Berita Terkini

10 jam yang lalu: Permohonan Najib ketepi injunksi kes saman 1MDB didengar 26 Mei 10 jam yang lalu: KPKT lulus peruntukan RM40 juta tingkat kesejahteraan hidup rakyat Pulau Pinang 10 jam yang lalu: Banjir di Kelantan akibatkan kerosakan infrastruktur berjumlah RM172.3 juta - MB 10 jam yang lalu: Gempa bumi Turkiye: Tiada rakyat Malaysia terjejas di Syria 10 jam yang lalu: Malaysia antara negara terawal hantar pasukan SAR ke Turkiye - Armizan

IKUTI KAMI


Ruang Angkasa Manggatal Gamit Peminat Luncur Udara

Aktiviti rekreasi ekstrem luncur udara bukan untuk semua, namun bagi yang ada keberanian untuk mencuba, percayalah, anda tidak akan rugi.

Jelajah Dikemaskini 11 bulan yang lalu · Diterbitkan pada 14 Feb 2022 5:48PM

Gambar Hiasan, Unsplash

Kongsi Artikel Ini

Langgani saluran Telegram kami untuk berita terkini dan paparan gaya hidup pelengkap hari anda.

Diakui, aktiviti rekreasi ekstrem luncur udara bukan untuk semua, namun bagi yang ada keberanian untuk mencuba, percayalah, anda tidak akan rugi.

Meluncur di udara pada ketinggian kira-kira 2,700 kaki dari aras laut memberikan satu kepuasan yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi mata pula dihidangkan dengan pemandangan indah kehijauan belantara serta air laut yang membiru sayup di kejauhan. 

Setidak-tidaknya itulah yang penulis rasai ketika meneroka ruang angkasa Manggatal, kira-kira 15 kilometer dari bandar raya Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Bertolak pada 9 pagi dari pekan Manggatal, perjalanan penulis ke Bukit Kokol iaitu antara pangkalan untuk aktiviti luncur udara di Sabah, amat menenangkan sekalipun laluannya berbukit dan berliku, merentasi perkampungan dan juga kawasan tarikan pelancongan. 

Tiba di Bukit Kokol kira-kira 20 minit kemudian, penulis bersama-sama jurupandu peluncur Mejar (B) Haznain Ngamil, 51, yang juga pemilik Borneo Paragliders, menapak kira-kira lima minit melalui denai kecil sebelum tiba di kawasan lapang dikenali Bukit Kokol Mama Hill.

 

TUNGGU TIUPAN ANGIN 

Hati teruja untuk memulakan penerbangan, namun keadaan berkabus serta arah tiupan angin yang belum sesuai untuk kegiatan luncur udara memaksa kami 'berehat' seketika di atas pelantar buluh yang disediakan di situ.  

“Sekarang angin dari arah belakang, kita kena tunggu angin dari arah depan untuk terbang,” jelas Haznain.

Berlatarbelakangkan Gunung Kinabalu, arah tiupan angin dapat dilihat berdasarkan kibaran bendera Sabah dan Malaysia yang dipacak di situ serta beberapa petunjuk lain.

Sejam menanti, kabus semakin menipis dan tiupan angin juga mula berubah arah. Demi menjamin keselamatan, Haznain menghubungi isterinya Asmah Ahmad, 42, yang menunggu di kawasan mendarat, bagi mendapatkan maklumat terkini tentang cuaca di situ.

Beliau kemudian melakukan pemeriksaan terakhir ke atas peralatan luncur seberat kira-kira lima kilogram itu sebelum memakaikan topi keselamatan dan abah-abah pada penulis. 

Setelah memastikan semua peralatan dan tali diikat dengan selamat, Haznain mengingatkan penulis agar tidak melompat ketika memulakan luncuran, sebaliknya cukup sekadar berlari dan membiarkan tubuh ditolak oleh angin. 

 

DI AWANG-AWANGAN SEKELIP MATA

“Jalan ke depan sikit… lari, lari, lari,” jeritnya sambil kami meluru ke kawasan curam kira-kira lima meter di hadapan kami. Curam itu berketinggian kira-kira  2,650 kaki dari aras laut.

Dalam sekelip mata kami berada di udara dan penulis memandang ke bawah namun yang kelihatan hanya kabus.

Berbekalkan dua pengalaman meluncur udara secara tandem sebelum ini, penulis tidak gusar meskipun hanya abah-abah dan cangkuk yang 'mengikat' penulis pada peluncur dan 'tandem master' atau jurupandu, selain yakin dengan kepakaran Haznain yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam aktiviti tersebut.

Seketika kemudian, peluncur kami semakin tinggi di udara dan kabus mula menipis, menyerlahkan kehijauan hutan Bukit Kokol.

