Berita Terkini

3 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 2 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Graduan Biologi Marin Dinobat Finalis Anugerah Belia Komanwel 2021

Kisah Kita Dikemaskini 3 tahun yang lalu ยท Diterbitkan pada 08 Feb 2021 5:28PM

Mogesh Sababathy

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR : Mogesh Sababathy, 23 hanya seorang anak muda biasa, tetapi menyimpan impian setinggi gunung, untuk menyelamatkan laut dan seisi kehidupan di dalamnya, demi keseimbangan ekosistem alam. 

Buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu, laut bukan sekadar sebahagian daripada alam, tetapi menjadi medan untuk beliau melampiaskan kerinduan terhadap zaman kanak-kanak yang penuh keindahan. 

Pengalaman membesar di Wilayah Persekutuan Labuan selama enam tahun kerana mengikut bapa yang bertugas sebagai anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuatkan Mogesh belajar untuk menjadikan laut sebagai sebahagian daripada kehidupan. 

“Saya masih dapat mengingati dengan jelas kenangan berlarian di tepi pantai, menghirup udara segar dan angin laut yang mendamaikan, selain pemandangan indah setiap kali matahari terbit atau terbenam,” katanya kepada Getaran. 

Kini bertugas sebagai Pembantu Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mogesh pada usia semuda ini sudah mencatatkan pencapaian membanggakan apabila dinobatkan sebagai finalis Anugerah Belia Komanwel 2021. 

Anak kedua daripada lima adik beradik itu berkata, penghasilan projek khas yang menumpukan kepada usaha memulihara hidupan marin, dikenali sebagai Ocean Hope itu adalah faktor yang membawa kepada pemilihannya sebagai finalis anugerah berkenaan. 

Kecewa melihatkan sejumlah besar pesisiran pantai ditimbuni sampah sarap, Mogesh berkata, ia menyemarakkan keinginannya untuk menggerakkan usaha memulihara alam sekitar dengan agresif. 

“Sewaktu di Labuan, saya sering melihat kesucian pantai dicemari timbunan sampah sarap yang memualkan. 

“Ini menguatkan hasrat untuk menubuhkan inisiatif yang boleh membantu saya menumpukan kepada usaha memulihara alam sekitar dengan efisien,” katanya. 

Mogesh, graduan Sarjana Muda Biologi Marin dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu menambah, beliau seakan tidak percaya projek Ocean Hope yang diusahakan berjaya membuatkan namanya disenarai pendek untuk menggondol anugerah terbabit. 

“Projek terbabit memfokus kepada pembangunan lestari hidupan marin, dan saya percaya ia mendapat perhatian juri kerana aspek itu adalah antara isu yang amat kritikal ketika ini,” katanya. 

Ocean Hope pada awalnya hanya sebuah forum, sebelum diangkat menjadi sebuah projek khas di bawah sokongan Majlis Belia Malaysia bagi menangani masalah berkaitan hidupan marin. 

Menjelaskan dengan lebih lanjut beliau berkata, projek berkenaan diharapkan mampu meningkatkan kesedaran ramai berhubung pemuliharaan alam sekitar dan kepentingan menjaga ekosistem, khususnya di dasar laut. 

Mogesh yang mengasaskan projek berkenaan dengan kerjasama UMT memberitahu, Ocean Hope turut menjadi penaung kepada beberapa program kecil seperti Ocean Hope 2019 School Tour, Ocean Awareness Program serta Program Kesedaran Laut dan Penyu Tuntung di Kemaman. 

Mogesh Sababathy (dua dari kiri) bergambar dalam satu forum
Mogesh Sababathy (dua dari kiri) bergambar dalam satu forum

Selain itu, Ocean Hope turut terbabit dalam melaksanakan projek komuniti pendidikan bagi mengurangkan tabiat memancing di kawasan larangan, selain menganjurkan siri webinar berhubung sistem pengurusan sampah. 

Lebih mengagumkan, siri webinar itu berjaya menarik penyertaan lebih 10,000 individu yang mewakili 15 negara. 

“Semua program ini  merangkumi aktiviti pembersihan di pantai dan kempen kesedaran tentang kehidupan laut. 

"Menyedihkan bagi saya, apabila kesedaran orang ramai berhubung kepentingan untuk memulihara alam sekitar masih tidak begitu mendalam, malah ramai berpendapat ia bukan sesuatu yang perlu untuk dipertahankan,” keluhnya. 

Keputusan Anugerah Belia Komanwel 2021 akan diumumkan secara dalam talian pada 10 Mac depan, dengan menawarkan hadiah wang tunai berjumlah 5,000 pound (RM27,862) dan trofi untuk pemenang utama. 

Bagi kategori wilayah, pemenang akan menerima hadiah berupa wang tunai 3,000 pound (RM16,718) dan trofi. 

Anugerah itu turut menawarkan wang tunai berjumlah 1,000 pound (RM5,572) dan trofi kepada setiap finalis. - Getaran, 8 Februari 2021 

Sorotan

1

Jenazah Tun Hanif Omar Selamat Dikebumikan Di Bukit Kiara, Sebelah Pusara Anaknya

2

Anwar Beri Penghormatan Terakhir Kepada Mendiang Joseph Kurup

3

DNB Telus Dalam Jalankan Operasi

4

Malaysia, Thailand Tingkatkan Kerjasama Perangi Jenayah Rentas Sempadan

5

Lelaki Sindrom Down Melecur Disimbah Air Panas Dalam Lif

6

8 Aksi Pramusim Digunakan Untuk Uji Sistem VAR - Stuart