Berita Terkini

2 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Mari Sambut Merdeka Dengan Menggenggam Maknanya

Kolumnis kami, Wirda Adnan, mengupas erti merdeka dari sudut pandangannya hari ini.

Kolum Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 28 Aug 2021 1:24PM

Gambar Hiasan dari Bernama

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Melayan petang yang lenggang, menunggu azan maghrib berkumandang sambil membelek diari zaman bujang.

‘Dalam gelora dan taufan tak tercalar tekad kita kerana kemerdekaan mengasuh kita bersuara dalam sopan, yakin menyanggah musuh, tulus menambah kawan, inti tunggak dan menara kebahagiaan.

Kita datang bersama anak-anak yang sedia menyanyi sihat, teguh, bertekad dan berani. Mengelilingi tasik, mendaki gunung, kita mengajar mereka berjiwa besar dan berbakti.

Tanah air akan indah, megah dan bermaruah jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah; dan bumi akan subur, makmur dan mewah jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita; kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.  Petikan: Hidup Bersama - A. Samad Said 

Saya tidak ingat, mengapa saya mengukirkan puisi A. Samad Said di diari ini tetapi yang saya tahu Sasterawan Negara ini adalah peniup semangat juang saya sebenarnya. 

Kalau orang memanggilnya Pak Samad, saya tidak. Saya membahasakan beliau Abang Samad. Kemesraan yang sekian lama terjalin kerana kami berjiran. 

Abang Samad sering bercerita mengenai kemanusiaan, kedaulatan negara dan keindahan alam anugerah Allah. Ketajaman fikirannya dengan penggunaan bahasa yang cukup indah lagi bernas sering membuat saya leka mendengar ceritanya. 

Saya bangga, walau saya ini bukanlah siapa-siapa, cuma anak saudara kepada Subky Latif, kawan dan jiran A. Samad Said, maka saya diterima sebagai kawannya juga.

Abang Samad banyak mengajar saya menjadi manusia bertimbang rasa, manusia kalau berbicara jangan mengikut hati muda semata, tetapi lembutkan suara dan jujur dalam berkata. 

Terkenang lagi, di satu pagi (awal 80-an). Cuti. Abang Samad singgah untuk mengucapkan kepada kami, ‘Selamat Menyambut Hari Merdeka’. Bersamanya bungkusan makanan untuk kami makan, duduk semeja sebagai satu keluarga sambil bercerita. 

Cerita tentang zaman silam yang memanggil anak muda untuk menghadapi cabaran hidup. Cerita untuk mengukuh perpaduan negara, cerita untuk Malaysia satu bangsa di tanah Merdeka supaya bangun membina perpaduaan rakyat berbilang bangsa dan agama. 

Sungguh kemerdekaan itu diraikan dengan penuh kecintaan, kerana mereka faham sangat erti kemerdekaan sebenarnya. Banyak nyawa yang berkorban, banyak derita daripada bahagia, dalam sengsara dan merana lalu bangun mempertahankan negara demi hari depan anak dan cucu kita. 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Para pembela bangsa, yakni nenek-nenek kita, tidur mereka bukan berlapik tilam Dunlopillo, makan mereka sekali sehari itu pun kadang-kadang tiada, minum air dari telaga, pakaian daripada kain-kain perca, bermimpi sahajalah untuk melihat sepasang baju diperbuat daripada sutera.

Sang isteri atau anak dara langsung tidak mengenal bedak dan gincu. 

‘Merdeka itu bukanlah suatu benda yang mudah boleh didapati, melainkan ialah dikehendaki untuk mendapatkannya itu, iaitu pengorbanan yang sebenar pengorbanan’. - Tunku Abdul Rahman, Bapa Kemerdekaan.

Berbanding anak-anak hari ini yang hanya seronok kerana perayaan Hari Merdeka adalah cuti umum. Dan banyak sale di Lazada, Shopee, serta KFC ada Extra atau Special Meal dan di mana-mana ada free gift for National Day. Itulah Merdeka pada anak muda hari ini. 

Sebaliknya hari lahir mereka itulah perayaan yang dinanti-nantikan terutama bila masuk usia 21 tahun. Yes, 21st birthdays are for celebrating youth, vitality and freedom.

“Mulai 31 Ogos 1957, (kita) akan menjadi sebuah negara berdaulat dan demokratis untuk selama-lamanya, yang dibina berdasarkan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa memperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan rakyatnya,” laung Perdana Menteri Pertama ini lagi.

31 Ogos menghampiri. Kini sudah 64 tahun merdeka. Laungan 'Merdeka' akan berkumandang lagi. Jom kita kibarkan jalur gemilang di halaman rumah masing-masing untuk menzahirkan rasa cinta terhadap negara.

Semangat cintakan negara harus diperteguhkan, yang dimahukan ialah kestabilan politik, kehidupan yang harmoni, saling mengasihi dan bersatu di kalangan rakyat meskipun berlainan kaum, agama dan latar belakang.

Aku anak merdeka

Bangkit dari persada luka

Berdiri megah di pentas tebus maruah bangsa 

Aku anak merdeka

Terjaga dari ranjang kecewa

Berpaksi gagah di panggung perkasa

Ingin ku bela nasib bangsa 

Aku anak merdeka

Harapan nusa dan bangsa 

Akan ku tentang petualang negara

Yang tegar membuat angkara 

Aku anak merdeka

Di hati semangat waja

Di dada penuh satria

Membela tercinta - (tidak diketahui penulisnya) 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Ya, 64 tahun sudah negara bebas penjajah, seusia penulis ini yang lahir tidak lama selepas Merdeka.

