Berita Terkini

4 hari yang lalu: Hafizul Hawari yang disyaki terbabit dalam kejadian tembak di KLIA Terminal 1 pada 14 April lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pagi tadi terhadap 7 pertuduhan 5 hari yang lalu: 10 anggota dan pegawai TLDM dikhuatiri maut selepas dua pesawat bertembung pada sesi Latihan Lintas Hormat Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90, di Pangkalan TLDM Lumut 1 minggu yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 2 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 2 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok.

IKUTI KAMI


Fikir Bunuh Diri Seawal Usia 11 Tahun, Senario Serius Harus Dicantas Sebelum Bertunas

Kisah Kita Dikemaskini 2 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 23 Feb 2024 8:23PM

gambar BERNAMA

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Hampir saban minggu, ada sahaja kes kematian tragis individu pada pelbagai peringkat usia yang diklasifikasikan oleh pihak polis sebagai 'mati mengejut', dilaporkan oleh media.

Punca kematian pula sama ada lemas selepas terjatuh dari jambatan, kecederaan parah kerana jatuh dari bangunan tinggi serta pelbagai lagi, namun umum memahami, kebanyakan kes berkenaan melibatkan mereka yang bertindak menamatkan riwayat sendiri atas pelbagai faktor, majoritinya kerana kemurungan.

Kes-kes tersebut membawa ingatan penulis kepada satu taklimat yang diadakan oleh pihak sekolah anak penulis pada tahun lalu.

"Jangan pandang remeh Modul Minda Sihat, kerana dari situ kita dapat mengesan tahap kesihatan mental anak. Modul ini telah membantu pihak sekolah menangani kes seorang murid Tahun Lima yang tanpa teragak-agak menyatakan kesediaan untuk membunuh diri sebagai menjawab satu soalan dalam penilaian tersebut.

"Hasil siasatan kami, rupa-rupanya anak ini mempunyai masalah keluarga dan kami mengambil tindakan pantas merawatnya," kata guru besar sekolah ketika mendedahkan insiden itu, membuatkan penulis dan ibu bapa lain yang hadir terdiam.

Ketika itu terdetik di hati penulis, 'darjah lima sudah tahu mengenai bunuh diri', sedangkan ketika penulis seusianya dulu, istilah tersebut tidak pernah didengari. Apatah lagi untuk mengungkapkan hasrat sedia berbuat demikian.

Mahu 'Tamatkan' Episod Sakit

Meskipun di negara ini isu bunuh diri dalam kalangan kanak-kanak di sekolah rendah boleh dikatakan terpencil kerana jarang berlaku, pakar menasihatkan ibu bapa dan pihak yang bertanggungjawab supaya tidak mengambil ringan.

Prof Dr Haslinda Abdullah
Prof Dr Haslinda Abdullah

"(Pada usia itu), mereka tidak tahu kesan dan akibat perbuatan mereka (termasuk bunuh diri). Yang mereka faham adalah, apabila buat perkara itu, maka selesai masalah mereka. Pada peringkat usia ini, mereka tidak tahu bagaimana hendak uruskan emosi mereka, dan akan cari jalan untuk bebaskan diri daripada rasa 'sakit'. 

"Bagi orang dewasa, mungkin ada yang menganggap masalah yang didepani oleh anak pada usia ini hanyalah perkara kecil, namun bagi mereka tidak begitu," jelas Pengarah, Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Haslinda Abdullah kepada BERNAMA.

Tambah beliau, sekalipun dari sudut agama Islam khususnya, golongan ini sudah dianggap mumaiyiz, iaitu tahu membezakan antara buruk dan baik, tahap pemahaman mereka belum benar-benar konkrit kerana bahagian lobus frontal otak yang antara fungsinya adalah menilai dan merancang sesuatu, belum berkembang sepenuhnya.

Menyokong pandangan itu, pakar psikiatri, Dr Ruziana Masiran berkata, pada peringkat usia berkenaan, kanak-kanak boleh memahami konsep yang kompleks, termasuk mengenai kematian dan bunuh diri.

Namun, pemahaman mereka mengenai emosi yang berkaitan serta akibat tindakan mencederakan diri dan implikasi ke atas dirinya serta orang lain, adalah terhad.

"(Justeru) Ibu bapa, penjaga dan pendidik harus mendengar luahan anak-anak, menyokong emosi dan mengambil langkah yang sesuai untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mental mereka," kata Pakar Perunding Psikiatri dan Pensyarah Perubatan Kanan Klinik Psikiatri Kanak-Kanak & Remaja, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah UPM itu.

Seperti Langit Dengan Bumi

Melihat perbezaan era dahulu dan sekarang yang umpama langit dengan bumi sebagai antara penyumbang tekanan kepada kanak- kanak sekarang, Dr Ruziana berkata, jika tiga dekad dahulu perkara yang memonopoli kanak-kanak adalah bermain dengan rakan sebaya, kini mereka dikelilingi pelbagai cabaran termasuk tuntutan akademik, harapan ibu bapa dan sebagainya.

