Berita Terkini

17 jam yang lalu: Bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga pengasas Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Tan Sri Joseph Kurup meninggal dunia hari ini di IJN pada usia 79 tahun 6 hari yang lalu: Keputusan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) 2023 diumumkan pada 18 April ini - JAKIM 1 minggu yang lalu: Umat Islam di Malaysia dan Singapura akan menyambut Aidilfitri esok. 1 minggu yang lalu: Koc wanita bagi MRT laluan Putrajaya akan dilaksanakan bermula Isnin ini - Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail 2 minggu yang lalu: Pengerusi Spanco Sdn Bhd, Tan Sri Robert Tan Hua Choon mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu hingga mendorong MOF menganugerahkan kontrak urus kenderaan kerajaan bernilai RM3.9b, pada 2019

IKUTI KAMI


Demi Tugas, Bomba Wanita Cekal Berbakti

Kisah Kita Dikemaskini 2 tahun yang lalu · Diterbitkan pada 22 Aug 2021 4:42PM

Usha Rani memeriksa peralatan dalam jentera EMRS - Gambar Izlaily Nurul Ain Hussein

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

JOHOR BAHRU - Amanah dan tanggungjawab yang diberi harus dilaksanakan sebaiknya, walaupun kerjaya diceburi bukan pilihan sebenar.

Berbekalkan hakikat itu, tiga anggota bomba wanita di sini tabah mendepani setiap dugaan dan cabaran, bagi memastikan semua tugas dijalankan dengan baik serta sempurna.

Kehadiran mereka dalam aliran kerjaya yang dimonopoli kaum lelaki ini juga sedikit sebanyak menimbulkan persoalan, apakah anggota bomba wanita dilayan bak sang puteri, atau turut dikerah beraksi lasak.

M. Usha Rani, 52, satu-satunya anggota bomba wanita India di Wilayah Selatan berkata, kerjaya itu sudah sebati dalam dirinya dan akan terus mencurah bakti, walaupun faktor usia kadang-kala menjadikan dia cepat berasa letih.

Memulakan kerjaya pada 1990 ketika berusia 20 tahun, Usha berkata minatnya dalam pasukan bomba lahir sejak kecil.

"Saya memang minat nak jadi bomba. Saya buat sama macam anggota lain buat, malah dari dulu lagi, saya sudah menyertai pelbagai operasi. 

"Dulu ibu saya risau, tetapi selepas itu semua keluarga menyokong penuh, menyebabkan saya kekal bertahan lebih 30 tahun. Dua anak saya sewaktu masih kecil juga tidak faham, mengapa kerjaya ini menjadi pilihan, namun setelah dewasa, mereka pula melarang saya berhenti," katanya tertawa.

Menurutnya, rakan sepasukan sering menghulurkan bantuan jika dia berdepan sebarang masalah.

"Kita kerja dalam pasukan, jadi apa sahaja masalah, kita hadapi bersama-sama, itu yang buat saya rasa selesa," katanya yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Johor Bahru di sini. 

Pada masa sama, beliau mengingatkan, golongan wanita yang ingin menceburi kerjaya ini perlu sentiasa bertugas mengikut arahan dan berganding bahu bersama rakan sepasukan. 

"Bila masuk badan beruniform, paling penting ikut arahan, kerja secara kumpulan, jangan buat pandai-pandai sendiri," pesannya yang cekap mengendalikan aspek perubatan, malah sering menyelaras 'Emergency Medical Rescue Services' (EMRS) ketika operasi. 

Nirwana (kiri) dan Intan Syakirah memeriksa peralatan dalam jentera
Nirwana (kiri) dan Intan Syakirah memeriksa peralatan dalam jentera

Nirwana Irwanshah, 28, pula berkata, kerjaya sebagai bomba menjadi rezeki yang sudah ditakdirkan untuknya.

"Saya aktif dan lasak sejak sekolah. Masuk bomba pun sebab rezeki saya di sini. Mungkin kerana sudah minat dengan kerja ini, saya mudah untuk ikut arahan dan buat apa yang anggota lelaki buat. 