Penulis membesar dalam suasana yang damai, walau tidak dibesarkan dengan kemewahan dunia tetapi hidup tidak susah. Di atas meja tidak pernah tiada makanan.

Penulis dan keluarga bebas pergi ke mana saja. Memilih kerja seperti yang diimpikannya, pergi ke merata dunia, merasai nikmat hidup di bumi yang aman dan merdeka.

Namun kebelakangan ini penulis berasa sedih dan hampa. Tambah mengetahui setiap hari kematian menjadi tajuk di internet dan di peti TV. Dan ramai lagi menderita di wad yang sudah sendat.

Di luar pula rakyat hampa tiada kerja, nak makan apa, tidak sanggup meminta. Itu bukan cara hidup kita. Di pihak atas masih tidak reda dengan ‘perang’ berebut kuasa, mana masa hendak memberikan lebih tumpuan mengatasi masalah COVID dan masalah ekonomi negara.

Penulis ini mewakili rakyat jelata yang pasti mahu hidup di negara yang aman damai dan berdaulat. Mahu ahli masyarakatnya bersama-sama membina mengukuh ekonomi negara.

Mahu ahli masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Orang ramai tidak boleh ambil mudah tentang SOP.  Semuanya wajib mendapatkan vaksin dengan segera. Kerana rakyat mahu bangkit dan kembali bekerja lantaran operasi perniagaan berjalan seperti biasa. 

Rakyat sudah jemu duduk di rumah, terlebih banyak berehat daripada bekerja. Lulus universiti tetapi masih tidak boleh berdikari. Dulu ada yang makan gaji kini diberhenti.

Dulu berniaga di tepi-tepi lorong pun jadi, asal masuk rezeki tetapi sekarang sama ada tidak dibenarkan lagi atau tiada orang hendak membeli.

Dulu-dulu boleh ke sana ke sini, kini langkah terhenti. Angka kematian makin meninggi. Lebih menyesakkan hati, bila negara masih ditakuk 'no stability', rasuah menjadi-jadi dan rakyat yang dilukai. 

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Haruskah kita bergoyang kaki, tunggu dan lihat lagi?  Setiap daripada kita ada tanggungjawab sendiri. Kita boleh berbeza pendapat dalam politik negara, tetapi keadaan sekarang meminta kita semua bersatu.

Kurangkan sengketa, ketepikan pertelingkahan politik dan mari duduk bersama menanganinya. Jom kita pimpin tangan anak-anak kita supaya mencintai keamanan dan tanamkan rasa bangga menjadi rakyat Malaysia. 

Wahai yang duduk di kerusi yang disebut pemimpin-pemimpin negara. Andai tidak mampu menanganinya serahkan kepada yang mampu, yang ada kredibiliti dan kepandaian.

Cukup-cukup memenuhi kepentingan peribadi di balik topeng konon membela nasib rakyat jelata. Malulah kepada anak cucu kita yang melihat si tua-si tua ini tidak habis-habis berentap ingin berkuasa.

Malulah kepada dunia yang melihat dan menertawakan kita tidak habis-habis berebut kuasa di tengah pandemik yang menggila. 

Apa pun negara baru sahaja mendapat Perdana Menteri yang baru dan semalam, 27 Ogos 2021 jam 11 pagi, sudah disenaraikan menteri-menteri di dalam kabinetnya. Tahniah diucapkan. 

Beri Perdana Menteri dan pasukannya masa untuk mentadbir dan menangani masalah yang dibebani oleh rakyat kini, kita tunggu dan lihat. 

Selamat menyambut Hari Merdeka. Doakan yang terbaik untuk rakyat Malaysia.

Sebelum saya berundur, mungkin kata-kata ini boleh membangkitkan rasa sayang pada tempat tumpah darah kita.

‘Bangsa merdeka tidak akan menjajah sendiri kemerdekaannya. Negara merdeka tidak akan memperkaya penguasa atas kemelaratan rakyatnya. Mari merdeka dengan mengenggam maknanya’ - Ilham Gunawan 

- Getaran, 28 Ogos 2021

Semua gambar hiasan: Gambar Fail Getaran, kecuali tertera

Berita Berkaitan

1

Semasa 2 minggu yang lalu

Teladani Perpaduan Rakyat Sarawak, Urus Perbezaan Dengan Ihsan Dan Hikmah - PM

2

Semasa 3 minggu yang lalu

‘Perpaduan Pelbagai Kaum Hadiah Terbaik Untuk Saya’ - Agong

3

Semasa 1 bulan yang lalu

Jangan Jadikan Kelemahan Ringgit Senjata Politik - Anwar

4

Luar Negara 1 bulan yang lalu

Gaza: 700,000 Rakyat Palestin Kini Diancam Kebuluran

Sorotan

1

Pemain Badminton Negara Pamer Kekuatan Mental Menjelang Piasa Thomas, Uber

2

Pelajar Sekolah Meninggal Dunia Ketika Acara Larian Rentas Desa

3

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

4

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

5

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

6

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah