web statsweb stats

Berita Terkini

3 minggu yang lalu: PRN Negeri Sembilan: Hari pencalonan 18 Julai, undi awal 28 Julai dan hari mengundi 1 Ogos - SPR 3 minggu yang lalu: PRN Johor: Hari pencalonan 27 Jun, undi awal 7 Julai dan hari mengundi 11 Julai - SPR 6 bulan yang lalu: Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion untuk kesemua 25 pertuduhan 7 bulan yang lalu: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin disahkan meninggal dunia 8 bulan yang lalu: Ismanira Abdul Manaf, ibu kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan didapati bersalah atas tuduhan pengabaian anak hari ini

IKUTI KAMI


Hampir 3 Dekad Berlalu, Ekspedisi Everest 1997 Terus Jadi Inspirasi Rakyat Malaysia

Hingga 2026, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu, dengan pendaki Mohd Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai "Kicok" berjaya tiba di puncak pada 18 Mei, sekali gus mencipta pencapaian simbolik menjelang ulang tahun ekspedisi 1997 itu.

Kisah Kita Dikemaskini 1 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 23 May 2026 7:43PM

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hampir tiga dekad selepas rakyat Malaysia pertama, Datuk M. Magendran dan Datuk N. Mohanadas berjaya menawan Gunung Everest, ekspedisi bersejarah itu terus menjadi inspirasi kepada rakyat negara ini untuk melangkaui batas kemampuan dan mengejar impian tanpa rasa gentar.

Pada 23 Mei 1997, Magendran dan Mohanadas mencipta sejarah apabila menjadi rakyat Malaysia dan Asia Tenggara pertama berjaya menawan gunung berkendan menerusi Misi Everest Malaysia 1997 yang dianjurkan Persekutuan Mendaki Malaysia dengan sokongan Kementerian Belia dan Sukan.

Mengimbau ulang tahun ke-29 ekspedisi Everest Malaysia 1997, Mohanadas menyifatkan kejayaan itu sebagai bukti bahawa keazaman, kerja berpasukan dan sistem sokongan yang kukuh mampu mengatasi cabaran paling getir.

"la membuktikan bahawa 'Malaysia Boleh'," katanya kepada Bernama hari ini sambil mengenang ekspedisi yang meletakkan Malaysia dalam kalangan negara yang berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu.

Mohanadas berkata perjalanan menuju Everest bukan mudah, pada awalnya lebih 100 individu memohon untuk menyertai projek itu, namun hanya beberapa orang kekal selepas melalui proses pemilihan dan latihan yang ketat selama beberapa tahun.

Beliau berkata ramai calon berdepan kekangan kewangan, sukar mendapatkan cuti daripada majikan, komitmen keluarga dan pendedahan yang terhad terhadap pendakian gunung bersalji.

"Pada masa itu, kami tidak mempunyai pengalaman mendaki gunung bersalji. Kami hanya berlatih di gunung tempatan seperti Kinabalu dan kekurangan peralatan serta maklumat yang sesuai," katanya.

Beliau berkata berbeza dengan keadaan hari ini, pendaki Malaysia lebih mudah mendapatkan akses kepada sumber latihan dan peralatan, berbanding pada 1990-an apabila mereka perlu menjalani latihan persediaan selama beberapa tahun di luar negara termasuk di New Zealana, India dan Nepal.

Mohanadas berkata kejayaan ekspedisi 1997 itu turut mendorong rakyat Malaysia untuk mencabar diri dengan pelbagai cabaran luar biasa termasuk ekspedisi ke Kutub Utara dan misi antarabangsa lain.

"Dulu orang percaya mendaki Everest mustahil bagi rakyat Malaysia, namun selepas kejayaan itu, ramai sedar mereka juga mampu mencapai apa yang sebelum ini dianggap mustahil," katanya.

Mengulas peningkatan populariti aktiviti pendakian dalam kalangan belia hari ini, Mohanadas berkata kisah Everest itu masih relevan dalam menyemai nilai ketahanan diri, kesabaran dan ketekunan.

"Cabaran hidup, sama ada dalam aspek fizikal, peribadi atau kerjaya, boleh ditangani sekiranya ada keazaman, keyakinan dan persiapan yang baik," katanya.

Beliau turut mengingatkan rakyat Malaysia bahawa pencapaian besar memerlukan pengorbanan dan ketabahan, sambil menegaskan persediaan misi Everest itu sendiri mengambil masa hampir tiga tahun sebelum pasukan berjaya menawan puncak.

Hingga 2026, seramai 30 rakyat Malaysia berjaya menawan puncak tertinggi dunia itu, dengan pendaki Mohd Khafiz Bachok atau lebih dikenali sebagai "Kicok" berjaya tiba di puncak pada 18 Mei, sekali gus mencipta pencapaian simbolik menjelang ulang tahun ekspedisi 1997 itu. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Kisah Kita 6 bulan yang lalu

‘Bengkel Ini Untuk Semua’, Eng Chin Bangun Ruang Automotif Berbilang Bangsa

2

Kisah Kita 1 tahun yang lalu

Bosan Selalu Dihina, Ara Nekad Jadi Wanita ‘Sado’

3

Kisah Kita 1 tahun yang lalu

Derita Mangsa Banjir Dorong TTCM Lancar Misi Bantuan

4

Kisah Kita 1 tahun yang lalu

‘Bantuan Bukan Untuk Publisiti, Mereka Juga Perlukan Perhatian’ - Sivakumar

Sorotan

1

Video Buaya Baham Anjing Cetus Kebimbangan Pengunjung Port Dickson

2

PRN Johor: Lebih 300,000 Pengundi Luar Dijangka Pulang Mengundi

3

Masa Depan Nelayan Dan Ekonomi Pesisir Jadi Keutamaan, Faizul Tekad Ubah Masa Depan Tanjung Surat

4

Bakal Berdepan Nama Besar, Calon ‘Underdog’ DUN Pasir Raja Tenang Hadapi Saingan

5

PRN Johor: 3,500 Polis Johor Bertugas Untuk Undi Awal Esok 

6

PRN Johor: Kempen Masuki Fasa Penentuan, Calon Ganda Usaha Raih Sokongan