"Tidak dapat disangkal, kanak-kanak hari ini sering menghadapi jangkaan akademik yang lebih tinggi, dan tekanan untuk cemerlang di sekolah boleh menyebabkan stres, kebimbangan dan rasa tidak cukup bagus.

"Apatah lagi tahap sukatan mata pelajaran sekarang jauh lebih tinggi berbanding dahulu," katanya.

Tambah beliau, pengaruh media sosial dan buli siber turut menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak.

Menerusi media sosial, kanak-kanak terdedah kepada kandungan berbahaya yang boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan mental mereka, katanya.

"Selain itu, kurangnya sokongan sosial, iaitu perubahan dalam struktur keluarga, peningkatan mobiliti dan pergantungan pada teknologi untuk komunikasi menjadi menyumbang kepada penurunan rangkaian sokongan sosial untuk kanak-kanak, menyebabkan mereka berasa terasing atau terputus hubungan dengan individu yang sepatutnya memberikan mereka sokongan moral," tambah beliau.

Berkongsi kes kendaliannya, Dr Ruziana berkata, beliau pernah merawat pesakit berusia 11 tahun yang mengalami kemurungan akibat masalah keretakan rumah tangga ibu bapa yang tidak diuruskan dengan baik.

"Tekanan diburukkan lagi oleh situasi sekolah di mana rakan-rakan sebaya menyisihkannya. Sekiranya emosi negatif berlarutan, pesakit selalunya akan terfikir ataupun telah melakukan cubaan untuk mencederakan atau membunuh diri," ujar beliau.

Kongsi pakar itu, bagi mengendalikan kes sedemikian, doktor psikiatri perlu mengambil masa serta sabar semasa merawat.

"Pesakit umur mentah ini kita lihat dari segi luahan. Ada ketikanya mereka tidak tahu bagaimana untuk menerangkan apa yang mereka lalui. Ada antara mereka yang telah hilang kepercayaan pada orang sekeliling, jadi kami perlu menjaga kepercayaan pesakit dengan sebaik mungkin," katanya.

Membimbangkan 

Mengulas lanjut, Dr Ruziana berkata, selaku pakar psikiatri, tahap kesihatan mental kanak-kanak atau remaja dirumuskan sebagai serius jika mereka menyatakan atau menunjukkan kecenderungan untuk mencederakan atau membunuh diri.

"Apabila mereka tunjukkan kecenderungan ini, perlakuan itu sebenarnya adalah satu isyarat 'meminta tolong', supaya mereka diselamatkan daripada kemelut emosi yang mereka lalui," jelas beliau lagi.

Dr Ruziana Masiran
Dr Ruziana Masiran

Memetik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022, beliau berkata, berlaku peningkatan dalam pemikiran bunuh diri dan kadar percubaan bunuh diri dalam kalangan remaja, iaitu 13.1 peratus berbanding 10 peratus pada 2017 (pemikiran bunuh diri) dan 9.5 peratus berbanding 6.9 peratus pada 2017 (cubaan bunuh diri) dalam kalangan remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun.

"Lazimnya pemikiran bunuh diri dalam kalangan remaja perempuan lebih tinggi berbanding lelaki iaitu 18.5 peratus, manakala 13.4 peratus untuk cubaan membunuh diri," katanya.

Bukan itu sahaja, kajian Institut Penyelidikan Tingkahlaku Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada 2022 bagi menilai tahap kesihatan mental remaja dan kanak-kanak yang tinggal di 37 Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang semasa COVID-19, mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.

"Statistik yang menggerunkan ini menyerlahkan keperluan kritikal untuk menyediakan langkah yang tepat pada masanya dan sokongan kesihatan mental kepada golongan kanak-kanak sebelum mereka menginjak usia remaja," tegas beliau.

Pengesanan Awal

Menekankan kepentingan peranan ibu bapa, Dr Ruziana berkata, mereka perlu memantau kelakuan anak masing-masing agar dapat mengesan lebih awal sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan oleh si anak.

"Awasi tingkah laku anak seperti perubahan mood, pengurangan aktiviti, perubahan pola makan atau tidur, ekspresi sedih, gelisah yang nyata. Sentiasa bertanya khabar dan tanya soalan terbuka tentang perasaan mereka dan jika ada apa-apa yang mengganggu mereka dengar dengan aktif dan sahkan emosi mereka," saran beliau.

Sementara itu, Haslinda yang senada berkata, pengesanan awal dapat menghindari si anak daripada melakukan perkara-perkara berbahaya.

"Kita faham, sekarang ini ibu bapa tersepit dengan pelbagai masalah, termasuk kena buat dua tiga kerja bagi menampung kos sara hidup. Namun, komunikasi dengan anak harus diutamakan.

"Bila kita bercakap mengenai komunikasi, bukan bermaksud tanya kerja rumah dah siap ke, sudah belajar belum, yuran sudah dijelaskan atau tidak... contoh komunikasi adalah tanya anak, 'hari ini di sekolah okey ke', 'kawan bagaimana, ada yang nakal tak?'," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menolak bahawa ada ibu bapa yang tidak tahu kaedah berkomunikasi dengan betul.

