Berita Terkini

1 hari yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 1 minggu yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Impian Bapa, Sokongan 3 Abang, Dorong Muhammad Shakkir Bergelar Pemuzik Profesional

Kisah Kita Dikemaskini 1 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 15 May 2022 10:19PM

Muhammad Shakkir (kiri) bersama 4 adik-beradiknya yang turut mengikuti pengajian dalam bidang muzik di UPSI.

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

KUALA LUMPUR - “Amanat arwah ayah untuk melihat kami adik-beradik berjaya dalam muzik kerana itu bidang yang sangat dicintainya, menjadi antara pendorong utama mengapa saya mengikuti pengajian kursus ini,” kata Muhammad Shakkir Abdul Latiff.

Itu kata-kata diungkapkan pemuzik profesional yang juga Graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik (Kepujian), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu.

Dia berkata, minat mendalam bapanya itu membuatkan beliau sentiasa menggalakkan anak-anak untuk aktif bermain alat muzik dan berkecimpung dalam bidang seni sejak kecil, sehingga mereka akhirnya membentuk sebuah kugiran.

Muhammad Shakkir berkata, masih segar di ingatan apabila dia di Tahun Tiga sewaktu bersekolah rendah, sudah didedahkan dengan instrumen muzik dan bermain bersama beberapa abangnya menerusi kumpulan mereka.

“Pendedahan ini lama kelamaan membuatkan saya jatuh cinta dan menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke universiti dalam bidang muzik,” katanya.

Muhammad Shakkir Abdul Latiff
Muhammad Shakkir Abdul Latiff

Anak muda berasal dari Beruas, Perak itu berkata, semangatnya semakin berkobar-kobar apabila tiga abangnya terlebih dahulu melanjutkan pengajian dalam bidang muzik di Fakulti Seni Persembahan UPSI.

“Apabila kami empat beradik menyambung pengajian di universiti sama, ia menjadi punca kenapa saya lebih bersemangat dan bergiat serius.

“Sebelum arwah ayah meninggal dunia, beliau berhasrat melihat kami berjaya dalam bidang muzik, sama ada sebagai pendidik, penggiat seni, penghibur atau apa jua profesion berkaitan, jadi itulah antara sebab kenapa saya menceburi bidang ini,” katanya.

Mihammad Shakkir ketika menyertai Konsert Akhir Pelajar Fakulti Muzik 2017.
Mihammad Shakkir ketika menyertai Konsert Akhir Pelajar Fakulti Muzik 2017.

Berkongsi mengenai kursus diikutinya, pemuda berusia 25 tahun itu berkata, pengajian Diploma Muzik lebih menfokus kepada teori dan kemahiran muzik.

Katanya, semasa di Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Muzik (Kepujian) pula, pengajiannya lebih khusus, bukan sahaja kepada pembelajaran muzik di sekolah dan mempersiapkan diri menjadi seorang pendidik berkualiti, tetapi juga mempelajari teori serta kemahiran muzik secara lebih mendalam.

“Biarpun alat muzik utama saya adalah drum dan perkusi, tetapi kami sebagai pelajar perlu mendalami semua jenis peralatan dan kemahiran muzik sebagai Ilmu sebelum bergelar pendidik.

“Saya perlu mempelajari teknik ‘brass’, alat muzik bertali seperti biola, celo, dan ‘double bass’, selain asas vokal,” katanya yang juga boleh bermain serunai, gitar, ‘keyboard’, bass dan menyanyi.

Muhammad Shakkir (tiga dari kanan) bersama keluarga.
Muhammad Shakkir (tiga dari kanan) bersama keluarga.

Muhammad Shakkir berkata, bagi melayakkan individu diterima mengikuti pengajian dalam kursus berkenaan, mereka akan menjalani temuduga dan ujian tertentu, iaitu kemahiran mendengar serta mengikuti tempo supaya tidak ‘pekak nada’.

Jelasnya, individu itu juga akan diminta bermain sebarang alat muzik yang dikuasai dan mempamerkan apa sahaja bakat dalam bidang berkenaan.

“Ketika ditemuduga, saya bermain drum, gitar, bass, keyboard dan bernyanyi.

“Walaupun tidak mengikuti sebarang pendidikan formal sebelum itu, saya mempraktikkan kemahiran yang selama ini dipelajari bersama keluarga,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran sebagai penggiat bidang itu dan anak seni, beliau berkata, antara soalan utama sering diajukan kepadanya adalah masa depan di dalam bidang berkenaan. 

“Jadi saya menjawab, kelebihan bidang ini sangat banyak kalau kita benar-benar memanfaatkan apa dipelajari dan tahu matlamat masa depan kita. Apa bidang dikuti pun boleh berjaya jika ada minat dan matlamat.

