya hingga ke akhir hayat, malah literally - secara harfiah ke alam barzah. Iaitu alam kubur.

Kesalahan para penggiat muzik masa silam dan hari ini adalah kerana kejahilan. 

Dan mungkin juga kerana nafsu muda untuk mengejar kepuasan diri dan kemahsyuran.

Tetapi takkanlah dosa sebegitu terhukum selamanya?

Kontrak yang menjerat penggiat muzik seumpama hukuman penjara seumur hidup yang tiada peluang parol, beserta tiada langsung ganjaran daripada memperbaiki diri dan berbuat baik. 

Itu sangat zalim, keterlaluan, dan menyedihkan.

Mengkaji amalan penerbitan dan layanan terhadap pencinta 

Untuk menggunakan khidmat peguam seperti yang dilakukan oleh salah seorang pewaris seniman legenda memerlukan wang ringgit yang sangat banyak serta keupayaan fizikal dan mental yang berkuasa tinggi untuk mengharungi ujian masa. 

Membawa kes tuntutan harta intelek ke mahkamah adalah sebuah war of attrition

Masa adalah kunci kejayaan.

Syarikat-syarikat gergasi yang kaya raya menerusi barisan para peguam bereputasi tinggi, boleh menggunakan pelbagai taktik penangguhan demi penangguhan untuk melengahkan masa sehingga melemahkan moral seseorang individu yang hanya mampu bersandar kepada peguam pro bono, daripada meneruskan perjuangan menuntut hak dan keadilan. Akibat keletihan dan kelesuan, tenaga akan semakin berkurangan untuk seseorang individu meneruskan perjuangannya, lalu mengalah dan beredar.

Pihak kerajaan sebagai penetap undang-undang, pelindung ekonomi, pemelihara sosial dan pemertabat budaya, mesti menilai semula dasar dan layanannya terhadap para pencipta, selaras dengan era Industrial Revolusion 4.0. 

Para pencipta dan inovator mestilah diberi galakan dan perlindungan agar terus mencipta dan berinovasi. Dengan adanya para pencipta yang inovatif akan memangkin dan memacu ekonomi negara, lalu membangun dan memakmurkan negara buat jangka panjang.

Golongan pencipta lagu adalah sebahagian kecil daripada kelompok para pencipta yang dimaksudkan. Golongan yang dianggap lebih penting adalah para pencipta dan inovator di bidang teknologi dan saintifik.

Tetapi cara kita melayan para pencipta lagu adalah bayangan dan gambaran kepada cara kita melayan para pencipta di bidang teknologi dan saintifik.

Mungkin Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO) dapat membantu para pencipta dengan mewujudkan Biro Bantuan Guaman untuk mengkaji semula amalan perjanjian penerbitan atau publishing contract dan membantu para pencipta mendapatkan hak yang selayak dan sewajarnya. 

Kewujudan Tribunal Hak Cipta mestilah dipromosikan dengan rancak agar meningkatkan kesedaran para pencipta mengenainya, terutamanya mengenai prosedur membuat tuntutan perihal harta intelek.

Ia adalah selari dengan misi MYIPO seperti yang tertera di laman sesawangnya; "...menyediakan infrastruktur perundangan yang kukuh dan sistem pentadbiran yang cekap ke arah meningkatkan kreativiti dan eksploitasi harta intelek".

Tidak cukup ruangan ini untuk aku rakamkan betapa banyaknya kecurangan yang telah dilakukan oleh beberapa publisher durjana yang bernafsu kapitalis buas terhadap anak seni bangsa kita, dari dahulu sehingga ke hari ini.

Pencipta lagu tidak perlukan publisher. Tetapi pencipta lagu mahukan publisher. Agar urusan dan kehidupan para pencipta dapat dipermudahkan. Lalu membawa keuntungan bersama kepada semua pihak.

Sayang sekali, pencipta lagu adalah seumpama pesawah yang membela burung pegar untuk menjaga padi daripada dimakan ulat.

Begitulah nasib badan; harapkan publisher, publisher makan pegar dan padi.


- Bersambung -


Penafian:

Rencana ini adalah pendapat peribadi dan bukan rujukan atau nasihat perundangan. Penulis sentiasa terbuka dan bersedia merubah fikiran apabila dikemukakan dengan fakta-fakta yang sedia ada dan baharu. - Getaran, 15 September 2021

Berita Berkaitan

1

Muzik 7 jam yang lalu

ONEUS Pun Terikut Trend Lagu Alamak Raya

2

Muzik 2 minggu yang lalu

'Cinta Tak Mungkin' Hadiah Raya Siti Nurhaliza

3

Muzik 4 bulan yang lalu

Tiket Konsert Siti Nurhaliza Licin Dijual Dalam Masa 2 Jam

4

Muzik 4 bulan yang lalu

Akhirnya Hindia Mendarat, Bawa Representasi Anak Muda

Sorotan

1

Pemilik Stesen Minyak Diminta Lapor KPDN Jika Diancam Sindiket

2

Najib Diberi Peluang Jelaskan Mengenai Dokumen 1MDB Ketika Disoal Siasat - Pegawai SPRM

3

Elak Ketirisan, Perkukuh Tatakelola, Boleh Beri Upah Lumayan Kepada Pekerja - PM

4

5 Laluan Ditutup Sementara Sempena Hari Penamaan Calon PRK KKB Esok

5

Misi Pelayaran Ke Gaza Ditangguhkan Berikutan Tekanan Rejim Zionis - FFC

6

Najib Tak Pernah Arah Pengurusan 1MDB Pindah US$1.03 Bilion Kepada Syarikat Jho Low – Saksi

7

Keperluan Teliti SOP Latihan Udara Bergantung Laporan Siasatan – Khaled