Ubah Stigma, Perubahan Dasar

Menyifatkan pendekatan cegah sebelum parah sebagai antara kaedah terbaik bagi menangani gejala kemurungan dalam kalangan kanak-kanak, Dr Ruziana bagaimanapun berkata, stigma masyarakat terhadap masalah kesihatan mental menghalang individu daripada mendapatkan bantuan. 

"Akses kepada perkhidmatan kesihatan mental termasuk kaunseling dan terapi masih terhad di Malaysia, khususnya di kawasan luar bandar. Meningkatkan akses kepada aspek ini penting untuk mendapatkan rawatan awal.

"Selain itu, menangani keperluan kesihatan mental pelajar sekolah adalah mustahak memandangkan ada peningkatan kelaziman isu ini dalam kalangan belia Malaysia. Sekolah dan organisasi komuniti memainkan peranan penting dalam menggalakkan kesedaran kesihatan mental," katanya.

Pakar itu berkata, langkah lain adalah mewujudkan talian penting intervensi krisis dan perkhidmatan sokongan bagi individu yang mempunyai idea untuk membunuh diri atau tekanan emosi.

Pada masa sama, beliau mengesyorkan pihak berwajib memperhebat usaha mencegah insiden bunuh diri menerusi pelaksanaan dasar yang lebih komprehensif.

"Ini termasuk pembiayaan untuk perkhidmatan kesihatan mental, program pencegahan bunuh diri dan inisiatif penyelidikan. Usaha kerjasama yang melibatkan agensi kerajaan, NGO, penyedia penjagaan kesihatan, pendidik, pemimpin dan masyarakat adalah penting untuk pencegahan bunuh diri yang berkesan.

"Dengan menangani stigma, meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan mental dan mempromosikan sokongan serta pendidikan masyarakat, Malaysia boleh berusaha ke arah mengurangkan kejadian bunuh diri dan menyediakan sokongan yang lebih baik untuk mereka yang memerlukan," katanya.

Ibu bapa perlu memantau kelakuan anak mereka supaya dapat mengesan lebih awal sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan oleh si anak.
Ibu bapa perlu memantau kelakuan anak mereka supaya dapat mengesan lebih awal sebarang perubahan sikap yang ditunjukkan oleh si anak.

Di peringkat sekolah pula, beliau mengesyorkan supaya semua guru diberi latihan berterusan bagi membantu mereka mengenal pasti tanda-tanda 'minta tolong' yang dipamerkan oleh pelajar 'bermasalah' supaya tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membantu mereka.

"Mungkin terdapat keadaan di mana guru gagal memahami sepenuhnya keseriusan tingkah laku bunuh diri pelajar oleh pelbagai sebab. Contohnya, sesetengah guru mungkin tidak menerima latihan yang mencukupi untuk mengenali tanda-tanda tingkah laku bunuh diri atau cara bertindak balas dengan berkesan," katanya.

Haslinda pula menekankan pada sokongan semua pihak terutama badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan secara langsung dengan masyarakat.

"Dalam hal ini, NGO juga perlu dibantu, seperti bantuan dana, bagi membolehkan mereka menolong ahli masyarakat yang memerlukan," katanya.

Beliau turut mengesyorkan institusi agama memantapkan kemahiran insani pegawai mereka.

"Mereka perlu ada ilmu dan kemahiran, sebab isu kesihatan mental bukan mudah.

"Apabila seseorang ada masalah, fikiran berserabut, tidak ubah seperti benang (kusut) yang semakin ditarik makin ketat dan perlu dileraikan. Apabila sudah lerai, baru kita boleh berunding dan sebagainya," katanya, menambah dalam merawat masalah kesihatan mental, mereka yang berkenaan harus menggunakan pendekatan umpama menarik rambut dalam tepung. - BERNAMA

Berita Berkaitan

1

Semasa 6 hari yang lalu

Cakna Media Sosial: Anak-Anak Perlu Pendedahan Awal Pendidikan Digital 

2

Semasa 3 minggu yang lalu

Kanak-Kanak 3 Tahun Korban Kedua Strok Haba

3

Semasa 3 minggu yang lalu

Polis Tahan Suami Isteri Disyaki Dera 2 Kanak-Kanak Lelaki

4

Video & Galeri 3 minggu yang lalu

Jangan Lupa Selalu Doakan Papa Ye Dik

Sorotan

1

Akta Keselamatan Kesihatan Pekerja (Pindaan) 2022 Berkuat Kuasa 1 Jun

2

Pakar Ekonomi Sabut Baik Penubuhan Akaun Ketiga KWSP

3

Kempen PRK KKB: Semua Pihak Diingatkan Tidak Sentuh Isu 3R - Fahmi

4

Genting Malaysia Nafi Babit Bincang Mengenai Kasino Di Forest City

5

Akta Laut Wilayah Masih Sah, Terpakai Termasuk Di Terengganu - PMO

6

PM Akan Hadir Forum Ekonomi Dunia Di Riyadh Dalam Lawatan Kerja

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 17 jam yang lalu

Kopi Kanvas Seni Tyler Wong