Jika pada artikel sebelum ini, kami menjejak keunikan seni bina masjid di Melaka, masjid di Selangor juga tidak kurang hebatnya.
Dengan kepelbagaian budaya dan kesenian yang terdapat di negeri-negeri Malaysia, negeri Selangor turut memiliki pelbagai tarikan pelancongan kebudayaan, termasuk keagamaan.
Justeru, sempena bulan puasa yang mulia ini, kami senaraikan 10 masjid terindah di Selangor yang boleh anda kunjungi sepanjang Ramadan ini:

1 – Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah
Kami mulakan senarai dengan masjid terbesar dan paling popular di negeri Selangor ini. Dikenali sebagai Masjid Shah Alam, Masjid Negeri yang gah dengan kubah biru terbesar di dunia ini dibina di atas kawasan seluas 14.6 hektar di Tasik Raja Lumu, Pusat Bandar Shah Alam.
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah boleh memuatkan seramai 16 ribu jemaah pada satu-satu masa dan lengkap dengan pelbagai kemudahan untuk para pengunjung. Ia turut menjadi salah satu ikon pelancongan utama, bukan sahaja di Selangor, malah di Malaysia.

2 – Masjid DiRaja Sultan Ala’eddin
Dibina pada sekitar 1900, masjid bersejarah ini dirasmikan pada 18 Jun 1924.
Juga dikenali sebagai Masjid Bandar, ia menjadi sebuah monumen sejarah bagi negeri Selangor kerana struktur asalnya masih gah berdiri sehingga hari ini.
Ia terletak di Pekan Banting dan hanya terletak kira-kira 200 meter dari Istana Bandar. Reka bentuk masjid ini mempunyai campuran kesenian kaum India Muslim dan Timur Tengah.

3 – Masjid DiRaja Sultan Suleiman
Dibina pada era 1930an, masjid ini dirasmikan oleh Allahyarham Sultan Alauddin Shah pada 1932. Terletak di daerah Klang, masjid ini mampu memuatkan 1200 jemaah. Bercirikan seni bina Mongul, ia memadukan elemen Islamik dan Katedral Neo-Klasikal.
Masjid ini pernah ditutup sementara pada 2015 untuk proses penambahbaikan dan kembali beroperasi pada 2017 dengan kemudahan yang dinaiktaraf. Masjid DiRaja Sultan Suleiman kekal menjadi nadi rohani kepada warga Klang.

4 – Masjid Sultan Abdul Samad
Terletak di daerah Sepang, masjid ini boleh dilihat semasa perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Masjid ini terkenal sebagai Masjid KLIA dan didirikan sempena pembinaan KLIA. Berkeluasan 17.96 ekar, ia mampu memuatkan 8 ribu jemaah. Selain itu, reka bentuknya dengan konsep seni bina Arab klasik.

5 – Masjid Raja Haji Fi Sabilillah
Masjid pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan platinum bagi indeks bangunan hijau. Terletak di Cyberjaya, masjid ini menerapkan elemen mesra alam dalam pembinaannya. Ia menggunakan teknologi hijau seperti panel solar, tadahan hujan dan banyak lagi. Terdapat juga taman indah yang berkonsepkan Islamik di pekarangan masjid.

6 – Masjid Tengku Ampuan Jemaah
Terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam, masjid ini dibina pada 2010. Dirasmikan pada 2013, masjid yang dihiasi dengan tulisan ayat suci al-Quran di bahagian luaran ini memiliki cici-ciri rekaan tradisional seni bina Islam Timur Tengah, bermula dari binaan kubah, menara dan ruang solat. Masjid ini mampu memuatkan kira-kira 5 ribu jemaah pada satu-satu masa.

7 – Masjid As-Salam
Sedia terpesona melihat Masjid As-Salam, satu-satunya masjid terapung yang terdapat di negeri Selangor ini. Terletak di Taman Puchong Perdana, masjid ini dirasmikan pada 8 Disember 2006 dengan berlatarbelakangkan taman dan tasik yang indah. Kapasiti 4 ribu jemaah pada satu-satu masa, Masjid As-Salam tersergam indah, lebih-lebih lagi menjelang waktu malam.

8 – Masjid al-Mukarramah
Turut dikenali sebagai Masjid Sri Damansara, Masjid al-Mukarramah terletak di Bandar Sri Damansara. Pembinaan masjid ini dibiayai sepenuhnya oleh Tan Sri Wan Azmi. Dirasmikan oleh Allahyarham Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 10 November 2000. Reka bentuk Masjid ini mendapat inspirasi dari Masjid Sultan Ahmet di Istanbul, Turki.

9 – Masjid Puncak Alam
Dirasmikan pada 10 Julai 2015, Masjid Puncak Alam merupakan masjid pertama dan terbesar di Bandar Puncak Alam. Berkeluasan 9.5 ekar, masjid ini boleh memuatkan sekitar 5 ribu jemaah pada satu-satu masa. Turut dilengkapi dengan bangunan pentadbiran, dewan serbaguna, kelas-kelas mengaji dan bilik pengurusan jenazah.

10 – Masjid Jamek Ar-Rahimah
Terletak di daerah Hulu Selangor, masjid yang tersergam indah ini sering menjadi lokasi persinggahan para pelancong dan pengembara sebelum ke Bukit Fraser. Seni bina Masjid Jamek Ar-Rahimah mengangkat konsep Inggeris Klasik dan dilengkapi dengan menara minaret yang tinggi dan menonjol di bahagian luar masjid. – Getaran, 29 April 2021