KUALA LUMPUR - Pengalaman membesar di rumah kebajikan membuka mata 15 sahabat untuk menubuhkan Yayasan Darul Ilmi dengan mengutamakan golongan asnaf dalam komuniti setempat sebagai tumpuan.
Yayasan Darul Ilmi yang ditubuhkan pada sekitar tahun 2015, beroperasi hasil baiah semua pengasas, yang bersetuju menyumbangkan separuh daripada pendapatan bulanan untuk menjayakan pertubuhan berkenaan.

Presiden Pertubuhan Pembangunan Kebajikan Darul Ilmi Malaysia, Wan Razmi Wan Othman, berkata penubuhan yayasan ini adalah hasil idea isterinya, yang tercetus sekitar tahun 2005, ketika mereka dan rakan-rakan giat melaksanakan pelbagai kerja kebajikan, membabitkan sumbangan ke atas rumah anak yatim dan gelandangan.
Menurut lelaki itu, terdapat beberapa insiden ‘tidak menyeronokkan’ menimpa mereka menyebabkan semua kerja kebajikan itu terpaksa dihentikan sementara.
“Kebanyakan rumah kebajikan yang kami temui tidak telus dalam menguruskan kebajikan penghuni, menyebabkan sejumlah besar pusat seumpama ini terpalit dengan pelbagai isu tidak menyenangkan.
“Ada rumah yang menerima sumbangan tetapi masih berada dalam keadaan daif, penghuni tidak dijaga dengan baik tetapi pada masa sama, pihak pengurusan memiliki gaya hidup yang sangat meragukan,” katanya kepada Getaran di sini baru-baru ini.
Wan Razmi berkata, isterinya pada 2014 memberikan idea untuk mengadakan kelas mengaji, khusus buat anak dari golongan asnaf di sekitar kediaman mereka di Batu 11, Gombak.
Menurutnya, pada ketika itu, kelas berkenaan hanya dihadiri antara lima hingga enam pelajar namun jumlahnya terus meningkat dari semasa ke semasa, malah pernah merekodkan 55 kehadiran, khususnya apabila ada makanan disediakan.
“Melihatkan keadaan itu, saya menyelidik apa sebenarnya masalah di dalam komuniti setempat dengan melakukan ziarah mengejut rumah ke rumah.
“Ketika itu barulah saya sedar terdapat ramai golongan asnaf yang menetap di sekitar kawasan ini,” katanya.
Memahami kesempitan yang dialami golongan ini Wan Razmi berkata, beliau dan rakan-rakannya mengambil keputusan untuk menubuhkan Yayasan Darul Ilmi sebagai platform untuk membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, pengasas bersama Yayasan Darul Ilmi bukanlah daripada golongan berada, namun pengalaman membesar di rumah kebajikan menjadi pemangkin semangat untuk merealisasikan matlamat berkenaan.
“Kami terdiri daripada guru, peniaga pasar malam, penjual burger dan sebagainya, namun kami berjanji bahawa setiap bulan separuh daripada hasil pendapatan akan disumbangkan ke yayasan untuk membolehkannya bergerak,” katanya.
Yayasan Darul Ilmi kini dihuni 83 anak asnaf yang berdaftar, berusia antara dua hingga 17 tahun.
Wan Razmi menarik perhatian, pihaknya menyediakan pendidikan akademik tahfiz, kelas mengaji dan hafazan Al-Quran secara percuma kepada untuk anak-anak asnaf sekitar kawasan terbabit.
“Yayasan juga terbabit dalam membuka ruang untuk golongan dermawan menderma dalam bentuk makanan kepada kira-kira 1,300 golongan asnaf yang menetap di sekitar Batu 11 Gombak setiap hari Jumaat.
“Kami juga terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memberi ilmu kepada golongan asnaf dalam komuniti ini supaya mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang kepada Yayasan Darul Ilmi boleh menyalurkan sumbangan ke akaun rasmi Pertubuhan Pembangunan Kebajikan Darul Ilmi Malaysia 12225010015921 (Bank Islam). - Getaran, 24 Mac 2021