Di hadapan kami terbentang luas Laut China Selatan, sementara di sebelah kiri pula sayup kelihatan hutan konkrit bandar raya Kota Kinabalu dan di sebelah kanan Menara Kinabalu megah berdiri. 

Degupan jantung penulis bertambah kencang apabila tolakan angin yang agak kuat tiba-tiba melonjakkan peluncur kami lebih tinggi ke angkasa.

Sememangnya aktiviti ini bukan untuk orang yang lemah semangat.

 

KAMPUNG LOHAN TAPAK PERTAMA

Selepas hampir 15 minit berlegar di ruang udara Manggatal, kami mendarat di sebuah kawasan ladang di Kampung Pulutan, berhampiran pekan Manggatal.

Haznain yang berasal dari Banting, Selangor dan berpindah ke Sabah pada 1995 itu, berkata beliau mula bergiat dalam aktiviti luncur udara pada 2007 selepas menyertai Kelab Sukan Udara Negeri Sembilan.

Menurutnya, dari situ tercetus idea untuk menawarkan aktiviti rekreasi ekstrem itu kepada pelancong di Sabah yang menyaksikan beliau menubuhkan syarikat Borneo Paragliders pada 2012 sebaik bersara daripada Angkatan Tentera Malaysia.

“Berbekal modal RM13,000 untuk membeli satu set peluncur, syarikat Borneo Paragliders beroperasi di Kampung Lohan, Ranau, iaitu tapak berlepas pertama kami. Kami kemudian lebarkan sayap ke Kota Belud pada 2019 dan Bukit Kokol,” cerita bekas anggota Rejimen Renjer Diraja itu.

Haznain yang juga Naib Presiden Kelab Luncur Udara Kinabalu, berkata selain menawarkan kegiatan luncur udara kepada pelancong, syarikatnya yang kini mempunyai 15 jurupandu turut menjalankan kursus kepada mereka yang berminat untuk menjadikan aktiviti luncur udara sebagai hobi.

“Ini bagi membolehkan mereka terbang solo tanpa ‘master tandem’. Kursus selalunya mengambil masa dua minggu dengan kos kira-kira RM5,000,” jelasnya.

 

JURUPANDU SEPENUH MASA 

Bercerita lanjut, Haznain berkata beliau pernah menjadi jurulatih pasukan luncur udara Malaysia ke Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia, selain melatih atlet ke World Paragliding Accuracy Championship 2015 di Jakarta.

Menurutnya, isteri beliau yang berasal dari Bongawan, merupakan satu-satunya wanita di Sabah yang menjadikan aktiviti luncur udara sebagai kerjaya, dan mereka kini berusaha menggalakkan lebih ramai wanita berkecimpung dalam bidang itu sebagai jurupandu.

Beliau berkata kegiatan itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelancong khususnya dari China, dengan kira-kira 100 orang menyertai aktiviti tersebut setiap hari dengan bayaran antara RM180 dan RM450 seorang.

Bagaimanapun penularan COVID-19 pada awal 2020 menyebabkan syarikatnya turut menerima tempias dengan rata-rata jurupandu syarikat terpaksa mencari sumber pendapatan alternatif.

“Kini kelonggaran telah diberikan oleh pihak berkuasa dan saya harap aktiviti ini akan kembali rancak dalam masa terdekat,” ujar beliau. - Bernama

Semua gambar, kecuali tertera: Norazlina Jindeh, Bernama

Berita Berkaitan

1

Semasa 1 bulan yang lalu

Warga Media Perlu Perangi Penyebaran Berita Palsu, Ucapan Kebencian - Teo Nie Ching

2

Sukan 2 bulan yang lalu

2 Gol Bruno Fernandes Bawa Portugal Ke Pusingan Seterusnya

3

TARA 7 bulan yang lalu

Orkid Jamilah Popularkan Sukan Luncur Udara Di Malaysia

4

Refleksi 8 bulan yang lalu

Selam Skuba Aktiviti Riadah Remaja Yang Gemarkan Cabaran

Sorotan

1

PM Minta Penguatkuasaan Tangani Kecuaian, ‘Setiap Sen Kita Belanja Akan Dipertanggungjawabkan’ 

2

Kabinet, Penjawat Awam Harus Bekerjasama Angkat Martabat Rakyat, Negara - PM

3

PKR Bentang Laporan Kewangan Setiap Kongres Tahunan, Takkan ARMADA Tak Faham?

Disyorkan untuk anda

Gaya 17 jam yang lalu

Anugerah Grammy 2023: 9 Fesyen Artis Popular Ini Berjaya Curi Tumpuan Di Karpet Merah

oleh Wartawan Hiburan Getaran