"Kita semua di sini dan macam keluarga, anggota lelaki sentiasa membantu kalau ada masalah. Mereka tidak pernah membezakan kami," katanya yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

Nirwana berkata, dia banyak terbabit dengan operasi kebakaran dan turut berada dalam pasukan Hazardous Material Unit Team atau lebih dikenali sebagai HAZMAT bagi mengendalikan pelbagai kes membabitkan bahan kimia berbahaya.

Intan Syakirah Jama'ari, 24 pula memiliki kisah berbeza, kerana kerjaya sebagai anggota bomba bukan pilihan sebenar.

Dia sebaliknya hanya sekadar merebut peluang yang terbentang di depan mata pada waktu itu, untuk mengelak daripada bergelar penganggur.

Berasal dari Kuching, Sarawak, dia mengakui sukar untuknya melaksanakan tugasan diberi pada peringkat awal, namun peribadi yang lasak membantu gadis tersebut menyesuaikan diri.

"Alah bisa tegal biasa dan rasa menarik juga jadi anggota bomba ini. Saya seronok bila dapat pergi operasi sebab saya suka sesuatu yang lasak dan mencabar," katanya. 

Cerita Intan Syakirah, pernah berlaku satu kes kebakaran rumah di tingkat sembilan sebuah flat di sini, menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan selain menggunakan tangga untuk tiba ke unit berkenaan.

"Operasi itu agak 'tough' bagi saya kerana dalam situasi kecemasan dan perlu bergerak pantas, kena pula mendaki tangga ke tingkat sembilan dalam keadaan berlari sambil membawa hos," katanya yang tidak lagi terfikir untuk berputus asa atau meninggalkan kerjaya itu. 

Suhaimi memberi penerangan kepada Usha Rani, Nirwana dan Intan Syakirah
Suhaimi memberi penerangan kepada Usha Rani, Nirwana dan Intan Syakirah

Sementara itu, Ketua BBP Larkin, Johor Bahru, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Abdul Jamal berkata, menjaga 10 anggota bomba bukan perkara mudah, namun beliau mempunyai kaedah sendiri untuk menanganinya. 

"Sudah menjadi lumrah, jika bertanya pada mana-mana wanita, mereka akan mendakwa boleh buat apa yang lelaki lakukan. Tetapi, hakikatnya hati, perasaan dan kudrat mereka tetap lain daripada lelaki. 

"Semua latihan atau tugasan dilakukan itu sama, tiada beza antara anggota lelaki dan wanita, tetapi saya tetap menggunakan budi bicara, psikologi dan situasi menang-menang dalam menyantuni mereka," katanya.

Suhaimi berkata, anggota wanita tetap diberi pendedahan dan latihan yang sama sehingga mereka mampu melakukan operasi yang biasanya dilakukan oleh anggota lelaki. 

"Sejak mentadbir (menjadi ketua balai), mereka sering didedahkan dengan latihan di luar.

"Pernah berlaku ketika operasi pengungsian bangunan, semua terkejut sebaik anggota wanita ini membuka 'fire helmet', kerana mereka tidak sangka yang sebenarnya melakukan operasi itu adalah wanita," katanya. - Getaran, 22 Ogos 2021

Sorotan

1

Kerajaan Setuju Salur Peruntukan Kepada Pembangkang - Fadillah

2

Belanjawan Pertahanan Beri Impak Penganjuran DSA, NATSEC Asia Untuk Kekal Relevan

3

Piala Asia B-23: Kesilapan Hukum Harimau Muda Berdepan Uzbekistan

4

Akta Kerja 1955 Benarkan Pekerja Mohon Aturan Kerja Anjal - Menteri

5

Tiada Keperluan Pemindahan Pulang Rakyat Malaysia, Keadaan Stabil Di Timur Tengah

6

Mangsa Banjir Di 3 Negeri Meningkat Sedikit Kepada 748 Orang Malam Tadi - NADMA

7

Kerajaan Tetap Kurangkan Subsidi Minyak Tahun Ini – Rafizi