“Macam sekarang pun, bidang dan industri muzik sangat memainkan peranan penting, contohnya saya banyak menjana pendapatan menerusi kemahiran dimiliki, antaranya melalui penggubahan lagu, termasuk untuk syarikat,” katanya.

Muhammad Shakkir mengajar pendidikan muzik, termasuk asas bermain instrumen di Sekolah Seni Malaysia Perak.
Muhammad Shakkir mengajar pendidikan muzik, termasuk asas bermain instrumen di Sekolah Seni Malaysia Perak.

Menurut Muhamad Shakkir, kemahiran diperoleh selepas mengikuti pengajian di peringkat sarjana muda, memberi peluang lebih luas dan melengkapkan dirinya untuk menjadi pendidik muzik demi mencurahkan ilmu kepada anak bangsa.

“Ketika ini pun, sementara menunggu temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP), saya banyak melakukan kerja ‘freelance’ dan bermain muzik di luar, misalnya untuk kumpulan yang memerlukan pemain sambilan, selain menggubah dan merakamkan lagu.

“Saya dan rakan juga menubuhkan sebuah syarikat, Gua Seni sejak 2017 yang menawarkan perkhidmatan atau aktiviti menggubah lagu, membuat muzik, sewaan alat muzik, videografi, fotografi serta penyuntingan video, sekali gus memberi kelebihan kepada saya untuk membantu menjana pendapatan serta meringankan beban keluarga,” katanya.

Muhammad Shakkir bersama pelajarnya di Sekolah Seni Malaysia Perak.
Muhammad Shakkir bersama pelajarnya di Sekolah Seni Malaysia Perak.

Mengulas lanjut, Muhammad Shakkir berkata, cabaran lain ketika bergelar mahasiswa adalah apabila perlu menyusun dan membahagikan masa sebaik mungkin antara pelajaran teori, praktikal serta latihan.

Tambahnya, bagi memastikan diri mampu menjadi seorang pemuzik, graduan dan pendidik terbaik, individu perlu melebihkan masa untuk menguasai segala kemahiran penting.

“Semakin kita mahu menjadi orang (pemuzik) yang hebat, semakin kita kena melebihkan masa untuk berlatih serta fokus mengenai muzik. Malah muzik ini perkara utamanya adalah memerlukan masa untuk terus berlatih dan berlatih.

“Maksudnya kita kena memenuhi semua aspek pengajian, termasuk memberi fokus kepada instrumen utama, mempelajari alat muzik lain, membuat persembahan dan memenuhi silibus wajib. Pembahagian masa secara terurus adalah kunci untuk anda menjadi seorang graduan dan pemuzik berkualiti,” katanya.

Diminta apakah harapannya sebagai seorang pemuzik profesional, Muhammad Shakkir berkata, dia mahu melihat industri muzik di Malaysia berkembang maju dan tidak ‘dipijak’ mana-mana pihak, sekali gus menjadi lebih ‘bersih’ untuk pendengar serta rakyat mendalami erti sebenar muzik.

Muhammad Shakkir (duduk) dan rakan merangkul kesemua kategori dan johan pertandingan citrawarna UPSI pada 2019.
Muhammad Shakkir (duduk) dan rakan merangkul kesemua kategori dan johan pertandingan citrawarna UPSI pada 2019.

Beliau beranggapan, industri muzik Malaysia mempunyai terlalu banyak perkara, pemain dan bakat sangat bagus tetapi mereka kurang ditonjolkan, disebabkan pihak atasan banyak bermain isu politik.

Keadaan itu juga katanya, mengakibatkan industri muzik Malaysia sukar untuk maju berbanding negara seberang.

“Bagaimana negara mereka menghargai muzik dan setiap apa yang mereka (pemuzik) main atau keluarkan, semua dihargai rakyat mereka.

“Apresiasi muzik kita perlu lebih berkembang dalam kalangan rakyat dan pendengar supaya bukan sahaja kualiti muzik kita dapat terus dipertingkatkan tetapi juga kualiti pemain, artis serta komposer mampu ditingkatkan,” katanya. - Getaran, 15 Mei 2022

Sorotan

1

Lelaki Israel Miliki Senjata: 10 Individu Ditahan Bawah SOSMA

2

PM, Kerajaan Enggan Terlibat Keputusan Lembaga Pengampunan Berhubung Kes Najib

3

AS Guna Veto Halang Usul Iktiraf Keahlian Palestin Dalam PBB

4

Jangan Abai Peruntukan Untuk Pembangunan Sukan - Hannah

5

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Meninggal Dunia Akibat Serangan Jantung

6

32 Keluarga Dipindahkan Selepas Banjir Lahar Sejuk Landa Jawa Timur, Indonesia

Disyorkan untuk anda

Kisah Kita 22 jam yang lalu

Sekolah, PIBG Kerjasama Wujudkan Tandas Pintar Bagi Keselesaan Murid